FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Hanya Permainan dan Sia-Sia

    Hanya Permainan dan Sia-Sia

    Information
    06 Januari 2023
    Peringatan al-Quran bahawa dunia ini hanya "permainan dan sia-sia" (Surah al-An'am ayat 32, Surah Muhammad ayat 36, Surah al-Hadid ayat 20) akan dapat kita lihat apabila kita benar-benar merenung kehidupan ini.   Masa berlari pergi, peristiwa-peristiwa yang terjadi dan baki kenangan yang tertinggal kini, benar-benar menjadi saksi bahawa kehidupan hanya sendiwara yang tidak pernah berhenti. Apa yang kita lihat, tidak seperti yang kita sangka. Apa yang kita sangka, mungkin hakikatnya sangat berbeda. Semalam tidak lagi sama seperti hari ini. Esok mungkin berubah lagi... Baca seterusnya

Coretan Duka, Apabila Bonda Sudah Tiada…

Sembilan bulan lepas, apabila ayah pergi, memang kesedihan itu dirasai. Namun, kewujudan emak di sisi dapat menampung dukacita itu. Melihat wajah emak, menampung sebahagian kesedihan yang hadir. Di samping pemergian ayah yang sakit mengurangkan bebanan emak yang menjaganya saban hari. Emak pun makin tua dan uzur. Perasan kami bagaikan dapat dipujuk.

Apabila emak meninggalkan kami, kesedihan itu sangat dahsyat. Seluruh sudut yang saya lihat menjadi suram. Satu kesunyian dalam diri yang sukar digambarkan. Walaupun wajah mungkin tersenyum, tetapi kesunyian dan rindu yang mendalam itu mencuri rasa manis dan gembira pada apa sahaja. Jika dalam diri itu bagaikan sebuah rumah, ruang utama tempat masuk telah berubah menjadi begitu sunyi dan sedih, dibaluti suatu rasa yang terbungkam yang menjadikan keceriaan ruangan lain itu berbalam. Rasa kekurangan menerjah bagi setiap yang dilihat dan diberitahu. Setiap berita yang baik, cerita yang menarik, rasa yang enak atau pemandangan yang indah, akan dilatari rasa kesugulan atas suatu kehilangan yang selama ini menjadi tempat perasaan bersandar kasih dan manja.

Sifat Ibu

Emak saya seorang biasa. Meninggal pada usia 79 tahun. Tidak berpendidikan tinggi. Namun, boleh membaca dan menulis. Demikian juga boleh membaca al-Quran. Darah keturunan cina. Cerdas dan tangkas cara fikirnya. Kami empat beradik. Saya anak kedua. Kami dibesarkan dengan semangat untuk belajar dan ke sekolah. Beliau seorang pembersih yang amat. Kerajinan yang luarbiasa. Sangat menjaga kekemasan. Masih saya ingat, setiap kali buku sekolah kami dapat, emak akan membalutnya dengan kertas begitu rapi. Kasut sekolah dikapur putih. Walaupun, kami hidup hanya secukup yang ada, semangat emak dan juga ayah untuk kami belajar sangat kuat. Makan pakai dijaga dengan rapi oleh emak. Walaupun baju lama tapi bersih dan dinila agar putih kebiruan. Sentiasa diseterika dengan baik. Masih saya terbayang seterika arang yang emak guna untuk memastikan baju kami kemas ke sekolah. Petang-petang kami berbedak sejuk di muka walaupun anak lelaki.

Sayang dan kasih emak memenuhi ruang kehidupan kami. Bahkan ramai orang yang menumpang kasih emak. Ramai yang pada akhir hayat mereka dijaga oleh beliau termasuk bapa mertua beliau yang merupakan datuk saya. Emaklah yang menguruskan mereka sehingga akhir hayat dengan penuh tanggungjawab. Hal itu tidak mudah dan memerlukan kesabaran serta tenaga yang banyak terutama yang cerewet pasal kebersihan seperti emak. Dalam kehidupan yang pendapatan keluarga terhad, bukan mudah mengambil tanggungjawab menjaga orang-orang yang sakit di penghujung hayat. Namun, emak kami telah melakukannya untuk beberapa orang.

Kasih Cinta

Tiada siapa yang sempurna. Diri kita pun tidak sempurna. Demikianlah ibubapa kita. Namun, hubungan kita dengan mereka adalah hubungan kasih dan cinta. Itulah yang menjadikan kita sentiasa ingat kepada seseorang. Jika ibubapa tidak menzahirkan kasih dan cinta, bagaimana mungkin kasih anak-anak berkuntum dan mekar untuk mereka? Al-Aqra’ bin Habis apabila melihat Nabi s.a.w mencium cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali, lalu dia berkata bahawa dia mempunyai sepuluh orang anak, tiada seorang pernah dia cium. Nabi s.a.w berkata kepadanya: 

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

 “Sesungguhnya sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kasih kita tertumpah kepada orang yang mengasihi kita. Emak saya mengasihi ramai orang. Dia mempunyai anak saudaranya yang amat mengasihinya bagaikan dialah ibunya yang sebenar. Demikian adik-adik iparnya. Dia mempunyai anak-anak angkat yang menganut Islam yang sangat kasih kepadanya. Demikian juga ayah saya.

Ketakutan

Semasa saya masih kecil, perkara yang paling saya takut adalah apabila membayangkan emak atau ayah saya meninggal dunia. Dengan fitrah iman seorang kanak-kanak, saya berdoa ketika itu, agar Allah memanjangkan usia emak dan ayah saya sehingga dapat saya menjaga mereka. Perkataan yang paling merisaukan saya apabila emak atau ayah berkata: “Kalau emak atau ayah mati nanti…”. Itu sangat mendebarkan jiwa saya. Cita-cita awal saya sebelum segala cita-cita lain adalah emak dan ayah tidak meninggal awal sebelum saya sempat membesar dan menyumbang kepada mereka.

Apabila umur makin dewasa, sibuk menghadapi perjalanan hidup, ketakutan tentang kematian emak dan ayah tidak sempat mencuri ruang perasaan. Apatahlagi selepas balik daripada Jordan, saya tinggal di rumah ibubapa saya di kampung kami Mengkuang Bukit Mertajam. Kemudian, saya ada rumah bersebelahan rumah mereka. Kewujudan mereka sentiasa saya rasa. Adik beradik saya juga sentiasa menjenguk mereka. Mereka masih kuat dan sihat. Ayah masih boleh memandu kereta membawa emak ke sana sini.

Bersama di Kampung

Pada tahun 2006-2008, saya jadi Mufti Perlis untuk kali pertama pada usia 35 tahun. Ayah dan emak masih kuat dan dapat datang sendiri ke Perlis. Saya juga menyediakan kereta untuk mereka. Pada tahun 2008, saya dan keluarga di luar negara, mereka masih segar dan sihat. Selepas menjadi Mufti Perlis kali pertama, saya terus ke Wales selama 9 bulan. Keluarga saya hanya bersama saya di sana selama 6 bulan. Selepas itu mereka pulang berada di rumah saya yang bersebelahan dengan ibubapa saya di Mengkuang, BM. Semasa saya fellowship di Oxford 2011, hampir setahun, keluarga tidak ikut. Mereka berada di samping ibubapa saya. Demikian apabila saya sabatikal di SOAS London pada 2014, mereka berada di samping ibubapa saya. Tiada banyak kerisauan saya tentang ibubapa saya. Apatahlagi, saya mempunyai isteri yang sangat-sangat prihatin kepada kedua ibubapa saya. Mereka berdua juga masih sihat. Cucu-cucu sentiasa menemani mereka.

Saya Pindah Ke Perlis

Apabila saya dilantik menjadi Mufti Perlis kali kedua pada 2015, saya dan keluarga berpindah ke Perlis. Kami sewa rumah di Perlis. Saya sering pulang menjenguk emak dan ayah di Mengkuang BM. Sering juga bawa mereka ke Perlis. Di Mengkuang, rumah kami walaupun ‘biasa aje’ tapi ruang agak luas. Rumah sewa yang kami duduk di Perlis agak sempit dibandingkan rumah kampung kami. Pun begitu emak dan ayah kerap kami bawa ke Perlis. Bawa jalan ‘makan-makan’ adalah agenda yang paling sesuai untuk orang tua-tua.

Bina Rumah Baru

Apabila Allah memberikan rezeki, saya dapat membeli tanah di Perlis yang agak luas serta amat cantik kawasannya, walaupun agak terpencil. Saya membina rumah sendiri di kawasan yang sunyi, indah dan tenang. Saya juga bina betul-betul sebelahan rumah saya rumah ayah dan emak saya. Rumah yang sesuai untuk mereka berdua dan juga ada sedikit ruang jika ada tetamu menumpang. Rumah yang bagi saya cantik dan memenuhi. Niat saya, saya ingin pujuk mereka pindah ke Perlis berada di samping saya. Saya tahu ayah saya tentu sukar terima idea tersebut. Semasa proses pembinaan rumah, saya bawa ayah dan emak saya. Ayah masa itu sudah kurang sihat. Beliau macam ikut sahaja. Emak saya dah setuju tapi minta saya tambah sedikit ruang rumah di bahagian belakang. Alhamdulillah, walaupun kesempitan bajet, Allah mudahkan urusan. Hasrat itu dapat disempurnakan.

Dengan tanah yang luas, rumah saya yang agak besar dan banyak bilik, rumah emak dan ayah di sebelah, juga musolla sendirian yang besar lagi cantik, saya mengharapkan rumah tersebut menjadi kampung baharu untuk saya, adik beradik dan kaum keluarga. Di sinilah kami akan berkumpul bersama emak dan ayah. Di sinilah tempat mereka pulang.

Pindah Rumah Baru

Untuk pindah dari rumah sekian lama mereka tinggal, bukan mudah. Banyak kenangan untuk ditinggalkan. Emak saya mensyaratkan pokok-pokok bunga beliau mesti dipindahkan juga. Beliau memang peminat bunga dan pokok yang tegar. Sesiapa yang minat bunga akan menjadi kawannya. Saya menyewa satu lori traler yang panjang untuk memindahkan pokok-pokok beliau dari Mengkuang ke rumah baharu mereka. Dengan ‘hijrah’ bersama pokok-pokok itu, emak begitu ceria di rumah baru mereka. Tahun 2019, saya masuk ke rumah baru, seminggu kemudian emak dan ayah pun berada di sebelah kami. Apa sahaja yang mereka mahu, saya belikan. Emak saya ini sangat pembersih dan kemas. Dia tidak mewah sebab kami bukan orang kaya tapi mahu sesuatu yang teratur. Alhamdulillah, rezeki Allah melalui saya, beliau ada rumah baru menggantikan rumah lama yang agak uzur dan sering bocor. Beliau hidup dengan dapur yang baru dan susunan yang lebih baik. Semuanya dekat, baru dan mudah. Rumah mereka dan rumah saya di kampung kami dijadikan sekolah SMART IQ sekarang.

Aktiviti Emak

Hari-hari aktiviti emak adalah menanam pokok khususnya pokok bunga. Kawasan rumah beliau penuh dengan pokok bunga. Kalau saya nak minta pun kena pandai ambil hati. Kalau nak ajak keluar saya akan kata ‘jom pi kedai pokok bunga’. Anak-anak saya akan selalu di rumah opah mereka. Isteri saya menjaga emak dan ayah saya jauh lebih baik daripada saya. Sehingga saya rasa emak saya lebih sayang isteri saya daripada saya. Segala keperluan emak saya dia penuhi. Dia akan bagitahu saya apa yang perlu. Saya pula sibuk dengan urusan pelbagai. Kadang-kadang ada hari tak sempat jenguk. Biasanya, sebelum ke pejabat pagi saya datang bawa makanan, tanya khabar dan melepak sekejap di situ. Jika tidak, sebelah malam.  Adik beradik saya yang lain juga selalu datang. Kawan-kawan dan saudara mara juga sering menziarahi.

Di samping itu, ketika itu, ayah saya uzur. Emak terpaksa uruskan banyak pergerakan beliau. Emosi orang tua dan orang sakit juga kadang kala mencuri ruang. Apabila adik perempuan saya yang tinggal di KL berpindah ke rumah saya, ia satu rahmat yang besar untuk ibu dan kami juga. Adik perempuan saya membawa bersamanya anak-anaknya. Rumah kami makin ceria. Maka, sentiasa ada orang di rumah emak dan ayah. Bila dia pergi kerja, anak-anaknya serta pengasuh ada di rumah emak saya. Sebenarnya, kehadiran anak-anak untuk orang tua amat bererti pada usia sebegitu. Kakak dan adik lelaki saya dari Pulau Pinang juga selalu menjenguk dan bermalam di rumah tersebut.

Ayah Meninggal

Apabila ayah saya meninggal pada Ramadan tahun 2022, kesedihan hadir dalam hidup kami. Terasa kehilangan. Namun, emak masih ada. Kami menjaga emak. Empat bulan sepuluh hari dalam ‘iddah (edah) beliau tidak keluar melainkan ke klinik. Namun, anak cucu dan menantu ada di sisi. Walaupun saya sering sibuk dan di luar kawasan, isteri saya dan adik perempuan mengambil tanggungjawab. Anak-anak saudara saya yang masih kecil itu juga menjadi terapi untuk emak saya.

Dua bulan selepas ayah meninggal, adik perempuan membuat keputusan untuk berpindah ke UK mengikuti suami beliau. Itu menimbulkan kesedihan buat emak saya. Walaupun saya mempunyai pandangan yang lain tentang hasrat adik saya itu, tetapi saya tahu kehidupan mesti diteruskan. Beliau masih muda untuk mengejar cita-cita. Lagipun, beliau isteri yang wajar memenuhi kehendak suami. Namun, di pihak emak saya ia satu kesunyian baru menerpa hidupnya. Memang anak-anak saya ada, cumanya, kali ini dia kekurangan cucu-cucu kecil yang turut menghiburkan beliau. Bila anak-anak saya ke universiti dan sekolah masing-masing, emak bertambah sunyi.

Tinggal Kami dan Emak

Tinggallah isteri saya yang penuh dedikasi dan tanggungjawab menjaga emak yang makin uzur sepenuh masa. Memastikan ubat, jadual rawatan, makanan, barangan keperluan dan segalanya. Dibantu oleh anak-anak saya. Betapa sukar untuk saya berterima kasih kepada isteri saya. Beliau banyak mengambil peranan saya terhadap emak, kerana saya mempunyai pelbagai tugasan rasmi. Pagi atau malam saya akan ke rumah emak. Saya duduk di hadapan emak supaya dia nampak muka anak dia. Kalau saya muncul dalam TV, dia akan beritahu dan mengulas. Apa sahaja kehendak emak kami cuba penuhi. Apa yang dia terasa nak makan, isteri saya akan masak atau kami belikan. Kadang-kadang kami bawa dia makan di luar. Alhamdulillah, anak-anak saya juga sangat berperanan. Kakak dan adik lelaki saya juga agak kerap pulang. Anak-anak kakak saya juga kadang-kadang datang. Namun seperti biasa, orang tua selalu bertanya anak-anak ‘bila depa nak mai?’

Umrah

Oleh kerana saya ingat semasa ayah masih hidup, emak saya kata “jika ayah tak sakit macam ni, bolehlah emak pergi lagi umrah”. Sebelum ini saya sudah menghantar emak dan ayah ke umrah beberapa kali. Mereka juga sudah menunaikan haji. Pada bulan Disember yang lepas, saya pun bawa emak untuk menunaikan umrah bersama kami sekeluarga. Semasa itu emak bergerak atas kerusi roda. Saya menolak emak ke mana-mana.

Cumanya, atas takdir Allah mungkin atas sebab musabab kesihatan beliau dan perjalanan yang panjang itu, beliau sakit teruk apabila sampai di Mekah. Beliau masuk ICU dan kemudian CCU. Setiap hari selepas Solat Zohor selepas solat di al-Masjidil Haram, saya akan ke hospital menziarahi beliau. Kemudian, tiada pilihan masa sudah tiba, saya bawa beliau ke Madinah dengan kenderaan khas. Beliau masih uzur yang amat. Semasa di Madinah beliau hanya di bilik hotel terbaring sakit antara sedar dan tidak. Saya berdoa kepada Allah “Ya Allah! Emak saya tidak dapat masuk ke Masjidil Haram, berilah dia masuk ke masjid NabiMU!

Alhamdulillah, apabila saya pulang ke bilik hotel, emak saya terus boleh bangun untuk duduk atas kerusi roda. Saya memandi dan membersihkan emak Saya tanya emak nak ke masjid? Beliau kata: Ya. Terus saya bawa ema atas kerusi roda ke masjid bersolat jamaah. Selepas itu beberapa hari dapat ke Masjid Nabi s.a.w khususnya waktu tahajjud dan Subuh. Setiap hari saya memandi membersihkan emak. Sempat saya membawa emak berjalan-jalan sekitar Madinah. Sehingga akhirnya, saya berjaya bawa emak pulang ke Malaysia. Padahal secara apa yang saya nampak semasa di Mekah dan Madinah hampir mustahi untuk saya membawa emak pulang.

Balik Malaysia

Pulang ke Malaysia, beberapa hari kemudian, kesihatan emak saya merosot. Emak masuk hospital. Beliau menangis kerana beliau berada di hospital dan sangat sedih. Saya juga sedih. Saya bawa emak keluar balik ke rumah. Emak tidak boleh berdiri lagi, hanya mengesok untuk bergerak. Setiap malam saya tidur menemani beliau di rumah beliau. Hanya saya dan emak. Saya akan bawa emak ke bilik air untuk mandi dan seumpamanya. Kadang-kadang satu malam tiga empat kali emak mandi. Saya tidak mahu membantah. Beliau nak ke bilik air, saya bawa. Saya hanya kata “tadi mak mandi dah”. Saya tahu dia mula keliru. Apabila selepas pukul 4 pagi saya mencadangkan beliau bersolat tahajud. Ini juga untuk memberi ruang saya balik rumah saya di sebelah untuk bersolat. Emak memakai telekung, mengadap qiblat dan bersolat. Saya memberikan buah tasbih untuk emak mengira semasa zikir. Begitu setiap malam. Walaupun siang saya akan keletihan, saya mohon agar Allah jadikan pahala berjaga malam menjaga emak itu bagaikan menjaga benteng jihad fi sabilillah. Saya harap Allah menerimanya.

Emak panggil saya “Pak Ngah”. Sejak kecil itu panggilannya. Kalau tidak pun ‘ngah’.  Setiap malam dia merintih “Ngah pi la cari ubah bagi mak boleh berjalan. Apa kesudahan mak macam ini". Saya tahu dia tak mahu menyusahkan orang lain. Saya pun sedih. Malam hari emak akan sakit kaki. Saya pun tak tahu nak letak ubat apa lagi. Dah cuba macam-macam.

Siang Hari

Apabila siang, emak atas sikap pembersih dan hobi bunganya, dalam kesakitan cuba membersihkan rumah. Padahal, sudah ada tukang cuci yang mencuci setiap hari. Kemudian mengheret diri keluar rumah untuk melihat menyentuh dan menguruskan pokok-pokok beliau sehingga jauh ke tanah. Saya beritahu isteri saya biar jangan dilarang mudah-mudahan jadi terapi. Bila nak masuk rumah, saya kena angkat semula sebab tinggi sedikit. Saya menyesal kerana satu malam ketika saya tidur menemani emak, saya ada kata ketika emak bersungut luka bahagian punggung “itulah mak, siang mak kesot sampai ke tanah. Habis lukalah”. Perkataan itu telah menjadi penyesalan yang tersangat dalam diri saya. Sepanjang hayat saya, amat jarang saya menjawab apa yang emak kata. Saya cuba kawal diri, mengelak beliau kecil hati walaupun kadang-kadang saya tak setuju.  Namun, tapi pada saat di akhir hayat emak, saya kata perkataan itu pada emak. Walaupun saya tidak meninggi suara, sekadar mengulas, saya bimbang emak kecil hati sebab itu hobi emak. Setiap kali saya mengenang hal itu, jiwa saya menangis.

Sebenarnya, pada cuti Raya Cina baru-baru ini, kami sekeluarga merancang untuk ke Melaka menziarahi ibu mertua saya. Namun, isteri saya sendiri mencadangkan agar dibatalkan hasrat itu memandangkan keadaan emak saya.

Doa Dan Ajal

Sejak ayah meninggal, saya sentiasa berdoa agar Allah menjadikan kubur ayah taman dari taman-taman syurga dan diampunkan segala dosa ayah. Seingat saya, sejak ayah meninggal doa saya untuk ayah tidak pernah terlepas saban hari. Saya rasa saya lebih mengenang ayah terutama dalam doa apabila beliau meninggal melebihi semasa hidup. Untuk emak, saya doakan disembuhkan beliau dan diberikan kenikmatan hidup, iman dan amalan soleh. Namun pada waktu tahajud Hari Ahad lepas (22 Januari 2023), saya bagaikan mendapatkan isyarat bahawa emak saya akan pergi. Pagi tersebut (8.20 pagi) ketika kami; saya, kakak saya, adik lelaki serta isteri saya dan isteri adik lelaki saya berada di tepi emak, ketika itu emak menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika nazak, saya sempat menghabiskan Surah Yasin kemudian kami mengajarnya mengucap, di saat itu emak pun meninggalkan kami. Setelah sembilan bulan beberapa hari ayah meninggalkan kami, emak pun mengikuti. Dengan penuh sebak di dada, ketakutan saya semasa kecil menjelma jua.

Ramai datang ziarah dan mengucapkan takziah. DYMM Raja Perlis dan DYTM Raja Muda juga berangkat ziarah. Ulama-ulama besar di luar negara juga mengucapkan takziah dan berdoa untuk emak. Solat jenazah ditunaikan di hadapan rumah saya. Emak dikebumikan betul-betul bersebelahan ayah, tidak jauh dari rumah saya. Di suatu perkuburan yang agak sunyi, terasing dan indah pemandangannya. Di tengah perjalanan antara rumah saya dan masjid.

Kesedihan

Apabila emak meninggal, sangat lain perasaan saya. Di luar apa yang saya jangka. Masih terbayang wajah beliau di mata saya. Masih terbayang permintaan dan kata-kata emak. Saya benar-benar rasa emak turut membawa sebahagian jiwa saya pergi bersamanya. Segala kekurangan saya terhadap emak saya rasai. Saya menaip artikel ini dengan airmata. Saya menaip artikel kerana ingin meluahkan rasa rindu saya yang amat kepada emak saya. Itu sahaja.

Ziarah Kubur Emak dan Ayah

 Setiap pagi selepas Solat Subuh di masjid, saya akan mengujungi mereka berdua. Saya teringatkan riwayat yang dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain, di mana Nabi s.a.w bersabda:

مَا مِنْ رَجُل يَمُرّ بِقَبْرِ أَخِيهِ كَانَ يَعْرِفهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّم عَلَيْهِ إِلَّا رَدَّ اللَّه عَلَيْهِ رُوحه حَتَّى يُرَدّ عَلَيْهِ السَّلَام

Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya”. (Riwayat Ibn Hibban, Ibn 'Abd al-Barr dll. Terdapat beberapa ulama hadis yang mendaifkannya). 

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziah (meninggal 751H): “Nabi telah syariatkan umatnya agar ketika memberikan salam kepada ahli kubur hendaklah memberi salam seperti kepada mereka yang mendengar ucapan dengan menyebut ‘salam sejahtera kepada kamu wahai para penduduk yang beriman’. Ucapan ini untuk sesiapa yang mendengar dan berakal, jika tidak ucapan itu hanya seperti bercakap kepada sesuatu tidak wujud dan kaku. Ulama salaf telah bersepakat mengenai hal ini dan terdapat riwayat-riwayat yang mutawatir daripada mereka bahawa mayat mengetahui ziarah orang hidup dan bergembira dengannya”. (Ibn Qayyim, al-Ruh, m/s 140, Jordan: Maktabah al-Manar).

Jika berdasarkan riwayat itu, emak dan ayah saya akan mengenali saya ketika saya menziarahi mereka. Mudah-mudahan mereka bergembira dengan ziarah saya. Semasa mereka hidup, boleh dikatakan setiap hari saya selepas balik Solat Subuh saya ke rumah mereka menghantar kueh dan selainnya. Jadual itu sudah tiada lagi. Apa yang ada hanya kubur mereka untuk saya ziarahi.

Hanya Doa dan Amal

Tiada lagi khidmat dunia yang dapat saya lakukan untuk mereka berdua. Hanya yang berbaki adalah doa dan amalan soleh yang diniatkan untuk mereka berdua. Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

“Sesungguhnya seseorang benar-benar diangkat darjatnya dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari mana semua ini? Lalu diberitahu kepadanya: “Disebabkan istighfar anakmu”  (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Hadis dinilai hasan. Lafaz Ibn Majah)

Juga apa yang pernah ditanya kepada Nabi s.a.w:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: «نَعَمْ»

Daripada ‘Aishah r.ha: Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal mengejut. Aku percaya jika dia dapat berbicara nescaya dia akan bersedekah. Apakah baginya pahala jika aku bersedekah untuknya? Jawab Nabi s.a.w: “Ya”.

Semoga saya dan adik beradik saya juga sesiapa yang mengenali emak dan ayah saya sentiasa meneruskan doa, sedekah dan amalan soleh untuk mereka berdua.

Kematian Mengubah Rasa

Kematian benar-benar mengubah perasaan kita. Saya terasa satu kekosongan yang tidak dapat diisi lagi sehingga saya bertemu mereka nanti. Rumah mereka yang saya bina bersebelahan yang menjadi penawar perasaan setiap kali saya balik ke rumah saya, kini menjadi kerinduan dan kesedihan setiap kali melihatnya. Jiwa rasa lompong dan kosong apabila mengenangkan kehilangan mereka berdua. Seorang insan sebesar mana pun pencapaiannya, ketika dia memanggil ibu atau emak, terasa jiwa seorang anak kecil yang mengharapkan kasih yang tidak pernah padam. Apabila kasih itu sudah padam, lampu-lampu jiwa juga menjadi suram.

Namun, tiada apa yang yang dapat diucapkan melainkan apa yang ALLAH redha. Allah telah memberikan mereka pada satu tempoh untuk kami adik beradik menikmati hidup. Kini DIA mengambil mereka kembali.

Kesedihan ini benar-benar berbeza. Ia bukan kesedihan atas kezaliman musuh atau kehilangan harta dunia. Ini adalah kesedihan atas kehilangan pintu kehidupan yang melahirkan dan membesarkan kita atas tikar kasih dan cinta. Terbayang saya ratapan syair-syair al-Khansaa yang lama berdukacita atas kematian saudaranya. Begitu lama dia menggendong dukacita itu bersamanya. Teringat pula apa yang disebut dalam al-Wafi bi al-Wafayat tentang ulasan Saidina ‘Umar bin al-Khattab setelah mendengar syair kesedihan al-Khansaa: فَكل امْرِئ يبكي شجوه  (Setiap orang menangisi dukacitanya)

Coretan ini pada hari kedua kematian ibu saya. Saya sedang mengubati kesedihan saya. Ia bukan sebuah karya ilmiah tapi satu coretan perasaan dan kenangan untuk insan yang tersayang, emak saya. Ya Allah! Ampunilah dia dan masukkan ke dalam syurgaMU. Jadikan kubur mereka berdua taman dari taman-taman syurga.  Temukan daku dan mereka dalam keampunan dan rahmatMU. Aamiin.