Amalan Membaca Rabbighfirli Selepas Bacaan Al-Fatihah Di Dalam Solat

 

 

 

doa12.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, mohon jasa baik untuk memberi penjelasan berkaitan amalan membaca Rabbighfirli selepas bacaan al-Fatihah di dalam solat.

 Jawapan:

            Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kerana mengajukan persoalan ini. Perincian jawapan terhadap persoalan yang diutarakan adalah seperti berikut:

  1. Amalan membaca ‘rabbigfirli’ (رَبِّ اغْفِرْلِي) selepas membaca surah al-Fatihah berasal daripada sebuah hadis dalam al-Sunan al-Kubra oleh al-Imam al-Bayhaqi, daripada riwayat Wail bin Hujr:

أنَّه سمِع رسولَ اللَّهِ r حينَ قالَ: "‌غَيْرِ ‌الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ"، قالَ: "رَبِّ اغفِرْ لِي، آمينَ"

“Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila membaca: “Ghayr al-maghḍūbi ‘alayhim wa lā al-ḍāllīn”, kata Baginda: “Rabbi ighfirlī, āmīn”.

  1. Namun begitu, hadis ini dinilai dhaif oleh al-Imam al-Zahabi kerana munkar.
  2. Al-Imam Ibn Rejab menyatakan bahawa tidak dianjurkan untuk melafazkan doa lain sebelum menyebut ‘amin’ sesudah membaca Surah al-Fatihah. Hal ini kerana lafaz ‘amin’ selepas bacaan Surah al-Fatihah tersebut adalah untuk mengaminkan doa yang terkandung dalam Surah al-Fatihah, iaitu doa memohon petunjuk untuk ditempatkan di jalan yang lurus.
  3. Walaupun begitu, hal ini bukanlah bermaksud seseorang tidak boleh berdoa dengan sesuatu doa lain di dalam solat, tetapi sebaiknya seseorang berdoa pada tempat yang dianjurkan untuk berdoa, seperti ketika sujud dan sebelum memberi salam.
  4. Anjuran untuk berdoa ketika berada dalam keadaan sujud diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاء

“Keadaan yang paling dekat antara seseorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud)”. (Riwayat Muslim)

  1. Manakala anjuran untuk berdoa di penghujung solat sebelum memberi salam, diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya:

يا رَسولَ الله: أيُّ الدُّعاءِ أسْمعُ؟ قال: "جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ، ودُبُرُ الصَّلواتِ المكْتُوباتِ

"Wahai Rasulullah: doa apakah yang paling didengari? Jawab Baginda: sewaktu di pertengahan malam dan di penghujung solat fardhu”. (Riwayat al-Tirmidzi, hadis Sahih)

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 624
Semalam 1210
Minggu Ini 4240
Bulan Ini 37932

Keseluruhan 3609500

   Masa Capaian : 1.32 saat    Kemaskini :  27/4/2026