FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN KEBENARAN SEMULA KEHADIRAN MAKSIMUM JEMAAH DI MASJID NEGERI PERLIS DENGAN PENJAGAAN SOP KETAT SEPANJANG TEMPOH PELAN PEMULIHAN NEGARA

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang Alhamdulillah semakin terkawal, di samping pematuhan SOP sedia ada oleh masyarakat Perlis tercinta, adalah dimaklumkan bahawa Baginda amat sukacita dengan sikap patuh dan taat rakyat dan telah berkenan menitahkan perkara-perkara berikut:
 
SOP KEHADIRAN DAN PENYERTAAN JEMAAH
 
1. Bersetuju memperkenankan kehadiran para jemaah di masjid dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula waktu Subuh pada hari Khamis tanggal 1 Julai 2021 sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan. 
 
2. Kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis SAHAJA manakala sebarang aktiviti di surau KEKAL ditangguhkan.
 
3. Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah DIPERKETATKAN. Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:
 
a. Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield] );
b. Sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa;
c. Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
d. Mengambil wuduk sebelum ke masjid;
e. Tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman;
f. Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan).
 
4. Para jemaah digalakkan untuk membawa uncang pembungkus kasut ke masjid bagi mengelakkan kesesakan ketika keluar masuk ke dalam masjid.
 
5. Jemaah juga hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja yang berusia antara 12 tahun hingga 59 tahun. Walaubagaimanapun, bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap 2 Dos suntikan vaksin Covid-19.
 
6. Sebagai langkah kawalan, mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir (selama 2 minggu). Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin. 
 
PENGURUSAN MASJID
 
7. Tempoh masa pelaksanaan Solat Fardu 5 Waktu adalah selama 10 minit manakala tempoh pelaksanaan Khutbah dan Solat Jumaat adalah selama 15 minit SAHAJA.
 
8. Laungan azan akan kembali dilaungkan dengan lafaz dan kaedah seperti biasa.
 
9. Bagi mengurangkan risiko penularan, Jawatankuasa Kariah Masjid hendaklah memastikan pengudaraan masjid berada dalam keadaan yang baik.
 
10. Jawatankuasa Kariah Masjid diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan, sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.
 
AKTIVITI BERKUMPULAN DI MASJID
 
11. Aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain Solat Jumaat dan Solat Fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan. Justeru, manfaatkanlah kesempatan untuk meneruskan pengajian secara dalam talian / maya antaranya melalui Program ‘Perlis Mengaji’ yang disiarkan terus menerus di Laman Facebook MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Suara Sunnah Channel selain siaran oleh Studio ISNAD Jabatan Mufti Negeri Perlis. 
 
AKTIVITI LAIN YANG BERKAITAN
 
12. Solat Jenazah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan TERHAD kepada petugas dan keluarga terdekat SAHAJA dengan pematuhan SOP sepanjang masa.
 
13. Bagi mereka yang bermusafir, solat sebolehnya dilaksanakan di penginapan. Namun begitu bagi aktiviti musafir tanpa penginapan di Perlis, ruang solat disediakan di anjung luar masjid pada 3 waktu SAHAJA seperti berikut:
a. Jam 5.30 petang hingga 6.30 petang: Untuk Solat Jamak Takhir Zohor dan Asar
b. Jam 9.30 malam hingga 10.30 malam: Untuk Solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak.
c. Bagi Solat Subuh, ruang berkenaan disediakan pada jam 6.30 pagi hingga 7.00 pagi.
Para musafir hendaklah mematuhi segala SOP termasuk membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat berjemaah yang terhad bilangannya 3 orang, dan hanya melibatkan mereka yang bermusafir dalam kenderaan yang sama SAHAJA.
 
14. Akad nikah boleh dilaksanakan di premis JAIPs dan premis persendirian dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
 
Menyedari kewujudan pelbagai varian baru Wabak Covid-19 yang amat merbahaya pada masa ini, Saya menegaskan bahawa, kita semua perlu memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak ini di dalam komuniti. Kejujuran dan keikhlasan kita dalam menghayati dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan amatlah penting demi memastikan segala ikhtiar dan usaha kita mendapat limpah perkenanNya jua.
 
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
 
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
 
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
 
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
 
Bertarikh : 30 Jun 2021 bersamaan 20 Zulkaedah 1442H
 
204345487 2911776419139833 3921012345954806916 n200034248 2911776442473164 5565550711306007383 n208122722 2911776475806494 5356306318359615086 n