Lafaz Niat Solat Ketika Memulakan Solat
LAFAZ NIAT SOLAT KETIKA MEMULAKAN SOLAT
Hukum bagi lafaz niat solat sebelum memulakan solat jemaah oleh imam bertugas melafazkan niat solat ketika memulakan solat seperti أصلي فرض... atau تويت أن أصلي فرض... dan seumpamanya, tidak terdapat petunjuk daripada sunnah Nabi ﷺ. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat imam bertugas di masjid-masjid dalam Negeri Perlis yang melazimi amalan melafazkan niat sedemikian sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan jemaah, maka imam berkenaan wajar dipanggil dan diberikan teguran supaya beriltizam dengan sunnah Nabi ﷺ serta meninggalkan amalan tersebut yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Tiada pandangan muktabar dari keempat-empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang menyatakan bahawa melafazkan niat solat ketika memulakan solat adalah wajib. Hal ini kerana keempat-empat mazhab bersepakat tentang kewajipan berpegang teguh kepada sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Memandangkan amalan melafazkan niat tidak terdapat contoh daripada sunnah Baginda ﷺ, maka tiada pandangan muktabar dari kalangan mereka yang mewajibkannya.
Terdapat sebahagian ulama yang berpandangan bahawa melafazkan niat sebelum memulakan solat adalah suatu amalan yang dianjurkan. Namun, pandangan tersebut hanya bertujuan membantu menghadirkan niat yang tempatnya di dalam jantung hati, khususnya bagi mereka yang menghadapi gangguan atau waswas berkaitan niat. Itupun dibantah oleh para ulama yang lain dengan menyatakan perbuatan tersebut bukan mengurangkan was-was sebaliknya boleh menambahkan was-was dan salah faham tentang konsep niat. Adapun bagi seorang imam masjid, sewajarnya seorang imam telah bebas dari masalah berkaitan niat solat. Sekiranya seseorang imam masih tidak mampu mengatasi gangguan tersebut, maka gugurlah salah satu ciri penting yang sewajarnya ada pada seorang imam yang baik.







