• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hadiah Pahala Bacaan al-Quran Untuk Si Mati?

Hadiah Pahala Bacaan al-Quran Untuk Si Mati?

Soalan: Dato Dr MAZA, soalan saya adakah pahala bacaan al-Quran sampai kepada orang yang sudah meninggal? Bolehkah kita baca al-Quran meniatkan pahalanya untuk ibubapa atau kawan yang sudah meninggal?

Jawapan Mufti Perlis Dato Dr MAZA:

1. Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati merupakan perkara khilaf dalam kalangan ulama. Ini kerana dalil-dalil dalam masalah ini boleh difahami sebagai sampai, dan boleh juga sebagai tidak sampai. Maka ulama pun berbeza pendapat. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam Al-Azkar:

واخْتَلف العلماءُ في وُصولِ ثوابِ قِراءةِ القرآن، فالمشْهورُ مِن مذهب الشافعي وجماعةٍ، أنّه لا يَصِل.وذهب أحمدُ بن حنبل وجماعةٌ مِن العُلماء، وجماعةٌ من أصْحابِ الشافعي، إلى أنّه يَصِل، فالاخْتِيار أنْ يقولَ القارِئُ بعد فِراغِه: اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قَرأْتُه إلى فلان، والله أعلم

“Para ulama berbeza pendapat tentang kesampaian pahala bacaan al-Quran (kepada si mati). Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafii dan para ulama yang lain ia tidak sampai. Pendapat Ahmad bin Hanbal dan sejumlah ulama, juga pendapat  ashab (sejumlah tokoh-tokoh utama Mazhab) al-Syafii bahawa ia sampai. Dicadangkan untuk pembaca (al-Quran) tersebut menyebut selepas selesai  bacaannya: Ya Allah! Sampaikan pahala apa yang aku telah baca kepada si fulan (nama)”. (al-Nawawi, al-Azkar, m.s 232. Damsyik: Maktabah al-Ghazali).

2. Antara yang menyokong pendapat pahala bacaan al-Quran sampai kepada si mati ialah Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/363. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Jika kita lihat, dari segi penghujahan, pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai pahalanya kepada si mati merupakan pendapat yang kuat. (sila lihat: al-Hajilan, al-Ahkam al-Fiqhiyyah al-Khassah bi al-Quran al-Karim, m.s 508. Saudi: Dar Ibn al-Jauzi).

3. Pun begitu, ini tidaklah memperkecilkan pendapat al-Imam al-Syafii r.h dan lain-lain yang menyatakan tidak sampai pahala bacaan al-Quran yang diniatkan untuk si mati. Setiap pihak berdiri atas hujah masing-masing yang mempunyai asas penghujahan mereka. Bagi yang mengamalkan, itu antara dia dengan Allah. Bagi yang menolak, banyak lagi cara lain untuk menolong si mati seperti doa yang jelas dalilnya disebut dalam al-Quran dan Sunnah, atau sedekah harta yang disebutkan dalam hadis.

4. Apapun, apabila seseorang membaca al-Quran lalu memohon agar Allah menjadikan pahala bacaan untuk si mati, jika Allah mustajabkan doanya maka pahala itu diperolehi oleh si mati. Jika tidak, pahala itu  diperolehi oleh yang membaca. Syarat untuk semua itu, ikhlas bacaan bukan kerana harta atau bayaran. Jika tidak ikhlas tiada pahala. Jika tiada pahala, tiada apa pun yang boleh dihadiahkan kerana yang tidak memiliki tidak dapat memberi.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1140
Semalam 2431
Minggu Ini 3571
Bulan Ini 35744

Keseluruhan 2959546

   Masa Capaian : 0.82 saat    Kemaskini :  14/10/2024