FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

 

Derhaka Pada Ibubapa Yang Tidak Adil

Soalan: Apakah hukum seorang abang berkecil hati dengan mak atau ayah dan sudah bertahun tidak menjenguk mereka di kampung, disebabkan mereka tidak adil melayan anak-anak?  

Jawapan Mufti Perlis Dr MAZA:

 

1. Disebabkan jasa ibubapa, semua insan tanpa mengira agama percaya bahawa berbuat baik kepada ibubapa merupakan sikap dan perbuatan yang mulia. Namun, ketaatan kepada ibubapa dalam ajaran Islam tidak hanya terikat dengan jasa mereka semata. Dalam Islam, tujuan utama berbuat baik kepada ibubapa ialah kerana ia merupakan perintah Allah S.W.T. Seorang muslim berbuat baik kepada ibubapanya kerana memenuhi perintah Allah, maka itu merupakan kewajipan dalam beragama. Seseorang muslim tidak menderhakai ibubapa kerana takutkan azab Allah dan kemurkaanNYA.

2. Ertinya, jika anak menemui ibubapanya yang tidak pernah menjaganya sesama kecil, dia tetap mendapat pahala yang besar jika berbakti kepada mereka. Sebaliknya, jika ibubapa itu berjasa besar dalam kehidupan anak tetapi menyuruh anaknya melakukan sesuatu yang menderhakai Allah dan RasulNYA, perintah ibubapa dalam hal itu tidak akan dipatuhi, sekalipun jika ibubapa berkecil hati atau marah kerana hal tersebut. Para sahabah Nabi s.a.w ada yang terpaksa menyanggahi ibubapa mereka yang musyrik apabila menganut Islam. Ini seperti yang berlaku pada Mus’ab bin ‘Umair, Sa’d bin Abi Waqqas, Abu Jandal bin Suhail, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan lain-lain. Firman Allah dalam Surah Luqman ayat 15:

وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ

 (maksudnya)  “Dan jika kedua ibubapa mendesakmu supaya engkau mensyirikkan denganku sesuatu yang engkau  (dengan fikiran warasmu)  tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada kedua; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”.

4. ‘Uquq al-Walidian (derhaka kepada ibubapa) bermaksud melakukan apa-apa tindakan yang menyakiti perasaan mereka. Hal ini termasuk dalam dosa besar. Seorang anak hendaklah mengelakkan apa sahaja tindakan yang menyakiti hati ibubapanya. Ini melainkan jika ibubapa meminta anak melakukan hal yang dosa, atau zalim pada pihak ayang lain, atau di luar kemampuan anak maka itu tidak dianggap sebagai dosa jika tidak mematuhi ibubapa.

5. Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 23:

۞وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا

(maksudnya) “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

Sabda Nabi s.a.w tentang dosa besar:

الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ، وَقَتْلُ النَّفْسِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ

 “Mensyirikkan Allah, menderhakai ibubapa, membunuh manusia dan penyaksian palsu” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Memang benar, dalam masa yang sama ibubapa diperintahkan adil kepada anak-anak. Jika ibubapa itu menzalimi anak atau berbuat tidak adil, mereka akan bertanggungjawab di hadapan Allah nanti pada Hari Kiamat. Ini kerana mereka telah tidak menunaikan amanah yang Allah berikan kepada mereka.

7. Namun, kecacatan ibubapa dalam menunaikan tanggungjawab atau keadilan mereka terhadap anak tidak membolehkan anak untuk menderhakai mereka dalam perkara yang baik. Sebagai insan, seorang anak mungkin berkecil hati atas sikap ibu atau ayahnya. Namun, hendaklah dia menyerahkan urusan itu antara ibubapa dengan Allah, sementara dirinya melakukan kebaikan dengan kadar yang Allah perintahkan, kerana itu merupakan pahala untuk dirinya sendiri. Dalam ayat 15, Surah Luqman di atas, sekalipun Allah tidak membenarkan anak taat kepada ibubapa dalam perkara syirik, tetap diperintahkan untuk berbuat baik dalam urusan dunia yang lain yang tidak bercanggah dengan agama.

8. Demikianlah sepatutnya sikap yang wajar diambil. Perbuatan anak sengaja tidak pulang jika menyakiti hati ibubapa merupakan satu dosa yang besar. Adapun, jika benar berlaku ketidakadilan ibubapa, itu juga satu kezaliman. Setiap yang terlibat hendaklah kembali kepada perintah Allah dan RasulNYA.