FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PEMBUKAAN SEPENUHNYA MASJID DI NEGERI PERLIS DENGAN KELONGGARAN SOP PENGIMARAHAN SECARA BERPERINGKAT 

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri Perlis seperti yang dipersembah maklum oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, telah didapati akan perkara berikut:
 
i. Prestasi pemberian vaksin kepada rakyat Perlis adalah di tahap yang tinggi dan mencecah 199,152  orang yang sekurang-kurangnya mendapat 1 dos suntikan dan 169,368 orang telah lengkap divaksinasi berdasarkan maklumat yang dikemaskini pada 10 Oktober 2021 lalu jam 11.59 malam;
ii. Kadar peratusan vaksin adalah amat baik seperti berikut:
Berdasarkan populasi dewasa Berdasarkan populasi keseluruhan penduduk
Sekurang-kurangnya 1 dos Lengkap divaksinasi Sekurang-kurangnya 1 dos Lengkap divaksinasi
97.7% 93.3% 78.1% 66.4%
iii. Kebanyakan kes positif yang direkodkan adalah terdiri daripada kes tahap 1 & 2;
iv. Sidang Media oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Oktober 2021 telah mengumumkan kebenaran untuk aktiviti rentas negeri bagi individu yang telah lengkap menerima suntikan vaksin lengkap berkuatkuasa 11 Oktober 2021. 
 
Sehubungan itu, Baginda telah mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti, serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati, atas maksud menjalankan tanggungjawab Baginda selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri, maka sukacita dihebahkan berkaitan Pembukaan Sepenuhnya Masjid di Negeri Perlis dengan KELONGGARAN SOP Pengimarahan Secara Berperingkat berkuat kuasa Waktu Subuh 13 Oktober 2021 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan berikut:
 
A- KELONGGARAN SOP YANG DIBENARKAN
 
1- Jemaah yang menerima suntikan VAKSIN LENGKAP (sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas) dibenarkan hadir ke masjid.  (Maksud vaksin Lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh suntikan Dos KEDUA bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca, dan Sinovac. Manakala bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan Dos).
 
2- Selari dengan suasana semasa dan kebenaran yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan, beberapa perkara terdahulu yang dihadkan dengan ini dibenarkan seperti berikut:
i. Tiada lagi had kehadiran hanya kepada anak kariah;
ii. Mereka dan ahli keluarga yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri dibenarkan hadir.
 
3- Walaupun melengkapi syarat 1 & 2 di atas, Pegawai Bertugas dan Jemaah Masjid kekal DILARANG untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berikut:
i. Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti;
ii. Golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya.
 
4- Penjarakan fizikal dikurangkan kepada satu meter ketika solat dan hendaklah sentiasa dipraktikkan semasa berada di masjid ketika sesi kuliah, ceramah dan sebagainya. Adapun jika anak jemaah yang tinggal serumah maka boleh mendekatkan saf antara mereka.
 
B- PENGEKALAN SOP
 
5- Walaupun telah dilaksanakan pengurangan pada sebahagian SOP, semua yang hadir hendaklah KEKAL mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
i. Memakai PELITUP SEPARUH MUKA. (Digalakkan jenis N95 atau K95 serta memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield] );
ii. Membawa SEJADAH SENDIRI bersaiz standard;
iii. Mengambil WUDUK SEBELUM KE MASJID;
iv. MENGIMBAS SUHU BADAN dan melaksanakan REKOD PENJEJAKAN sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan;
v. Tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman serta terus beredar setelah selesai melaksanakan aktiviti pengimarahan di masjid.
 
C- AKTIVITI PENGIMARAHAN YANG DIBENARKAN
 
6- SEMUA AKTIVITI pengimarahan sama ada Solat Fardu 5 Waktu, Solat Jumaat, Solat Jenazah, kuliah agama, ceramah, akad nikah dan sebagainya dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP. Namun aktiviti jamuan hendaklah dilaksanakan secara edaran (tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna).
 
D- MASJID TERLIBAT
 
7- SEMUA masjid di seluruh Negeri Perlis adalah tertakluk kepada Arahan SOP ini manakala SURAU atau tempat solat umum/awam KEKAL TIDAK DIBUKA. Larangan ini termasuk kepada Agensi, Institusi, Parti, Maahad Tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak MAIPs melalui JAIPs.
 
Harapan
 
Dalam usaha untuk mempersiapkan negeri Perlis memasuki transisi fasa endemik yang bakal tiba, adalah menjadi harapan saya agar segala kelonggaran SOP Pengimarahan Masjid yang telah diumumkan ini disambut baik oleh seluruh rakyat yang dikasihi. Kejayaan pencapaian 90 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan satu anugerah yang harus disyukuri, bukan sekadar pada lisan, tetapi disusuli amalan dengan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan. Selaras dengan titah saya terdahulu yang berhasratkan “Masjid Sebagai Contoh Dalam Pematuhan SOP”, adalah menjadi harapan saya agar ianya akan dapat direalisasikan dengan sebaiknya.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T. 
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 12 Oktober 2021 bersamaan 5 Rabiul Awwal 1443H
 
 
25f83877 52ce 4bb3 9d1e e6ffc804a2e6e4a9e29e b641 4958 8db6 4bafe6589773d56e6c5c 69d1 414f 8d46 402cc4a341db