Hukum Penggunaan Gambar Lama Arwah Wanita Muslimah Yang Tidak Menutup Aurat Di Dalam Buku Biografi Berunsur Sejarah

Hukum Penggunaan Gambar Lama Arwah Wanita Muslimah Yang Tidak Menutup Aurat Di Dalam Buku Biografi Berunsur Sejarah

Hukum Penggunaan Gambar Lama Arwah Wanita Muslimah Yang Tidak Menutup Aurat Di Dalam Buku Biografi Berunsur Sejarah

(a) Pada asalnya, menyiarkan gambar wanita yang tidak menutup aurat kepada khalayak umum hendaklah dielakkan, dan tanggungjawab perbuatan tersebut terletak pada pihak yang menerbit dan menyiarkannya.

(b) Nilai sejarah merupakan maslahah yang diiktiraf, namun tidak mencapai tahap darurat yang mengharuskan penyiaran gambar tersebut dalam bentuk asalnya, kerana tujuan dokumentasi masih boleh dicapai melalui cara lain.

(c) Arwah tidak menanggung dosa atas penerbitan yang dilakukan oleh waris selepas kematiannya, selagi gambar tidak menutup aurat itu diambil bukan dengan tujuan disebarkan kepada umum.

(d) Syarat berkaitan individu yang hendak disiarkan gambarnya;

  • Tiada bantahan daripadanya atau dari keluarganya yang terdekat.
  • Gambar berkaitan tidak mencemarkan maruah atau menimbulkan sangkaan buruk kepadanya.

 HURAIAN

  1. Kewajipan Menutup Aurat dan Menjaga Maruah

Menutup aurat merupakan kewajipan yang disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Demikian juga tujuan menutup auratnya disebut dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali (sebagai perempuan yang baik dan terpelihara), lalu mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59)

Berhubung gambar fotografi, para ulama berbeza pandangan sama ada melihat gambar menyamai hukum melihat orang sebenar. Al-Ramli dari kalangan ulama mazhab Syafi‘e ketika menghuraikan perkataan al-Nawawi dalam al-Minhaj:

 “Dan haram bagi lelaki (fahl) yang baligh memandang aurat wanita merdeka yang Ajnabi..”,

menyatakan:

خَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَرَهَا وَلَيْسَ الصَّوْتُ مِنْهَا فَلَا يَحْرُمُ سَمَاعُهُ مَا لَمْ يَخَفْ مِنْهُ فِتْنَةً

“Terkecuali (daripada hukum haram) ialah imej wanita ajnabi; maka tidak haram bagi lelaki memandangnya pada sesuatu seperti cermin, sebagaimana yang difatwakan oleh sekumpulan ulama, kerana dia tidak melihat (diri) wanita itu… selagi tidak dibimbangi berlakunya fitnah.” (Nihayah al-Muhtaj 6/187)

Walau bagaimanapun, menyebarkan gambar yang mendedahkan aurat secara meluas membuka ruang pandangan yang tidak wajar kepada arwah dan ahli keluarga dan ia juga bercanggah dengan maqasid syariah dalam memelihara maruah. Atas prinsip menutup jalan kepada kemudaratan (sadd al-dharā’i‘), perbuatan tersebut sewajarnya dielakkan.

Maruah seorang Muslim juga tetap terpelihara walaupun selepas kematiannya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati sama seperti mematahkannya ketika dia hidup.” (Riwayat Abu Dawud berstatus sahih)

Hadis ini menunjukkan bahawa kehormatan si mati wajib dijaga oleh orang yang masih hidup. Namun perlu difahami bahawa kewajipan ini dipertanggugjawabkan ke atas pihak yang hidup, bukannya menjadi beban dosa ke atas si mati.

  1. Arwah Tidak Menanggung Dosa Perbuatan Waris

Prinsip asas dalam Islam ialah setiap individu hanya bertanggungjawab ke atas perbuatannya sendiri. Firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Surah al-An‘am: 164)

Rasulullah SAW juga bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Penerbitan gambar yang dilakukan oleh waris selepas kematian arwah bukanlah amalan arwah, tidak dilakukan atas arahan atau wasiatnya, dan bukan hasil niatnya. Adapun hadis:

“sesiapa yang memulakan sunnah yang buruk dalam Islam, maka ke atasnya dosa perbuatan itu dan dosa orang yang mengamalkannya selepasnya” (Riwayat Muslim)

Hadis ini merujuk kepada individu yang memulakan dan menyebarkan sesuatu perbuatan buruk. Ia tidak terpakai ke atas gambar keluarga persendirian yang diambil di studio untuk simpanan keluarga.

Selain itu, perlu diambil kira ‘uruf masyarakat Melayu pada era 1940-an, di mana ramai wanita Muslimah berpakaian baju kurung dengan rambut terbuka atau berselendang longgar, sesuai dengan tahap kefahaman dan amalan masyarakat ketika itu.

  1. Kedudukan Nilai Sejarah dalam Timbangan Syarak

Syarak mengiktiraf kepentingan memelihara sejarah, salasilah dan ilmu. Namun dalam susunan maslahah, keperluan dokumentasi sejarah lazimnya berada pada tahap ḥājiyyāt atau taḥsīniyyāt (keperluan sokongan dan pelengkap), dan tidak mencapai tahap ḍarūriyyāt (keperluan asasi yang mendesak). Kaedah fiqh menyebut:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kerosakan didahulukan daripada meraih kebaikan.”

Kelonggaran (rukhsah) hanya diberikan apabila tiada jalan lain untuk mencapai maslahah tersebut, dan ia diukur mengikut kadar keperluan sahaja (al-ḍarūrah tuqaddaru bi qadarihā). Dalam kes ini, tujuan dokumentasi masih boleh dicapai tanpa mendedahkan aurat arwah kepada umum. Oleh itu, nilai sejarah tidak memberi rukhsah untuk menyiarkan gambar tersebut dalam bentuk asalnya kepada khalayak ramai.

Namun begitu, kami mengambil maklum beberapa faktor peringan: pakaian arwah dalam gambar tersebut longgar, berlengan panjang dan labuh; pendedahan hanya terhad kepada rambut dan sebahagian leher; tiada unsur tabarruj; dan tujuan penerbitan adalah ilmiah, bukan untuk mengeksploitasi atau menjatuhkan maruah arwah. Faktor-faktor ini membuka ruang kepada penyelesaian yang seimbang sebagaimana dicadangkan di bawah.

  1. Cadangan Penyelesaian

Bagi mengimbangi amanah sejarah dan tuntutan syarak, pihak waris boleh mempertimbangkan salah satu atau gabungan langkah berikut:

  1. Mengaburkan atau memotong (crop) bahagian rambut secara berhemah, disertai kapsyen yang menjelaskan bahawa gambar asal telah disunting atas pertimbangan syarak. Cara ini lebih jujur dari segi sejarah berbanding menambah tudung secara digital.
  2. Menggantikan gambar dengan lakaran atau ilustrasi yang dihasilkan berdasarkan gambar asal.
  3. Menggunakan gambar lain arwah yang lebih menutup aurat, sekiranya ada.
  4. Menghuraikan kandungan gambar secara bertulis (pakaian, latar studio, zaman) di dalam edisi awam.
  5. Menyimpan gambar asal dalam arkib keluarga atau edisi terhad yang hanya diedarkan kepada ahli keluarga mahram.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1087
Semalam 2245
Minggu Ini 8015
Bulan Ini 1087

Keseluruhan 3958567

   Masa Capaian : 1.04 saat    Kemaskini :  01/10/2026