FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

Hukum Binaan Atas Kubur

Soalan: Pada pandangan Islam, apakah hukum membuat binaan seperti binaan kapok di atas kubur?

Jawapan Mufti Perlis Dato Dr MAZA:

1. Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, perkara yang perlu kita sedar bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w menuntut untuk kita melihat kubur sebagai tempat yang mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat, bukan untuk kebanggaan dan kesombongan. Kubur juga bukan menjadi tempat kesyirikan atau khurafat. Maka dengan itu pelbagai hadis yang mengandungi maksud-maksud tersebut telah diungkapkan oleh baginda Nabi s.a.w.

Antara hadis berkaitan, daripada Jabir r.a :

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ، وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ، وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ

 “Rasulullah s.a.w melarang tajsis(plaster dengan kapur) kubur, duduk atasnya dan membuat binaan atasnya” Riwayat Muslim. Dalam riwayat ditambah “

أَوْ يُكْتَبَ عَلَيْهِ

(melarang) ditulis atasnya”

2. Perkataan tajsis biasa merujuk kepada memplaster sesuatu dengan kapur atau gipsum. Ia biasanya bertujuan mencantik dan menghiaskan kubur. Ia sesuatu ynag dilarang dalam hadis ini. Demikian juga dilarang duduk di atas kubur, juga dilarang membuat binaan atasnya.

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini dalam Sahih Muslim menyebut:

قَالَ أَصْحَابُنَا تَجْصِيصُ الْقَبْرِ مَكْرُوهٌ وَالْقُعُودُ عَلَيْهِ حَرَامٌ وَكَذَا الِاسْتِنَادُ إِلَيْهِ وَالِاتِّكَاءُ عَلَيْهِ وَأَمَّا الْبِنَاءُ عَلَيْهِ فَإِنْ كَانَ فِي مِلْكِ الْبَانِي فَمَكْرُوهٌ وَإِنْ كَانَ فِي مَقْبَرَةٍ مُسَبَّلَةٍ فَحَرَامٌ نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ قَالَ الشَّافِعِيُّ فِي الْأُمِّ وَرَأَيْتُ الْأَئِمَّةَ بِمَكَّةَ يَأْمُرُونَ بِهَدْمِ مَا يُبْنَى

“Kata tokoh-tokoh mazhab kami (Mazhab al-Syafii) perbuatan tajsis (memplaster) kubur itu adalah makruh, duduk atas kubur adalah haram. Demikian (haram) juga bersandar padanya atau menyandar atasnya. Adapun binaan atas kubur, sekiranya (tanah kubur) dalam pemilikan pembina, maka makruh. Sekiranya ia di perkuburan awam maka haram. Ini telah dinaskan oleh al-Imam Syafii dan Ashab (tokoh-tokoh Mazhab Syafii). Berkata (al-Imam) al-Syafii dalam (kitabnya) al-Umm: “Aku melihat para imam di Mekah memerintahkan agar dimusnahkan apa yang dibina”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim).

3. Dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, al-Nawawi menyebut:

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ يُكْرَهُ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُكْتَبَ عَلَيْهِ اسْمُ صَاحِبِهِ أَوْ غَيْرُ ذَلِكَ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ وَهَذَا لَا خِلَافَ فِيهِ عِنْدَنَا وَبِهِ قَالَ مَالِكٌ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد وَجَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ

Berkata al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh Mazhab al-Syafii “Dimakruhkan memplaster, atau menulis nama si mati atau selainnya atas kubur, atau membuat binaan atasnya. Perkara ini tiada khilaf di sisi kami (Mazhab al-Syafii). Ini juga pendapat (al-Imam) Malik, (al-Imam) Ahmad, (al-Imam) Daud (al-Zahiri) dan majoriti ulama”. (5/298. Beirut: Dar al-Fikr)

4. Maka inilah pendapat yang muktamad (dipegang) dalam Mazhab al-Syafii ialah seperti yang disebut oleh Dr Muhammad al-Zuhaili dalam karyanya al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i : “Disunatkan meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui (kubur tersebut) maka dihormati dan diziarahi. Juga supaya tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain”. Kata beliau lagi: “Dimakruhkan tajsis (memplaster) kubur, membuat binaan atasnya dan menulis nama si mati atau selainnya..”. (1/640. Damsyik: Dar al-Qalam).

5. Dalam Zad al-Mustaqni’ kitab Mazhab al-Hanbali disebutkan:

ويُرفَع القبْرُ عن الأرضِ قَدْرَ شِبْرٍ مُسَنَّمًا ويُكْرَهُ تَجْصِيصُه والبِناءُ عليه والكِتابَةُ والجُلوسُ والوَطْءِ عليه والاتِّكاءُ إليه

 “Ditinggikan kubur dengan kadar sejengkal dan dibonggolkan. Dimakruhkan tajsis, binaan, tulisan, duduk, pijak dan menyandar ke atasnya”.

Kata Mansur al-Saq`ub ketika membuat komentar Zad al-Mustaqni’: “Binaan atas kubur; iaitu meletakkan binaan atasnya. Samada binaan itu merapat ke tanah seperti bilik, atau tidak merapat ke tanah seperti kubah. Samada ia milik persendirian atau milik awam, maka ia makruh”. (Dr Mansur Muhammad ‘Abdullah al-Saq’ub, al-Ta’liq al-Muqni’ ‘ala Zad al-Mustaqni’, 1/607. Saudi: Dar al-‘Aqid).

Kesimpulannya: dengan itu membuat apa-apa binaan atas kubur sekurang-kurangnya makruh, dan Mazhab al-Syafii mengharamkannya jika di perkuburan awam. Demikian juga, tulisan nama atas kubur adalah dimakruhkan