Pandangan Berhubung Lafaz Talak Dalam Keadaan Gangguan Kesihatan Mental Dan Tekanan Emosi

Pandangan Berhubung Lafaz Talak Dalam Keadaan Gangguan Kesihatan Mental Dan Tekanan Emosi

Jawapan Terhadap Permohonan Pandangan Berhubung Lafaz Talak Dalam Keadaan Gangguan Kesihatan Mental dan Tekanan Emosi

Merujuk kepada email tuan yang memohon pandangan berhubung beberapa lafaz talak yang pernah diucapkan kepada isteri. Setelah meneliti penjelasan yang dikemukakan, pihak kami mengemukakan pandangan seperti berikut:

Pertama: Pihak kami merakamkan rasa simpati terhadap ujian yang sedang dihadapi oleh tuan, sama ada dari sudut kesihatan fizikal mahupun mental. Berdasarkan surat yang dikemukakan, tuan memaklumkan telah disahkan menghidap Anxiety Disorder dan Depression, sedang menjalani rawatan psikiatri, mengambil ubat-ubatan antidepresan, di samping menghadapi beberapa masalah kesihatan lain yang menurut tuan telah memberi kesan kepada kestabilan emosi, daya tumpuan, ingatan dan keupayaan membuat pertimbangan.

Dalam masa yang sama, tuan juga menyatakan bahawa beberapa lafaz talak telah diucapkan ketika berada dalam keadaan tekanan emosi yang sangat berat, kemarahan melampau, panik, hilang kawalan diri dan tidak pasti sama ada benar-benar menyedari implikasi ucapan tersebut.

Hukum Talak Dalam Keadaan Gangguan Mental

Pada asalnya, seseorang yang melafazkan talak secara sedar, mengetahui apa yang diucapkan serta mempunyai pilihan untuk mengucapkannya, maka talak yang dilafazkannya terlaksana, apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syarak.

Namun demikian, syarak juga mengambil kira keadaan seseorang yang kehilangan atau mengalami kekurangan keupayaan berfikir dan membuat pertimbangan. Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

"Diangkat pena (tidak dipertanggungjawabkan) daripada tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga baligh dan orang gila sehingga dia kembali berakal." (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Hakim, beliau juga menilai hadis ini sebagai sahih berdasarkan syarat Muslim namun beliau tidak meriwayatkannya. Penilaian al-Hakim ini dipersetujui oleh al-Zahabi)

Para fuqaha turut membincangkan bahawa seseorang yang berada dalam keadaan hilang akal, tidak menyedari apa yang diucapkan, atau mengalami gangguan yang menghilangkan keupayaan membuat pilihan dan pertimbangan, maka hukum talaknya tidak sama dengan orang yang berada dalam keadaan normal.

Walau bagaimanapun, gangguan seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), tekanan emosi yang berat atau pengambilan ubat-ubatan tidak secara automatik menyebabkan talak tidak jatuh. Sebaliknya, keadaan tersebut hendaklah dinilai berdasarkan tahap kesannya terhadap kesedaran dan keupayaan seseorang ketika lafaz itu diucapkan.

Penentuan Hukum Bergantung Kepada Fakta Kes

Berdasarkan maklumat yang dikemukakan, pihak kami tidak dapat memastikan sama ada pada setiap kejadian yang dinyatakan, tuan telah kehilangan kesedaran sepenuhnya, hilang keupayaan memahami makna ucapan atau sekadar berada dalam keadaan marah dan tertekan.

Perkara ini merupakan persoalan fakta (masalah waqi'iyyah) yang memerlukan penelitian secara terperinci terhadap:

  1. tahap kesedaran tuan ketika setiap lafaz diucapkan;
  2. keadaan sebenar penyakit mental yang dihidapi;
  3. kesan ubat-ubatan yang sedang diambil;
  4. laporan pakar psikiatri yang merawat;
  5. keterangan isteri serta saksi-saksi jika ada; dan
  6. kronologi setiap kejadian secara terperinci.

Oleh sebab itu, pihak kami tidak dapat membuat keputusan muktamad sama ada setiap lafaz tersebut mengakibatkan jatuhnya talak atau sebaliknya hanya berdasarkan surat yang dikemukakan.

Jika tuan mendapati diri tuan ketika mengucapkan talak itu di luar sedar dan di bawah paras sedar sehingga mengucapkannya tanpa niat untuk sampai ke tahap tersebut, maka talak tidak jatuh.

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah

Perlu dijelaskan bahawa penentuan sama ada sesuatu talak telah berlaku atau tidak merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, pihak kami menasihatkan supaya tuan segera mengemukakan permohonan pengesahan lafaz talak di Mahkamah Syariah. Dalam prosiding tersebut, mahkamah boleh mendapatkan laporan pakar psikiatri serta menilai keseluruhan fakta sebelum membuat keputusan menurut hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

Nasihat

Sementara menunggu penyelesaian di Mahkamah Syariah, pihak kami menasihatkan agar:

  1. meneruskan rawatan psikiatri dan mematuhi segala nasihat doktor;
  2. mengelakkan daripada melafazkan perkataan yang membawa kepada talak ketika berada dalam keadaan marah atau emosi yang tidak stabil;
  3. mendapatkan kaunseling rumah tangga sekiranya diperlukan; dan
  4. sentiasa memperbanyakkan doa, zikir dan memohon pertolongan Allah SWT agar diberikan ketenangan serta dipelihara rumah tangga.

Dakwaan Sihir

Pihak kami juga ingin menegaskan bahawa dakwaan berhubung kewujudan sihir atau gangguan makhluk halus bukanlah asas untuk menentukan hukum jatuh atau tidak jatuhnya talak. Perkara tersebut, sama ada benar atau sebaliknya, tidak mengubah hukum lafaz talak melainkan jika dapat dibuktikan bahawa gangguan tersebut telah menyebabkan seseorang kehilangan akal atau keupayaan memahami dan mengawal perbuatannya. Oleh itu, penilaian hukum tetap hendaklah berpaksikan keadaan sebenar ketika lafaz diucapkan berdasarkan keterangan dan bukti yang boleh diterima.

Penutup

Kesimpulannya, berdasarkan maklumat yang dikemukakan, pihak kami tidak dapat memutuskan sama ada talak telah jatuh atau tidak kerana perkara tersebut bergantung kepada penilaian fakta setiap kejadian, termasuk tahap kesedaran dan keupayaan mental tuan ketika lafaz diucapkan. Penentuan tersebut hendaklah dibuat oleh Mahkamah Syariah setelah meneliti keseluruhan keterangan dan laporan pakar yang berkaitan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan kepada tuan, memelihara institusi keluarga serta memberikan jalan penyelesaian yang terbaik menurut syariat-Nya.

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 209
Semalam 1864
Minggu Ini 2073
Bulan Ini 77191

Keseluruhan 3820820

   Masa Capaian : 1.03 saat    Kemaskini :  27/7/2026