FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

 

IFTAR DAN ADAB MAKAN

Dr MAZA

1. Islam satu agama yang bertamadun. Ia mengajar kehalusan budi dan pekerti, termasuklah ketika waktu makan dan minum. Islam bukan sahaja memerintah kita memakan yang halal, Islam juga mengajar etika ketika makan. Maka, perlu kita sedari bahawa di bulan puasa ini, ketika kita berbuka puasa kita sebenarnya sedang menghayati amalan sunnah. Seperti mana puasa itu sunnah, berbuka (iftar) juga sunnah. Maka apabila sedang mengamalkan sunnah berbuka puasa seperti berbuka dengan rutab ataupun tamar, janganlah pula kita lupa adab-adab makan yang lain.

2. Antara adab makan yang ditegaskan oleh Islam ialah memulakan makan dengan bismillah. Kemudian, makan dan minum dengan tangan kanan. Demikian juga tidak gelojoh sehingga kelihatan tamak dan tidak sopan. Hal ini seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w kepada anak tiri baginda yang masih kecil iaitu Umar bin Abi Salamah sewaktu dia hendak makan:

يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang dekat denganmu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Makanan yang kita makanan adalah kurniaan Allah semata. Makanan boleh terhalang dari menjadi rezeki kita bukan sahaja disebabkan kita tiada kemampuan membelinya, tetapi juga mungkin disebabkan penyakit ataupun halangan yang lain. Betapa ramai orang kaya yang tidak mampu makan sekalipun mampu membeli. Maka sebagai tanda ingatan kita atas kurniaan Allah, maka sebutlah namaNYA ketika makan. Bismillah juga sebagai tanda pergantungan segala harapan dan kekuatan dengan namaNYA apabila makan. Justeru kita bismillah bererti ‘dengan nama Allah daku makan ataupun minum’. Ertinya, kita menyebut nama Allah dengan maksud pergantungan kita kepadaNYA apabila kita makan.

4. Makan dengan tangan kanan adalah adab makanan yang paling zahir dalam majlis makan orang muslim. Ia lambang yang nyata dan adab yang tertonjol. Dalam hadis lain baginda menyebut:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

 “Apabila seseorang kamu makan, makanlah dengan tangan kanannya. Apabila dia minum, minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kiri” (Riwayat Muslim).

Hadis ini hendaklah difahami di sudut spiritualnya. Baginda bercakap di sudut spiritual yang hanya dapat difahami oleh orang yang menghayatinya. Sikap anti-syaitan diajar oleh Islam sehingga kita disuruh berbeza dengannya dalam segala cara, termasuk cara makan.

5. Maka, dari hadis di atas kita faham bahawa makan ataupun minum dengan tangan kiri adalah amalan syaitan. Islam menyatukan budaya makan dengan menjadikan tangan kanan sebagai adab makan yang jelas kelihatan bagi orang muslim. Malangnya, masih ada yang makan ataupun minum dengan tangan kiri. Ini termasuk mereka yang menggunakan garpu untuk menyuap lauk ataupun makanan lain ke mulut. Juga mereka yang minum tangan kiri kononnya kerana tangan kanan ada bekas makanan. Kesemuanya ini amalan syaitan. Kita hendaklah mengelakkan perbuatan tersebut terutama semasa berbuka puasa yang mana kita beribadah kepada Allah. Masakan kita ketika beribadah meniru tingkah laku syaitan.

6. Dalam hadis Umar bin Abi Salamah tadi, diajar agar makan apa yang terdekat dengan kita sebagai adab sopan supaya tidak mengganggu orang lain yang makan bersama. Ini juga mengelakkan sikap gelojoh dalam majlis makan. Para ulama hadis yang mengulas hadis ini dengan menyatakan seseorang boleh mengambil makan yang jauh darinya jika ada keperluan seperti jenis makanan yang memerlukan bahan tambahan yang lain. Bahan itu pula berada pada jarak yang agak jauh, maka bolehlah dia mengambilnya. Namun, hendaklah memelihara kesopanan dan ketertiban di majlis makan.