FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

 

IRSYAD HUKUM SIRI 21

HUKUM HARTA KOMISEN KEPADA WARIS

Assalamualaikum tuan

Saya Rizal, saya nak tanya 1 soalan berkaitan untung perniagaan.

Pada hujung tahun 2020 saya ada masuk satu tender membekal barang kepada satu jabatan kerajaan. Dalam proses untuk dapatkan tender tersebut saya ada dapatkan bantuan daripada seorang kawan yang pakar dalam urusan rundingan sebagai org tengah untuk dapatkan projek/tender tersebut, dan kawan saya berjaya dapatkan tender/projek membekal barang selama 3 tahun kepada jabatan tersebut.

Diatas usaha kawan saya untuk dapatkan tender tersebut, saya berjanji ( janji mulut ) akan memberi 10% keuntungan syarikat kepada kawan saya sebagai upah rundingan yg dia buat dengan jabatan tersebut sehingga dapat tender kepada syarikat saya, Kerja2 membekal bermula pada awal tahun 2021, lebih kurang 1 tahun kerja2 membekal berjalan dan seperti yg saya janjikan saya membayar 10% kepada kawan saya setiap bulan berdasarkan claim bulanan yg saya buat dengan jabatan tersebut selama 1 tahun kerja2 berjalan.

Semua modal 100% saya keluarkan, kawan saya berperanan sebagai org tengah untuk dapatkan projek/tender ini dan nama kawan saya tiada dalam syarikat sebagai pemegang saham atau pn pengarah. Tiada hitam putih hanya janji mulut sahaja 10% tersebut.

Pada awal tahun 2022 iaitu tahun ini bulan 1 2022 kawan saya telah meninggal dunia.

Adakah saya perlu teruskan bayar 10% keuntungan bulanan syarikat kepada waris kawan saya selama 2 tahun yg akan datang sebab tempoh tender masih ada 2 tahun?

Harap pihak tuan dapat memberi penjelasan dari segi hukum kepada saya berkaitan perkara ini.

Sekian terima kasih.

 

Jawapan : 

الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، وبعد

Terima kasih diatas soalan yang diajukan.

1. Secara umumnya jenis perjanjian dan pemberian komisen yang tuan lakukan bersama rakan tuan disebut sebagai al-Ju’alah. Ia merupakan satu akad yang menjanjikan pemberian upah kepada pihak yang berjaya menghasilkan sesuatu natijah yang dikehendaki dan disyaratkan oleh orang yang berjanji. Dalam hal ini, komisen adalah termasuk dalam kategori muamalah yang hukum asalnya adalah harus. Asas kepada penentuan hukum ini berdasarkan kaedah yang disebut oleh al-Imam al-Suyuti:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: asal sesuatu perkara itu harus sehingga adanya dalil yang mengharamkannya (al-Ashbah wa al-Naza’ir)

2. Kontrak yang telah dimeterai antara tuan dan rakan tuan adalah mengikat samada hanya melalui perjanjiaan lisan atau perjanjian bertulis. Akad komisen atau al-ju’alah ini terpakai dan tidak ada kena mengena dengan sama ada seseorang itu ada saham atau tidak dalam syarikat, atau memberi sebarang sumbangan modal. Ia adalah semata-mata komisen diatas usaha, prestasi dan kecekapan seseorang.

3. Maka ia sama seperti kontrak upah biasa, kontrak ju’alah (pemberian komisen) ini juga mengikat antara tuan dan rakan, dan upah ini diwarisi pula oleh ahli waris berdasarkan tempoh perjanjian yang dimeterai. Ini pendapat majoriti ulamak berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Hurairah R.anhu:

قالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ : المسلمونَ على شروطِهم

Maksudnya: Orang-orang Islam itu wajib berpegang pada syarat-syarat mereka (HR Abu Daud)

4. Kesimpulannya baki komisen yang tuan berikan pada rakan tersebut dibayar pula kepada warisnya hingga selesai tempoh seperti yang dijanjikan pada awal.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)