Hukum Memakai Baju Gambar Kartun Wanita

Hukum Memakai Baju Gambar Kartun Wanita

Gambar kartun wanita tidak boleh disamakan secara mutlak dengan wanita sebenar dari sudut hukum aurat. Oleh yang demikian, pendedahan anggota tubuh pada gambar kartun tidak semestinya terikat dengan hukum aurat manusia. Walau bagaimanapun, penentuan hukumnya tetap tertakluk kepada unsur kesopanan, potensi fitnah, rangsangan syahwat, serta kemudaratan (mafsadah) yang mungkin timbul. Jika menimbulkan kerosakan maka hukum tetap dilarang walaupun tahapnya tidak sama dengan melihat wanita secara terus. Dalam kalangan fuqaha ada yang membezakan antara hukum melihat gambar wanita dari biasan cermin, dibanding memandang wanita yang sebenar. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 40/353 dinyatakan:

نَظَرُ الرَّجُل إِلَى صُورَةِ مَا لاَ يَحِل النَّظَرُ إِلَى عَيْنِهِ مِنَ الْمَرْأَةِ الأَْجْنَبِيَّةِ أَشَارَ إِلَى حُكْمِهِ بَعْضُ الْفُقَهَاءِ، مِنْ ذَلِكَ مَا ذَكَرَهُ ابْنُ عَابِدِينَ، حَيْثُ قَال: لَمْ أَرَ مَا لَوْ نَظَرَ إِلَى الأَْجْنَبِيَّةِ مِنَ الْمِرْآةِ أَوِ الْمَاءِ، وَقَدْ صَرَّحُوا فِي حُرْمَةِ الْمُصَاهَرَةِ بِأَنَّهَا لاَ تَثْبُتُ بِرُؤْيَةِ فَرْجٍ مِنْ مِرْآةٍ أَوْ مَاءٍ لأَِنَّ الْمَرْئِيَّ مِثَالُهُ لاَ عَيْنُهُ، بِخِلاَفِ مَا لَوْ نَظَرَ مِنْ زُجَاجٍ أَوْ مَاءٍ هِيَ فِيهِ، لأَنَّ الْبَصَرَ يَنْفُذُ فِي الزُّجَاجِ وَالْمَاءِ فَيَرَى مَا فِيهِ، وَمُفَادُ هَذَا أَنَّهُ لاَ يَحْرُمُ نَظَرُ الأَْجْنَبِيَّةِ مِنَ الْمِرْآةِ أَوِ الْمَاءِ، إِلاَّ أَنْ يُفَرَّقَ بِأَنَّ حُرْمَةَ الْمُصَاهَرَةِ بِالنَّظَرِ وَنَحْوِهِ شُدِّدَ فِي شُرُوطِهَا، لأَِنَّ الأَْصْل فِيهَا الْحل، بِخِلاَفِ النَّظَرِ، لأَِنَّهُ إِنَّمَا مُنِعَ مِنْهُ خَشْيَةَ الْفِتْنَةِ وَالشَّهْوَةِ، وَذَلِكَ مَوْجُودٌ هُنَا، وَرَأَيْتُ فِي فَتَاوَى ابْنِ حَجَرٍ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ ذَكَرَ فِيهِ خِلاَفًا بَيْنَهُمْ وَرَجَّحَ الْحُرْمَةَ بِنَحْوِ مَا قُلْنَاهُ، وَقَال الرَّمْلِيُّ مِنَ الشَّافِعِيَّةِ شَارِحًا لِقَوْل النَّوَوِيِّ فِي الْمِنْهَاجِ: وَيَحْرُمُ نَظَرُ فَحْلٍ بَالِغٍ إِلَى عَوْرَةِ حُرَّةٍ أَجْنَبِيَّةٍ، خَرَجَ مِثَالُهَا، فَلاَ يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ، كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ، لأَِنَّهُ لَمْ يَرَهَا. . . مَا لَمْ يَخَفْ فِتْنَةً

Pandangan seorang lelaki terhadap gambar seorang wanita ajnabiyyah yang mana melihat tubuhnya secara langsung adalah tidak dibenarkan, sebahagian fuqaha telah memberikan isyarat tentang hukumnya. Antaranya ialah apa yang disebut oleh Ibn ‘Ābidīn, beliau berkata: “Aku belum mendapati perbahasan tentang keadaan seseorang lelaki melihat wanita ajnabiyyah melalui cermin atau air. Namun, para fuqaha telah menjelaskan dalam masalah hurmah al-muṣāharah bahawa hukum tersebut tidak terhasil dengan melihat kemaluan seseorang melalui cermin atau air, kerana sesuatu yang dilihat itu hanyalah gambarannya, bukan zat dirinya yang sebenar. Berbeza sekiranya seseorang melihat melalui kaca atau air yang wanita itu berada di dalam air atau kaca tersebut, kerana penglihatan dapat menembusi kaca dan air tersebut sehingga dia melihat apa yang berada di dalamnya. Daripada kenyataan ini dapat difahami bahawa melihat wanita ajnabiyyah melalui (biasan) cermin atau air tidaklah diharamkan. Namun, perkara ini boleh dibezakan dengan mengatakan bahawa hurmah al-muṣāharah yang terhasil melalui pandangan dan seumpamanya mempunyai syarat-syarat yang lebih ketat, kerana hukum asalnya adalah halal (tidak menjadikan mahram). Berbeza dengan masalah melihat wanita ajnabiyyah, kerana larangan melihat adalah disebabkan kebimbangan berlakunya fitnah dan syahwat, sedangkan kedua-dua perkara tersebut juga boleh wujud dalam keadaan melihat melalui cermin atau air. Aku juga mendapati dalam Fatāwā Ibn Ḥajar daripada kalangan ulama Syafi‘iyyah, beliau menyebut bahawa terdapat khilaf dalam kalangan mereka mengenai masalah ini dan beliau mentarjihkan hukum haram, berdasarkan alasan yang hampir sama dengan apa yang telah kami nyatakan. Sementara itu, al-Ramlī daripada kalangan ulama Syafi‘iyyah, ketika mensyarahkan perkataan al-Nawawī dalam al-Minhāj berkata: “Haram bagi seorang lelaki dewasa melihat aurat seorang wanita merdeka yang ajnabiyyah.” Al-Ramlī menjelaskan: “Dikecualikan daripadanya gambaran atau bayangan wanita tersebut. Maka, tidak haram seseorang lelaki melihatnya melalui sesuatu seperti cermin, sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian ulama, kerana sebenarnya dia tidak melihat wanita itu sendiri … selagi dia tidak takut berlaku fitnah.”

Dari segi pemakaian baju bergambar makhluk bernyawa, termasuk kartun wanita, ia menjadi haram jika gambar tersebut ditempatkan pada posisi yang dihormati atau dimuliakan. Al-Imam al-Nawawi RH menegaskan dalam Syarh Sahih Muslim (14/81):

وَأَمَّا اتِّخَاذُ الْمُصَوَّرِ فِيهِ صُورَةَ حَيَوَانٍ فَإِنْ كَانَ مُعَلَّقًا عَلَى حَائِطٍ أَوْ ثَوْبًا مَلْبُوسًا أَوْ عِمَامَةً وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا لا يُعَدُّ مُمْتَهَنًا فَهُوَ حَرَامٌ وَإِنْ كَانَ فِي بِسَاطٍ يُدَاسُ وَمِخَدَّةٍ وَوِسَادَةٍ وَنَحْوِهَا مِمَّا يُمْتَهَنُ فَلَيْسَ بِحَرَامٍ

"Menggunakan gambar makhluk bernyawa yang digantung di dinding, dipakai sebagai baju atau pada serban (yang tiada untuk kerendahan) adalah haram. Tetapi jika ia pada alas yang dipijak atau bantal yang diduduki (unsur kerendahan), maka ia tidak haram."

Justeru, eloklah dijauhi pemakaian baju yang mempunyai gambar makhluk bernyawa. Lebih-lebih lagi jika gambar tersebut tidak sopan atau boleh menimbulkan fitnah, hukumnya adalah haram.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 106
Semalam 2254
Minggu Ini 11610
Bulan Ini 31215

Keseluruhan 3859869

   Masa Capaian : 1.03 saat    Kemaskini :  14/8/2026