FAQ Hubungi Maklumbalas Peta Laman

Pertanyaan Hukum Menerima Bayaran Hutang Daripada Individu Yang Terlibat Dalam Forex

Pertanyaan Hukum Menerima Bayaran Hutang Daripada Individu Yang Terlibat Dalam Forex

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ingin bertanya berkenaan hukum menerima bayaran hutang daripada seseorang yang saya ketahui terlibat dalam perdagangan forex.

Situasinya begini:

Saya mempunyai seseorang yang berhutang dengan saya, dan dia telah membayar semula hutang tersebut kepada saya. Saya mengetahui bahawa individu tersebut ada terlibat dalam perdagangan forex. Namun, saya tidak mengetahui sama ada wang yang digunakan untuk membayar hutang saya itu berasal daripada keuntungan forex tersebut, gaji/pendapatan lain, simpanan, atau sumber lain.

Saya juga tidak mengetahui secara pasti sama ada wang yang digunakan untuk membayar hutang saya itu merupakan wang yang haram atau tidak. Saya hanya mengetahui bahawa dia terlibat dalam forex.

Soalan saya:

  1. Adakah saya sebagai pemiutang wajib bertanya atau menyiasat terlebih dahulu sumber wang yang digunakan oleh individu tersebut untuk membayar hutang saya?
  2. Sekiranya saya tidak mengetahui sumber khusus wang tersebut dan hanya mengetahui bahawa individu itu terlibat dalam forex, adakah saya dibenarkan menerima dan menggunakan wang bayaran hutang tersebut?
  3. Adakah hukum berubah sekiranya perdagangan forex yang dilakukan oleh individu tersebut merupakan forex yang tidak patuh syariah?
  4. Jika saya tidak mengetahui bahawa wang yang dibayar itu benar-benar berasal daripada hasil forex yang tidak patuh syariah, adakah saya tetap berdosa apabila menerima wang tersebut?

Saya bertanya kerana saya ingin memastikan wang yang saya terima dan gunakan tidak melibatkan perkara yang haram.

Saya amat menghargai sekiranya pihak Jabatan Mufti dapat memberikan penjelasan berdasarkan hukum syarak serta, jika ada, merujuk kepada fatwa atau pandangan ulama yang berkaitan.

Terima kasih atas masa dan perhatian pihak tuan/puan.

Wassalam.

 JAWAPAN

Soalan 1: Adakah wajib bertanya atau menyiasat sumber wang?

Tidak wajib. Hukum asal harta yang berada di tangan seseorang ialah miliknya. Wang yang saudara terima pula ialah pelunasan hutang, iaitu hak saudara sendiri yang saudara terima daripadanya melalui jalan yang dibenarkan oleh syarak.

Soalan 2: Bolehkah menerima dan menggunakan wang itu?

Boleh. Wang tersebut ialah hak saudara sendiri yang dipulangkan melalui jalan yang sah, iaitu pelunasan hutang. Hutang itu tanggungan dalam zimmah (tanggungan) si penghutang, bukan terikat pada wang tertentu, dan Nabi ﷺ sendiri bermuamalah dengan orang yang hartanya bercampur.

Soalan 3: Adakah hukum berubah jika forex itu tidak patuh syariah?

Forex dalam talian memang telah diputuskan haram di Perlis. Dosanya ditanggung oleh pelakunya. Namun bagi saudara selaku penerima bayaran hutang, hukumnya tidak berubah kerana:

  • saudara tidak mengetahui bahawa wang itu khusus daripada hasil forex; dan
  • walaupun ia datang daripada hasil forex, ia termasuk harta yang haram kerana cara perolehannya (riba dan maisir), bukan harta orang lain yang dirampas.

Terdapat juga ulama yang mengambil sikap lebih berhati-hati apabila diketahui dengan pasti bahawa wang tertentu itu sendiri datang daripada sumber haram. Oleh itu, jika saudara mengetahui dengan yakin, sikap wara’ ialah menasihati si penghutang agar melunaskan daripada sumber yang bersih, tanpa menggugurkan hak saudara.

Pengecualian: Jika diketahui secara pasti bahawa wang itu sebenarnya milik orang lain yang diambil secara zalim, contohnya wang pelabur dalam skim pelaburan “forex” palsu atau skim cepat kaya, maka ia tidak boleh diterima. Wang itu wajib dikembalikan kepada pemiliknya.

Soalan 4: Adakah berdosa jika tidak mengetahui wang itu benar-benar daripada forex?

Tidak berdosa. Allah tidak mempertanggungjawabkan hamba-Nya atas perkara yang tidak diketahuinya.

Nasihat

  • Elakkan bersangka buruk terhadap penghutang tanpa bukti.
  • Jika berpeluang, nasihatilah beliau dengan baik tentang keputusan fatwa berkaitan forex dalam talian, demi kebaikan dirinya.
  • Bersyukurlah kerana hutang telah dilunaskan, dan teruskan sikap berhati-hati dalam memastikan sumber rezeki yang halal.

HURAIAN RINGKAS

1.Nabi ﷺ bermuamalah dengan orang yang hartanya bercampur. Baginda ﷺ wafat dalam keadaan baju besinya tergadai di sisi seorang Yahudi (riwayat al-Bukhari), sedangkan diketahui orang Yahudi ketika itu berurusan dengan riba. Al-‘Imrani dalam al-Bayan menyebut antara faedah hadis ini:

أنه يجوز معاملة من في ماله حلال وحرام إذا لم يعلم عين الحلال والحرام، لان النبي ﷺ عامل اليهودي، ومعلوم أن اليهود يستحلون ثمن الخمر ويربون

“Bahawa harus bermuamalah dengan orang yang hartanya bercampur antara halal dan haram, selagi tidak diketahui secara khusus yang mana satu halal dan yang mana satu haram. Ini kerana Nabi ﷺ telah bermuamalah dengan seorang Yahudi, sedangkan diketahui umum bahawa orang Yahudi menghalalkan hasil jualan arak dan mengamalkan riba.” (dinukil dalam Takmilah al-Muti‘i ‘ala al-Majmu‘, 13/178)

2.Athar Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه. Ibn Rajab menyebut dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (1/201) bahawa telah sahih daripada Ibn Mas‘ud, apabila ditanya tentang seorang jiran yang memakan riba secara terang-terangan dan menjemputnya makan, beliau menjawab:

أجيبوهُ، فإنَّما المَهْنأُ لكم والوِزرُ عليه

Penuhilah jemputannya; kenikmatannya untuk kamu dan dosanya atas dia. (al-Arna’ut: Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (no. 4675) dan (no. 4676), dan sanadnya sahih.)

Dalam riwayat yang dibawa oleh Ibn ‘Abd al-Barr (dinukil oleh Ibn Taymiyyah, Jami’ al-Masa’il, 3/310–311), ditambah:

ما لم تعلم الشيء بعينه حرامًا

Selagi engkau tidak mengetahui benda itu sendiri haram.

3.Pandangan Ibn Taymiyyah. Dalam Majmu’ al-Fatawa (29/276–277), beliau membezakan antara harta yang haram pada zatnya dan harta yang haram kerana cara perolehannya seperti riba dan judi (المقبوض بعقود محرمة كالربا والميسر); yang kedua ini jika bercampur dengan harta lain tidak menjadikan keseluruhannya haram. Beliau menyimpulkan:

وَإِنْ كَانَ الْغَالِبُ عَلَى مَالِهِ الْحَلَالَ لَمْ تَحْرُمْ مُعَامَلَتُهُ

Dan jika kebanyakan hartanya adalah halal, maka tidak haram bermuamalah dengannya

4.Kaedah “haram kerana cara perolehan”. Al-Syeikh Ibn ‘Uthaymin (Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 2/59 menyebut kaedah: «ما حُرِّم لكسبه فهو حرام على الكاسب فقط، دون مَن أخذه منه بطريق مباح» — harta yang haram kerana cara memperolehnya, haramnya hanya ke atas orang yang memperolehnya, bukan atas orang yang mengambil daripadanya melalui jalan yang harus. Beliau berdalilkan Nabi ﷺ menerima hadiah dan berjual beli dengan orang Yahudi walaupun mereka memakan riba.

5.Tidak wajib bertanya. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din (2/119–121) menjelaskan bahawa bertanya hanya wajib apabila ada petanda bahawa kebanyakan harta seseorang itu haram. Jika petanda hanya menunjukkan sebahagian kecil hartanya haram:

لم يكن السؤال واجبا بل كان السؤال من الورع

Maka bertanya itu tidaklah wajib, bahkan bertanya itu termasuk dalam sikap wara’.

6.Tiada dosa atas perkara yang tidak diketahui. Firman Allah Ta‘ala:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Dan tidak ada dosa ke atas kamu pada perkara yang kamu tersilap padanya, tetapi yang berdosa ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu. (al-Ahzab: 5)

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1739
Semalam 2086
Minggu Ini 9457
Bulan Ini 63009

Keseluruhan 4020489

   Masa Capaian : 1.23 saat    Kemaskini :  30/10/2026