• Tiada Penghalang Antara Insan Dengan ALLAH
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 08 Februari 2023
    Tiada Penghalang Antara Insan Dengan ALLAH Antara rahmat ALLAH terhadap seluruh hambaNYA ialah ALLAH tidak meletakkan penghalang atau batasan untuk setiap hamba berbicara denganNYA. Bahkan, tiada masa atau tempat yang boleh menahan munajat, rintihan atau bisikan seorang hamba kepada tuhannya. Allah Maha Mendengar sekalipun tiada suara yang keluar. Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Adil dalam menentukan kedudukan setiap aduan hambaNYA. DIA telah menerima permohonan Iblis... Baca Seterusnya

Hukum Makmum Lewat Memberi Salam Setelah Imam

Soalan: 

Bolehkah seorang makmum lewat memberi salam setelah imam memberi salam? 

Jawapan: 

Apa yang menjadi sunnah ialah makmum mengikuti imam dalam semua pergerakan solatnya. Apabila imam memberi salam, maka makmum sepatutnya (sunnah) turut memberi salam. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

 إنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: "Diadakan imam itu adalah bertujuan untuk diikuti, maka janganlah kamu semua menyalahinya (dalam perbuatan solat)." (al-Bukhari dan Muslim)

Namun jika ada yang melewatkan salam setelah imam memberi salam solat, para ulama berbeza pendapat:

Pendapat pertama: Hal ini dilarang sama sekali berdasarkan pandangan ulama mazhab Maliki. Al-Hattab dalam Mawahib al-Jalil 1/545 menukilkan perkataan al-Tilimsani (التِّلِمْسَانِيُّ) dalam Syarh al-Jallab yang berkata:

إنَّهُ لَا يَجُوزُ الِاشْتِغَالُ بَعْدَ سَلَامِ الْإِمَامِ بِدُعَاءٍ وَلَا غَيْرِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak boleh (seseorang makmum) menyibukkan diri selepas salam imam untuk berdoa atau selainnya.”  

Pendapat kedua: Dibolehkan jika kelewatan itu seketika.  Dalam Matalib Uli al-Nuha 1/628 oleh al-Ruhaibani dari mazhab Hambali menyertakan nukilan daripada Abu Daud:

فَإِنْ سَبَقَ إمَامٌ بِالسَّلَامِ قَبْلَ أَنْ يُكْمِلَ مَأْمُومٌ دُعَاءَ التَّشَهُّدِ؛ أَتَمَّهُ إنْ كَانَ يَسِيرًا، ثُمَّ سَلَّمَ، وَإِنْ كَانَ كَثِيرًا تَابَعَهُ بِالسَّلَامِ، وَلَا يَشْتَغِلُ بِإِتْمَامِ ذَلِكَ،

Maksudnya: “Jika imam mendahului memberi salam sebelum makmum menyempurnakan doa tasyahhud, makmum tersebut menyempurnakan doa tasyahhudnya jika hanya memerlukan waktu yang seketika, kemudian segera memberi salam. Jika memerlukan waktu yang lama, maka hendaklah dia mengikut salam imam. Tidak perlu makmum tersebut sibuk hendak menyempurnakan doa tasyahhud tersebut.”

Pendapat ketiga: Dibolehkan makmum lewat memberi salam selepas imam. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi‘e. Hal ini kerana di sisi mereka perintah makmum mengikuti imam telah tamat dengan imam memberi salam. Kata al-Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj 1/30:

 وَتَنْقَضِي الْقُدْوَةُ بِسَلَامِ الْإِمَامِ، فَلِلْمَأْمُومِ أَنْ يَشْتَغِلَ بِدُعَاءٍ وَنَحْوِهِ ثُمَّ يُسَلِّمَ 

Maksudnya: “Dan tamat ikutan makmum dengan salam imam. Maka bagi makmum boleh mengisi ruang yang ada dengan doa dan seumpamanya, setelah itu memberi salam."

          Sebagai satu peringatan kepada para imam solat, hendaklah mereka memberi ruang kepada makmum melaksanakan sunnah mengikut imam ketika menunaikan solat. Oleh itu, hendaklah para imam memberikan ruang waktu yang mencukupi untuk makmum membaca tasyahhud dan waktu seketika untuk berdoa.  

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 207
Semalam 1899
Minggu Ini 207
Bulan Ini 7122

Keseluruhan 2133285

   Masa Capaian : 0.82 saat    Kemaskini :  01/12/2023