• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Poligami Tanpa Izin Isteri?

HUKUM POLIGAMI TANPA IZIN ISTERI

Soalan: Apakah hukum seseorang yang berpoligami tanpa keizinan isteri ataupun kadi. Mereka ini berkahwin di luar negara. Syarat kahwin mereka memang cukup tapi isteri pertama tidak setuju dan keizinan kadi tempatan juga tidak diminta. Apakah sah perkahwinan mereka? Apakah jaminan dia mampu adil?

Jawapan Prof Dato Dr MAZA:

Poligami Diizinkan Bagi Yang Mampu

1.Poligami adalah peruntukan yang berikan oleh syarak kepada lelaki. Dengan peruntukan tersebut lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang dan tidak melebihi empat orang. Ia bukan satu kewajipan, tetapi satu keizinan syarak. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya. Kata al-Imam `Izz al-Din `Abd al-Salam (meninggal 660H): dalam Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam: “Kita telah ketahui daripada sumber-sumber syarak bahawa tujuan (hukum-hakam) syarak ialah untuk kemaslahatan hamba-hambaNya di sudut agama dan akhirat mereka. Bukannya masaqqah (kesusahan dalam mengamalkan syariat) itu yang dimaksudkan dengan kemaslahatan, tetapi maksudnya ialah apa yang diperolehi hasil dari masaqqah Ini sama seperti seseorang doktor yang menyuruh pesakitnya meminum ubat yang sangat pahit. Tujuannya hanyalah untuk mengubati”. (Izz al-Din `Abd al-Salam, Qawa`id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 1/29, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

2. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Inilah apa yang diraikan oleh Syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”. (Al-Qaradawi, Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, s 133-134. Mesir: Maktabah Wahbah)

3. Suami yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai suami ketika beristeri seorang sudah pasti lebih tidak mampu jika berlaku tambahan isteri. Maka, suami seperti itu haram dia berpoligami kerana hanya akan membawa kepada kezaliman.

Wajib Adil Dari Segi Zahir

4, Keadilan merupakan syarat yang Allah letakkan atas bahu suami untuk adil antara isteri melainkan jika ada isteri yang menarik haknya seperti isteri Nabi s.a.w Saudah binti Zam’ah yang memberikan hak giliran harinya kepada ‘Aishah. Riwayat Aishah menyebut:

مَا رَأَيْتُ امْرَأَةً أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَكُونَ فِي مِسْلَاخِهَا مِنْ سَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ، مِنِ امْرَأَةٍ فِيهَا حِدَّةٌ، قَالَتْ: فَلَمَّا كَبِرَتْ، جَعَلَتْ يَوْمَهَا مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَائِشَةَ، قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، قَدْ جَعَلْتُ يَوْمِي مِنْكَ لِعَائِشَةَ، «فَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقْسِمُ لِعَائِشَةَ يَوْمَيْنِ، يَوْمَهَا وَيَوْمَ سَوْدَةَ»

“Aku tidak dapati seorang wanita berkesungguhan yang paling aku suka menjadi sepertinya lebih daripada Saudah binti Zam’ah”. Apabila dia sudah tua dia berikan giliran harinya bersama Rasulullah s.a.w untuk ‘Aishah. Kata Saudah: “Wahai Rasulullah! Aku berikan giliranku bersamamu kepada ‘Aishah”. Maka Rasulullah s.a.w menjadikan untuk ‘Aishah dua hari; satu harinya sendiri dan satu lagi hari Saudah”. (Riwayat Muslim)

Maka jika ada isteri menarik hak kesamaan dalam pemberian harta ataupun giliran hari maka tidak mengapa jika suami tidak membahagikannya secara adil. Namun penarikan hak itu hendaklah dengan pilihan isteri, bukan paksaan.

Poligami Bukan Punca Tidak Adil

5. Dalam banyak kes kecuaian dan kezaliman rumah tangga ia tidak berfaktor dari poligami. Bahkan ia berfaktorkan sikap suami itu sendiri. Kata Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Bukanlah poligami yang menyebabkan anak-anak terbiar seperti yang didakwa mereka. Sebaliknya berpunca dari pengabaian bapa terhadap pendidikan anak-anak, mabuk arak, ketagihan dadah, tenggelam dalam nafsu, berjudi, berulang-alik ke kedai kopi, pengabaian keluarga dan lain-lain”. (Wahbah al-Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/173, Beirut: Dar al-Fikr)

6. Kecuaian terhadap isteri berpunca dari sikap, bukan berpunca dari poligami. Itulah sebab kita lihat ramai suami yang monogamy tetapi tetap menzalimi isteri dan anak-anak. Jika dia berpoligami maka keadaan lebih teruk. Haram lelaki zalim seperti itu berpoligami.

Salah Faham Ayat al-Quran

  1. Ada sesetengah pihak menafsirkan ayat Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 129:

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ

(maksudnya) “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).

Kata mereka ayat ini membatalkan apa yang disebut dalam ayat 3 dalam surah yang sama :

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

(maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Sebenarnya dakwaan ini secara tidak langsung seakan tohmahan terhadap Nabi s.a.w., para sahabah dan generasi para ulama Islam sejak dahulu seakan-akan mereka semua tidak memahami al-Quran sehingga mengharuskan poligami untuk diri mereka dan umat.

Keadilan Zahir Sahaja Yang Dituntut

8. Sebenarnya, ayat 129 Surah al-Nisa’ itu membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam perasaan, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Bahkan insan tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri. Apakah kerana ada rasa sayang yang terlebih pada mana-mana anak maka ibubapa berdosa padahal dari segi pengurusan zahir terhadap anak-anak mereka telah berlaku adil?! Tidak!!

9. Maka, apa yang dituntut oleh Islam ialah keadilan dari segi akhlak pergaulan dan sikap,  dan dari segi kebendaan. itu semua hendaklah dalam neraca keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadikan perasaan cinta di dalam jantung hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut:

فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

(maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

  1. Nabi s.a.w menyebut dalam hadis:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ. قَالَ أَبو دَاود يَعْنِي الْقَلْبَ

Daripada `Aisyah R.A: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki. Kata Abu Daud  -ketika meriwayat hadis ini – (maksud apa yang aku tidak miliki) ialah jantung hati. (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim mensahihkannya dalam Al-Mustadrak)

Maksudnya cinta dan kecenderungan jantung hati tidak mampu dimiliki dan ditentukan keadilan pembahagiannya.

11. Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak diterjemahkan ketidakadilan itu dalam bentuk tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) ketika menafsirkan ayat 129 Surah al-Nisa tadi menyebut: “Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta, hubungan seks dan perasaan dalam jantung hati. Maka Allah mensifatkan hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan jantung hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya...kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya”. (Al-Qurtubi , Al-Jami li Ahkam al-Quran 5/407. Beirut: Dar al-Fikr)

Keizinan Isteri Pertama?

12. Adapun pandangan yang mensyaratkan keizinan isteri pertama atau kadi atau mahkamah syariah bagi sesiapa yang ingin berpoligami adalah sesuatu yang bersifat pentadbiran tetapi bukanlah syarat sah perkahwinan. Ertinya, dari segi syarak sah perkahwinan tersebut apabila cukup rukun nikah sekalipun tanpa keizinan kadi. Adalah salah jika pentadbiran menghalang atau bertindak ke atas pengamal poligami atas emosi tanpa alasan yang kukuh di sisi nas-nas syarak sedangkan Allah dan RasulNYA secara jelas mengizinkannya.

13. Justeru, para ulama kontemporari ramai yang membantah meletakkan syarat poligami pada keizinan kadi. Masalah keadilan suami adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai sebelum perkahwinan berlaku. Bagaimanakah mungkin seseorang kadi atau sesuatu pihak dapat mendakwa bahawa si pulan jika beristeri dua tidak akan adil? Bagaimana pula seseorang dapat memutuskan si pulan yang lain jika beristeri dua adil? Bahkan ada orang yang disangka adil tetapi ternyata sebaliknya.

Jika Suami Ada Rekod Tidak Mampu?

14. Jika si suami mempunyai rekod ketidak mampuan nafkah, kecuaian ataupun kezaliman ke atas isteri yang sedia ada maka tindakan hendaklah diambil sejak awal lagi bukan menunggu poligami. Kadi hendaklah memberi ruang untuk si isteri menuntut fasakh dan menghukum kecuaian ataupun kezaliman suami. Menyukarkan isteri menuntut fasakh adalah punca kezaliman rumah tangga berterusan, samada dalam kes monogami ataupun poligami. Malangnya inilah yang berlaku dalam birokrasi sesetengah mahkamah syariah. Urusan fasakh dan tebus talak dipayahkan sehingga isteri hidup terhimpit, tiba-tiba poligami pula yang disalahkan.

Tidak Boleh Halang Poligami Tanpa Alasan Syarak

15. Sikap adil atau bertanggungjawab terhadap isteri bukan hanya kepada yang berpoligami tetapi juga kepada yang beristeri satu. Kalau hak keizinan poligami diberikan kepada kadi secara meluas maka nanti yang ingin berkahwin satu juga akan dinilai oleh kadi sama dia boleh bertanggungjawab atau tidak. Kemudian nanti yang ingin menambah anak atau memperolehi anak juga akan dinilai dia mampu atau tidak? Apakah kita lupa, ramai yang sikapnya berubah menjadi lebih cemerlang selepas perkahwinan, atau rezeki semakin bertambah selepas bertambah bilangan anak.

16. Sebab itulah Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Islamic Research Assembly) pada muktamarnya yang kedua di Kaherah tahun 1975 membuat keputusan seperti berikut: “Adapun berhubung dengan poligami, maka pihak muktamar memutuskan bahawa ia adalah harus dengan jelasnya berdasarkan nas-nas al-Quran al-Karim juga dengan syarat-syarat yang berkaitan dengannya. Adapun penggunaan hak ini adalah terpulang kepada pihak suami, ia tidak memerlukan keizinan kadi”.

17. Abd al-Karim Zaidan menyebut di dalam bukunya Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah: “Aku melihat tidak harus dari segi syarak memberikan kelayakan berpoligami ditentukan kadi, atau mengaitkan keharusan berpoligami dengan izin kadi.” Kata beliau juga: “Antara bukti yang menyokong keputusan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah di atas ialah tidak pernah disebutkan kepada kita pada mana-mana zaman Islam, sejak Rasulullah s.a.w sehingga ke zaman selepasnya bahawa sesiapa daripada kalangan fuqaha (ulama feqah) mensyaratkan keizinan kadi untuk sesiapa yang ingin berpoligami. Kalaulah syarat ini disyariatkan maka sudah tentu kitab-kitab fekah dan kehakiman menyebut berlakunya atau cadangan mengenainya. Apabila ia tidak menyebut hal ini sedikit pun, maka inilah dalil yang putus terhadap ijma’ sukuti (ijmak secara diam) mengenai tidak dikaitkan keharusan berpoligami dengan keizinan kadi. Maka cadangan untuk itu sekarang ini adalah memecahkan ijmak” (‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah المفصل في أحكام المرأة, 6/294, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).

18. Dr Wahbah al-Zuhaili juga membantah pandangan yang mensyaratkan izin kadi ini dengan memberikan beberapa hujahnya di dalam al-Fiqh al-Islami. Sila yang ingin pendetilan rujuk di bawah tajuk الدعوة إلى جعل تعدد الزوجات بإذن القاضي (Seruan Kepada Dijadikan Keiizinan Berpoligami Dengan Izn Kadi). Antara tokoh lain ialah Dr.Muhammad `Uqlah dalam bukunya Nizam al-Usrah fi Al-Islam yang menganggap syarat keizinan kadi sebagai pemikiran yang bid`ah dan boleh membawa kepada hubungan zina.

Ini Sepatutnya...

19. Jika ternyata suami tidak adil, maka isteri boleh mengangkat kes kepada kadi dan boleh menuntut fasakh. Perjuangan untuk hak isteri bukan hanya dalam kes poligami tetapi hendaklah secara menyeluruh mengenai kezaliman suami dan ruang untuk wanita membina hidup baharu dengan dimudahkan wanita melepaskan diri dari suami yang kejam dengan dimudah dan disegerakan urusan talak, fasakh, khulu', tafriq dan seumpamanya.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 884
Semalam 2292
Minggu Ini 5587
Bulan Ini 29508

Keseluruhan 3032454

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  08/11/2024