FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PEMBUKAAN SEPENUHNYA MASJID DI NEGERI PERLIS DAN PELAKSANAAN SOP DIPERKETAT PENGIMARAHAN 

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri Perlis seperti yang dipersembah maklum oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, telah didapati akan perkara berikut:
 
i. Kebanyakan kes positif yang direkodkan adalah terdiri daripada kes tahap 1 & 2;
ii. Prestasi pemberian vaksin kepada rakyat Perlis adalah di tahap yang tinggi dan mencecah 173,166  orang yang sekurang-kurangnya mendapat 1 dos suntikan dan 149,699  orang telah lengkap divaksinasi berdasarkan maklumat yang dikemaskini di covidnow.moh.gov.my pada 17 September 2021  lalu jam 11.50 malam;
iii. Kadar peratusan vaksin adalah baik seperti berikut: 
 
>Berdasarkan populasi dewasa 
-Sekurang-kurangnya 1 dos : 95.6%
-Lengkap divaksinasi : 82.6% 
 
>Berdasarkan populasi keseluruhan penduduk
-Sekurang-kurangnya 1 dos : 67.9% 
-Lengkap divaksinasi : 58.7%
 
Sayugia dihebahkan berkaitan Pembukaan Sepenuhnya Masjid Di Negeri Perlis Dan Pelaksanaan SOP Pengimarahan DIPERKETAT berkuat kuasa Waktu Subuh 22 September 2021 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan berikut:
 
A- MASJID TERLIBAT
 
1- SEMUA masjid di seluruh Negeri Perlis adalah tertakluk kepada Arahan Pembukaan Sepenuhnya Masjid Di Negeri Perlis dan Pelaksanaan SOP DIPERKETAT Pengimarahan.
 
2- Sehubungan itu, semua masjid dalam Mukim Kuala Perlis dan Mukim Sanglang turut DIBUKA dan arahan pengimarahan secara terhad di mukim-mukim tersebut dengan ini dibatalkan. 
 
3- Sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, mana-mana SURAU atau tempat solat umum/awam TIDAK DIBUKA. Larangan ini termasuk kepada Agensi, Institusi, Parti, Maahad Tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak MAIPs melalui JAIPs.
B- SYARAT KEHADIRAN PEGAWAI BERTUGAS & JEMAAH
 
4- Melalui arahan PEMATUHAN YANG KETAT, hanya anak kariah yang telah menerima suntukan VAKSIN LENGKAP dibenarkan hadir ke masjid.  (Maksud vaksin Lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh suntikan Dos KEDUA bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca, dan Sinovac. Manakala bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan Cansino adalah selepas hari ke-28 dari tarikh suntikan Dos).
 
5- Kecuali bagi Petugas, adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain. 
 
6- Walaupun melengkapi syarat di atas, Pegawai Bertugas dan Jemaah Masjid turut DILARANG untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berikut:
i. Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari walaupun telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.  Larangan ini adalah selama tempoh 2 minggu daripada tarikh terakhir merentas sempadan negeri. 
ii. Ahli keluarga mereka yang tinggal bersama dengan golongan yang melakukan rentas sempadan melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin. 
iii. Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
iv. Golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selsema dan sebagainya.
 
7- Semua yang hadir hendaklah mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
i. Memakai PELITUP SEPARUH MUKA. (Digalakkan jenis N95 atau K95 serta memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield] );
ii. Membawa SEJADAH SENDIRI bersaiz standard;
iii. Mengambil WUDUK SEBELUM KE MASJID;
iv. MENGIMBAS SUHU BADAN dan melaksanakan REKOD PENJEJAKAN sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.
 
C- AKTIVITI PENGIMARAHAN YANG DIBENARKAN
 
8- Semua Solat Fardu 5 Waktu, Solat Jumaat dan Solat Jenazah adalah dibenarkan.
 
9- Semua kuliah agama, kelas pengajian dan ceramah adalah TURUT DIBENARKAN dengan pematuhan SOP kehadiran seperti di para B dan SOP Tatacara Ketika di Masjid seperti di para D pada setiap masa.
 
10- Selain itu, Akad nikah juga boleh dilaksanakan di dalam masjid dengan pematuhan SOP. 
 
11- Jamuan di masjid boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus (tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna) untuk dibawa pulang sahaja. 
 
12- Bagi mereka yang bermusafir, solat sebolehnya dilaksanakan di tempat penginapan. Namun begitu bagi aktiviti musafir tanpa penginapan di Perlis, ruang solat disediakan di anjung luar masjid pada 3 waktu seperti berikut:
i. Jam 5.30 petang hingga 6.30 petang: Untuk Solat Jamak Taakhir Zohor dan Asar
ii. Jam 9.30 malam hingga 10.30 malam: Untuk Solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isyak.
iii. Bagi Solat Subuh, ruang berkenaan disediakan pada jam 6.30 pagi hingga 7.00 pagi.
 
Para musafir hendaklah mematuhi segala SOP termasuk membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat berjemaah yang terhad bilangannya 3 orang dan hanya melibatkan mereka yang bermusafir dalam kenderaan yang sama SAHAJA.
 
D- TATACARA KETIKA DI MASJID
 
13- Semua jemaah hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa. Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan  mengambil kira kewujudan varian delta yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.
 
14- Tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.
 
15- Sebagai langkah kawalan, para jemaah diminta terus beredar setelah selesai melaksanakan aktiviti pengimarahan di masjid.
 
16- Pengurusan Masjid diamanahkan untuk menjalankan kawal selia terhadap para jemaah untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan sama ada dilaksanakan oleh Jawatankuasa atau ditetapkan petugas serta berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.
 
Harapan
 
Dalam usaha untuk mempersiapkan negeri Perlis memasuki Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN), seluruh rakyat yang dikasihi hendaklah memainkan peranan sebaiknya. Kita semua hendaklah bersiap siaga dan bersedia untuk hidup bersama wabak COVID-19 dalam transisi fasa endemik yang bakal tiba. Pada hemat saya, amalan baik dalam mengamalkan SOP yang dilaksanakan di masjid hendaklah juga dipraktikkan dalam kehidupan kita sama ada di tempat persendirian mahupun di tempat awam. Selari dengan kelonggaran baharu SOP yang bakal diumumkan oleh Kerajaan, sudah pasti segala SOP yang ditetapkan tidak sukar untuk dilaksakan.
 
Di kesempatan ini, saya turut mengambil kesempatan menyempurnakan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah Azza Wajalla, atas limpah kurnia dan inayahNya, maka keadaan di negeri Perlis masih dalam keadaan baik dan terhindar daripada kemusnahan besar. Baginda dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan turut berharap agar seluruh rakyat yang Baginda berdua kasihi, sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan setiap usaha demi membendung penularan wabak Covid-19 demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.
 
Kehadrat Allah Azza Wajalla jualah dipanjatkan doa, agar segala urusan dipermudahkan dan digantikan kebaikan di atas segala kesulitan.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T. 
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 18 September 2021 bersamaan 11 Safar 1443H
 
1234