Permohonan Penjelasan Hukum Syarak Berkenaan Penggunaan Ubat Obesiti Ketika Berpuasa Dan Pemakaian Continuous Glucose Monitor (Cgm) Semasa Mandi Wajib
Dengan segala hormatnya, saya ingin memohon penjelasan dan pandangan pihak Dr MAZA sebagai Mufti berkenaan dua isu berkaitan penggunaan teknologi dan rawatan perubatan dalam kalangan pesakit, khususnya dari sudut ibadah.
- Hukum penggunaan ubat-ubatan untuk rawatan obesiti ketika bulan Ramadan
Apakah hukum penggunaan ubat-ubatan untuk rawatan obesiti seperti Wegovy (semaglutide) dan Mounjaro (tirzepatide) ketika bulan Ramadan, khususnya apabila ubat tersebut diberikan melalui suntikan subkutaneus?
Ubat-ubatan ini bertindak melalui reseptor hormon GLP-1, manakala tirzepatide turut bertindak pada reseptor GIP. Mekanisme tindakannya termasuk mengurangkan selera makan, meningkatkan rasa kenyang dan melambatkan pengosongan perut (delayed gastric emptying), sekali gus membantu mengurangkan pengambilan makanan dan mengawal berat badan.
Sehubungan itu, mohon penjelasan pihak Dr MAZA mengenai perkara berikut:
a) Adakah suntikan ubat-ubatan tersebut membatalkan puasa, memandangkan ia diberikan melalui suntikan subkutaneus dan bukannya melalui saluran pemakanan?
b) Adakah terdapat perbezaan hukum antara suntikan bagi tujuan rawatan obesiti dengan suntikan bagi tujuan rawatan penyakit lain, seperti diabetes?
c) Memandangkan ubat-ubatan ini memberikan kesan kenyang yang lebih lama dan melambatkan pengosongan perut, adakah kesan farmakologi tersebut mempunyai sebarang implikasi terhadap kesahihan puasa dari sudut hukum syarak?
- Hukum pemakaian Continuous Glucose Monitor (CGM) dan kesahihan mandi wajib
CGM ialah alat pemantauan glukosa secara berterusan yang dipasang pada kulit, lazimnya pada bahagian lengan atau abdomen, bagi mengukur paras glukosa dalam cecair interstisial. Alat ini biasanya dipakai secara berterusan selama kira-kira 14 hari sebelum digantikan dengan sensor baharu.
Pada masa kini, CGM turut digunakan oleh individu bukan diabetes bagi tujuan pemantauan kesihatan metabolik dan tindak balas glukosa terhadap makanan serta aktiviti harian.
Sehubungan itu, mohon penjelasan pihak Dr MAZA mengenai perkara berikut:
a) Apakah hukum pemakaian CGM bagi individu bukan diabetes dari sudut syarak?
b) Adakah pemakaian CGM yang mempunyai sensor melekat pada kulit menjejaskan kesempurnaan dan kesahihan mandi wajib, khususnya apabila sensor tersebut tidak boleh ditanggalkan sepanjang tempoh pemakaiannya tanpa menjejaskan fungsi alat atau memerlukan penggantian sensor baharu?
c) Sekiranya air tidak dapat sampai ke bahagian kulit yang dilitupi sensor atau pelekat CGM, apakah kaedah yang perlu dilakukan bagi memastikan mandi wajib tersebut sah? Adakah terdapat kelonggaran atau kaedah tertentu yang boleh diikuti dalam keadaan ini?
Saya amat menghargai pandangan dan penjelasan pihak Dr MAZA agar maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada pesakit serta membantu pengamal perubatan memberikan penerangan yang bersesuaian kepada mereka.
Segala perhatian, kerjasama dan penjelasan daripada pihak Dr MAZA berhubung perkara ini amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
JAWAPAN
- Suntikan subkutaneus Wegovy (semaglutide) dan Mounjaro (tirzepatide) tidak membatalkan puasa, sama ada untuk obesiti atau diabetes. Demikian jua kesan kenyang atau lambat pengosongan perut tidak menjejaskan kesahihan puasa, selagi formulasi dan cara pemberiannya tidak melibatkan bahan atau fungsi pemakanan.
- Pemakaian CGM sama seperti hukum balutan luka (العصابة) dan balutan patah (الجبيرة) yang bergantung sejauh mana keperluan seseorang terhadapnya. Oleh kerana itu individu bukan diabetes adalah harus menggunakannya dan mengambil keringan yang sama dengan pesakit yang dipakaikan balutan luka atau patah, dengan syarat penggunaannya atas saranan pakar kesihatan sebagai sebahagian keperluan mendesak untuk mengelak risiko.
Mandi wajib orang yang memakai CGM yang memenuhi syarat juga adalah sah dengan meratakan air ke seluruh badan dan menyapu (المسح) bahagian sensor dengan tangan yang basah, tidak perlu menanggalkan sensor dan tidak perlu bertayammum, seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama dalam perkara ini.
Huraian adalah seperti berikut:
1(a) Adakah suntikan Wegovy / Mounjaro membatalkan puasa?
Perkara yang membatalkan puasa dengan nas al-Quran dan al-Sunnah ialah makan, minum dan jimak (al-Baqarah 2:187), serta apa-apa yang benar-benar semakna dengan makan dan minum. Suntikan subkutaneus bukan makan dan bukan minum, tidak melalui saluran pemakanan, dan ubat ini tidak memberi khasiat makanan kepada badan. Maka ia tidak membatalkan puasa.
Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah, perbahasan tentang suntikan menyatakan bahawa suntikan yang tidak membekalkan nutrisi tidak membatalkan puasa, sama ada diberikan melalui otot, vena atau bawah kulit. Rujukan yang sama membezakan suntikan nutrisi yang menggantikan makanan dan minuman, yang dihukum membatalkan puasa. Kenyataan yang dimaksudkan adalah seperti berikur:
المطلب الخامس: الإبر العلاجية
الفرع الأول: الإبرة العلاجية غير المغذية. استعمال الحقنة غير المغذية لا يفسد الصوم سواء كانت الحقنة في العضل أو الوريد أو تحت الجلد. وقد ذهب إلى ذلك ابن باز، وابن عثيمين، وغيرهما، وهو من قرارات المجمع الفقهي، وفتاوى اللجنة الدائمة، وفتاوى قطاع الإفتاء بالكويت. وذلك للآتي:
أن الأصل صحة الصوم حتى يقوم دليل على فساده-
ولأن هذه الإبرة ليست أكلًا، ولا شربًا، ولا بمعنى الأكل والشرب، وعلى هذا فينتفي عنها أن تكون في حكم الأكل والشرب-
“Perbahasan kelima: suntikan bertujuan rawatan.
Cabang pertama: Suntikan perubatan yang tidak membekalkan nutrisi. Penggunaan suntikan yang tidak membekalkan nutrisi tidak merosakkan puasa, sama ada suntikan itu diberikan ke dalam otot, vena atau di bawah kulit. Pandangan ini dipegang oleh Ibn Baz, Ibn ‘Uthaymin dan lain-lain. Ia juga termasuk dari ketetapan Majma’ al-Fiqhi, fatwa al-Lajnah al-Da’imah dan fatwa Sektor Fatwa Kuwait (Qita’ al-Ifta’ bi al-Kuwait). Alasannya adalah seperti berikut:
- Hukum asal ialah puasa itu sah sehingga ada dalil yang menunjukkan ia rosak (batal).
- Suntikan (jarum) ini bukan makan, bukan minum, dan tidak juga semakna dengan makan dan minum. Oleh itu, ia tidak boleh dihukumkan sama seperti makan dan minum.” (Al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah, 1/403)
Fatwa-fatwa Berkaitan
i.Fatwa Perlis Tentang Hukum Suntikan Vaksin Bagi Orang Berpuasa
Fatwa Perlis Bil. 5/52 TAHUN 2021, bertajuk Hukum Suntikan Vaksin Bagi Orang Berpuasa menyebut:
Suntikan perubatan yang tidak melalui rongga terbuka dan bukan sebagai gantian kepada makan dan minum termasuk vaksin tidak membatalkan puasa.
ii.Majma' al-Fiqh al-Islami al-Dawli (sesi ke-10, Jeddah, 1418H/1997) memutuskan bahawa antara perkara yang tidak membatalkan puasa ialah:
الحقن العلاجية الجلدية أو العضلية أو الوريدية، باستثناء السوائل والحقن المغذية
Suntikan rawatan sama ada di kulit (bawah kulit), di otot atau di urat (vena), kecuali cecair dan suntikan yang berkhasiat (mengandungi nutrisi). (Majallah Majma' al-Fiqh al-Islami, bil. 10, juz 2).
Semaglutide dan tirzepatide ialah ubat hormon dalam dos miligram, bukan cecair nutrisi. Maka ia termasuk suntikan rawatan yang tidak membatalkan puasa menurut semua pandangan di atas.
1(b) Adakah hukum berbeza antara rawatan obesiti dan diabetes?
Tiada perbezaan dari sudut sah atau batalnya puasa. Perkara yang dinilai ialah cara bahan masuk ke dalam badan dan sifatnya (makanan/minuman atau bukan), bukan tujuan rawatan. Suntikan yang sama tidak membatalkan puasa sama ada untuk obesiti, diabetes atau penyakit lain. Hukum ini khusus bagi bentuk suntikan. Jika ubat yang sama diambil dalam bentuk pil yang ditelan dan diambil pada siang hari, maka ia membatalkan puasa kerana masuk melalui mulut ke perut.
1(c) Adakah kesan kenyang dan lambat pengosongan perut menjejaskan puasa?
- Rukun puasa ialah menahan diri dari perkara yang membatalkan bermula terbit fajar hingga tenggelam matahari dengan niat. Rasa lapar bukan syarat sah puasa, dan berkurangnya rasa lapar bukan sebab batal. Oleh itu Tkesan kenyang dan lambat pengosongan perut tidak menjejaskan kesahihan puasa.
Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Bakar bin Abdul Rahman, bahawa sebahagian para sahabat Nabi SAW memberitahu beliau:
قالَ الَّذي حدَّثَني لقد رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ بالعَرْجِ يصبُّ علَى رأسِهِ الماءَ ، وَهوَ صائمٌ منَ العطشِ ، أو منَ الحرِّ
Berkata orang (sahabat baginda ﷺ) yang menceritakan kepadaku: “Sungguh aku telah melihat Rasulullah ﷺ di al-‘Arj menuangkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda sedang berpuasa, kerana dahaga atau kerana panas.” (Sahih Abi Daud, bil. 2365)
Ibn Taymiyyah RH menegaskan bahawa minyak yang sapu dan diserap kulit demikian juga wangian sebenarnya menguatkan atau menyegarkan badan, namun tidak dilarang bagi orang berpuasa. Beliau berkata:
وَإِذَا كَانَتْ الْأَحْكَامُ الَّتِي تَعُمُّ بِهَا الْبَلْوَى لَا بُدَّ أَنْ يُبَيِّنَهَا الرَّسُولُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيَانًا عَامًّا وَلَا بُدَّ أَنْ تَنْقُلَ الْأُمَّةُ ذَلِكَ: فَمَعْلُومٌ أَنَّ الْكُحْلَ وَنَحْوَهُ مِمَّا تَعُمُّ بِهِ الْبَلْوَى كَمَا تَعُمُّ بِالدُّهْنِ وَالِاغْتِسَالِ وَالْبَخُورِ وَالطِّيبِ. فَلَوْ كَانَ هَذَا مِمَّا يُفْطِرُ لَبَيَّنَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا بَيَّنَ الْإِفْطَارَ بِغَيْرِهِ، فَلَمَّا لَمْ يُبَيِّنْ ذَلِكَ عُلِمَ أَنَّهُ مِنْ جِنْسِ الطِّيبِ وَالْبَخُورِ وَالدُّهْنِ وَالْبَخُورُ قَدْ يَتَصَاعَدُ إلَى الْأَنْفِ وَيَدْخُلُ فِي الدِّمَاغِ وَيَنْعَقِدُ أَجْسَامًا وَالدُّهْنُ يَشْرَبُهُ الْبَدَنُ وَيَدْخُلُ إلَى دَاخِلِهِ وَيَتَقَوَّى بِهِ الْإِنْسَانُ وَكَذَلِكَ يَتَقَوَّى بِالطِّيبِ قُوَّةً جَيِّدَةً فَلَمَّا لَمْ يَنْهَ الصَّائِمَ عَنْ ذَلِكَ دَلَّ عَلَى جَوَازِ تَطْيِيبِهِ وَتَبْخِيرِهِ وَادِّهَانِهِ وَكَذَلِكَ اكْتِحَالُهُ
“Hukum-hukum yang melibatkan ‘umum al-balwa (perkara yang menimpa orang ramai) mesti dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ secara umum, dan umat pula mesti menukilkan penjelasan itu. Telah diketahui bahawa celak dan seumpamanya termasuk perkara yang tersebar secara meluas, sebagaimana meluasnya penggunaan minyak (pada badan), mandi, bukhur (wangian asap) dan wangian. Sekiranya celak termasuk perkara yang membatalkan puasa, pasti Nabi ﷺ menjelaskannya, sebagaimana Baginda menjelaskan perkara lain yang membatalkan puasa. Apabila Baginda tidak menjelaskannya, diketahuilah bahawa celak sama jenisnya dengan wangian, bukhur dan minyak. Asap bukhur kadangkala naik ke hidung, masuk ke otak dan membentuk jisim. Minyak pula diserap oleh badan, masuk ke bahagian dalamnya, dan manusia menjadi kuat (segar) kerananya. Demikian juga manusia memperoleh kekuatan (kesegaran) yang baik daripada wangian. Apabila Baginda tidak melarang orang yang berpuasa daripada semua itu, ia menunjukkan bahawa harus baginya memakai wangian, berbukhur, berminyak, dan begitu juga bercelak.” (Majmu' al-Fatawa, 25/242)
- Melambatkan pengosongan perut (delayed gastric emptying) akibat ubat yang dimakan ketika sahur, iaitu pada waktu yang dibenarkan. Keadaannya sama dengan orang yang bersahur dengan makanan berat lalu kekal kenyang hingga ke petang, dan puasanya tetap sah tanpa ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.
- Hikmah puasa ialah takwa (al-Baqarah 2:183), iaitu mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, bukan semata-mata lapar. Bahkan Nabi ﷺ menggalakkan sahur yang juga bertujuan menguatkan orang berpuasa menghadapi siang hari berpuasa.
2(A) Hukum Memakai CGM Bagi Individu Bukan Diabetes
Memakai CGM untuk memantau gula darah bagi individu bukan diabetes, hukumnya adalah berbeza mengikut kadar keperluan pesakit terhadapnya seperti berikut;
Pertama: Bagi orang yang tidak mempunyai keperluan yang kerap untuk memeriksa paras gula, seperti orang yang memerlukannya sekali sehari, atau sekali dalam tempoh dua atau tiga hari, maka tidaklah sukar baginya untuk memeriksa paras gula dengan cara biasa, iaitu mencucuk jari menggunakan jarum. Bagi pesakit sebegini, jika menggunakan CGM, wajib menanggalkan pelekat tersebut ketika mandi wajib dan membasuh bahagian kulit yang berada di bawahnya. Hal ini kerana hukum asalnya ialah wajib membasuh bahagian tersebut. Apabila tidak terdapat keperluan mendesak yang membolehkan keringanan menyapu di atas pelekat, maka wajib kembali kepada hukum asal tersebut.
Kedua: Adapun orang yang perlu pemeriksaaan kerap terhadap paras gula, sehingga pemeriksaan itu berulang kali dalam sehari semalam, dan dia mengalami kesukaran untuk mencucuk jarinya menggunakan jarum setiap kali pemeriksaan dilakukan, sebagaimana dia juga mengalami kesukaran untuk menanggalkan pelekat berulang kali dan menggantikannya dengan pelekat baharu kerana harganya yang mahal, maka tidak mengapa baginya untuk mengekalkan pelekat tersebut kerana keperluan yang mendesak terhadapnya dan bagi mengelakkan kesukaran yang timbul akibat menanggalkannya. Dalam kaedah dinyatakan:
الحَاجَةُ تُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ الضَرُوْرَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً
Hajat (keperluan) diletakkan pada kedudukan darurat, sama ada hajat itu bersifat umum atau khusus.
Sekiranya dibenarkan untuk mengekalkan pelekat tersebut kerana keperluan yang mendesak dan bagi mengelakkan kesukaran yang timbul akibat menanggalkannya, maka pelekat itu diberikan hukum yang sama seperti balutan luka dan balutan patah. Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah 15/108 dinyatakan:
وَفِي حُكْمِ الْمَسْحِ عَلَى الْجَبِيرَةِ الْمَسْحُ عَلَى الْعِصَابَةِ، أَوْ اللَّصُوقِ، أَوْ مَا يُوضَعُ فِي الْجُرُوحِ مِنْ دَوَاءٍ يَمْنَعُ وُصُول الْمَاءِ - كَدُهْنٍ، أَوْ غَيْرِهِ.
“Termasuk dalam hukum harus menyapu di atas balutan patah ialah menyapu di atas pembalut luka, pelekat, atau ubat yang diletakkan pada luka yang menghalang air daripada sampai ke kulit, seperti minyak atau bahan selainnya.”
Oleh itu, cara melaksanakan taharah atau bersuci bagi individu yang memakai CGM dengan memenuhi syarat-syaratnya ialah, dia wajib membasuh seluruh badannya dan menyapu di atas pelekat CGM tersebut. Jika terdapat air yang mengalir pada pelekat ketika mandi wajib, ia sudah memadai sebagai ganti kepada sapuan tersebut.
2(b) & 2(c) CGM dan kesahihan mandi wajib
Mandi wajib sah tanpa menanggalkan sensor bagi individu yang memenuhi syarat. Hukum asal mandi wajib ialah meratakan air ke seluruh kulit. Dalam hadis 'A'isyah r.a. ketika menceritakan cara mandi janabah yang dilakukan oleh Nabi SAW, beliau berkata:
ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
Kemudian baginda mencurahkan air ke kulit tubuh baginda seluruhnya. (Riwayat al-Bukhari).
Namun sensor CGM tidak boleh ditanggalkan tanpa merosakkannya, kerana filamennya tertanam di bawah kulit dan pelekatnya tidak boleh dipasang semula. Keadaan ini menjadikannya sama hukumnya dengan jabirah dan lusuq (plaster anggota patah atau balutan pada badan), yang disapu dengan air dan bukan dibasuh.
Kaedah Mandi Wajib Bagi Pemakai CGM
- Berniat mandi wajib.
- Ratakan air ke seluruh badan seperti biasa, termasuk kulit di sekeliling pelekat sensor.
- Basahkan tangan, kemudian sapu di atas permukaan sensor dan pelekatnya sekali. Tidak perlu menekan atau menyelitkan air ke bawah pelekat.
- Tidak perlu bertayammum menurut pandangan yang dipilih (athar Ibn 'Umar dan pandangan Ibn Taymiyyah). Bagi yang mengikut mazhab Syafi'i yang mewajibkan tayammum bersama sapuan, boleh menambah tayammum jika mahu.




