FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

NIFAQ: BARAH MENGANCAM UMMAH

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri b. Zainul Abidin

  1. Antara penyakit yang paling bahaya dalam diri manusia ialah nifaq. Pelaku nifaq dipanggil munafiq (munafik). Nifaq terbesar (nifaq akbar) ialah menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran. Penyakit nifaq ini ditentang oleh al-Quran dalam begitu banyak ayat. Bahkan, dalam ayat-ayat awal Surah al-Baqarah yang merupakan surah pertama selepas Surah al-Fatihah, ALLAH menceritakan tentang ciri-ciri orang bertaqwa dalam 4 ayat (ayat 2-5), diikuti dengan ciri-ciri orang kafir sebanyak 2 ayat sahaja (ayat 6-7) dan selepas itu ALLAH memperincikan sikap dan ciri golongan munafiq ini dalam 13 ayat (ayat 8-20). Bahayanya golongan munafik ialah kerana mereka musuh dalam selimut.

Khabar Dari al-Quran

  1. ALLAH memberitahu kita bahawa nifaq merupakan sejenis penyakit dalam jantung hati golongan munafiqin (para munafik). Mereka tidak sedar bahawa mereka itu berpenyakit. Mereka merasakan mereka cuba melakukan kebaikan secara bersekongkol dengan golongan kuffar yang memusuhi Umat Islam. Lihat bagaimana ALLAH menyifatkan mereka dalam awal Surah al-Baqarah ayat 8-13: (maksudnya) (8)“Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan Hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. (9) Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdayakan diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak menyedarinya. (10) Dalam jantung hati mereka (golongan munafik itu) terdapat penyakit, lalu Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang perit dengan sebab mereka berdusta. (11) Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat fasad (kerosakan) di muka bumi", mereka menjawab: "Sesungguhnya kami hanya membuat kebaikan" (12) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat fasad (kerosakan), tetapi mereka tidak menyedarinya (13) Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat sebenarnya) (14) Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (orang-orang yang beriman)".
  1. Apabila kita membaca penerangan ALLAH tentang golongan munafik ini dalam ayat-ayat tadi, kita mendapati golongan munafik walaupun mengaku muslim atau beriman, namun mereka menyimpan rasa benci sesama saudara muslim. Mereka menganggap rencana mereka memusuhi sesama muslim itu adalah islah (membaiki keadaan), malangnya mereka bersekongkol dengan golongan yang anti-Islam yang ALLAH sebut dalam ayat tadi sebagai ‘syaitan-syaitan mereka’. Inilah ciri golongan munafik yang ALLAH sendiri ceritakan.
  1. Dalam ayat lain, ALLAH menceritakan bahawa antara ciri golongan munafik ini mereka mencari kekuatan atau kemuliaan diri secara bersekongkol dengan musuh-musuh Islam. Mereka menjadikan diri mereka khadam kuffar dengan anggapan bahawa mereka akan capai kemuliaan dengan mengambil golongan yang membenci Islam sebagai para pemimpin atau teman setia dan meninggal golongan beriman. Dalam Surah al-Nisa ayat 138-139, ALLAH berfirman (maksudnya): (138) “Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang perit; (139) (Iaitu) Mereka yang mengambil golongan kafir (anti-Islam) menjadi teman setia dengan meninggalkan mereka yang beriman. Adakah mereka (orang-orang munafik) mencari izzah (kekuatan dan kemuliaan) di sisi orang-orang kafir itu, padahal sesungguhnya izzah (kekuatan dan kemuliaan) itu semuanya ialah milik Allah”.

Bersama Musuh 

  1. Berdasarkan ayat di atas al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) menyimpulkan bahawa ahli tauhid sekalipun melakukan maksiat tidak menjadi munafik selagi mereka tidak menabalkan kaum kuffar (sebagai teman setia dan meninggal golongan beriman) (lihat: Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/416. Beirut: Dar al-Fikr)
  1. Jelas, apabila kita membaca ayat-ayat al-Quran tentang golongan munafik ini, kita dapati antara ciri utama mereka menjadi khadam atau benteng kuffar musuh Islam atau bersekongkol dengan golongan yang jelas membenci atau mempunyai rencana permusuhan dengan Umat Islam. Penyakit nifaq akan membuahkan hasil yang sedemikian rupa. Hal ini berlaku di sepanjang sejarah. Di zaman Nabi s.a.w, golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul bersolat dan berurusan dengan Nabi s.a.w, tetapi mereka merencana untuk menjatuhkan Umat Islam bersama dengan kuffar Quraish di Mekah. Beberapa serangan musuh ke atas Kota Madinah didalangi oleh golongan munafik yang ada ketika itu.
  1. Bahaya penyakit nifaq ini dapat kita saksikan sepanjang sejarah. Kejatuhan dan pepecahan kuasa Umat Islam adalah disebabkan golongan munafik yang berpakat dengan musuh luar. Pakatan mereka dengan tentera Salib dan Tatar dicatatkan oleh sejarah. Malangnya, ada umat Islam yang terpengaruh dengan rencana mereka kononnya untuk membaiki keadaan. Padahal agenda buruk mereka lebih jauh daripada itu.

Ibn al-‘Alqami

  1. Dalam sejarah, tindakan golongan munafik jugalah penyebab kejatuhan khalifah Abbasiyah yang terakhir iaitu Abu ‘Abd al-Majid al-Mu’tasim billah (المعتصم بالله) (meninggal 656H). Beliau anak kepada al-Mustansir billah (المستنصربالله) dan bukan Khalifah Abu Ishaq al-Mu’tasim bin Harun al-Rasyid yang meninggal pada 227H. Disebabkan keadaan politik yang lemah, al-Mu’tasim billah terakhir ini telah melakukan kesilapan dengan melantik seorang berakidah Syiah iaitu Ibn al-‘Alqami (العلقمي) sebagai menteri. Buku-buku sejarah seperti Tarikh al-Islam oleh al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H), Tarikh Ibn Khaidun oleh Ibn Khaldun (meninggal 808H), al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dan lain-lain merekodkan pengkhianatan Ibn al-‘Alqami. Ia begitu trajis. Satu bukti rencana munafik berupaya meruntuh empayar yang satu masa begitu besar.
  1. Pada masa itu berlaku pertembungan antara Sunni dan Syiah. Atas sikap dendam terhadap kaum Sunni, Ibn al-‘Alqami telah merancang melemah pasukan tentera kerajaan umat Islam Abbasiyah dengan pelbagai cara termasuk mengurang perbelanjaan ketenteraan sehingga tentera menjadi lemah dan sedikit. Beliau merancang membuka jalan agar Tatar mudah menawan Baghdad. Maka Tatar masuk ke Baghdad dalam keadaan kekuatan khalifah sangat lemah. Pembunuhan dan kekejaman yang dahsyat dilakukan oleh tentera Tatar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Ibn al-‘Alqami merencanakan agar Khalifah berdamai dengan Tatar dengan memberikan separuh cukai Iraq. Kononnya untuk menjaga kemaslahatan Umat Islam. Dia mencadangkan agar Khalifah pergi bertemu pemerintah Tatar iaitu Hulagu Khan dengan membawa bersama para pemimpin, hakim dan ulama. Akhirnya semuanya dibunuh oleh Hulagu Khan. Hanya Khalifah dan beberapa belas orang dibiarkan hidup. Pun begitu, tidak lama kemudian, atas cadangan Ibn ‘Alqami, Khalifah juga dibunuh. Namun, malang nasib Ibn al-‘Alqami, dari seorang menteri di bawah Kerajaan ‘Abbasiyyah, kemudian hanya menjadi pecacai atau khadam (حوشكاشا) kepada puak kuffar Tatar (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/175, 214-215. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
  1. Al-Imam Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H) menceritakan betapa hina pengakhiran hidup Ibn al-‘Alqami. Dari kedudukan yang mulia dalam pemerintahan Umat Islam menjadi lebih hina dari lalat. Miskin dan tidak dipedulikan. Dikeji oleh masyarakat (lihat: Tabaqat al-Syafi’iyyah, 8/ 274. Kaherah: Hijr li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’). Demikian kesudahan hidup golongan seperti ini. Mereka menyangka golongan kuffar itu akan memberikan kedudukan kepada mereka, akhirnya, negara hancur dan mereka juga akan dibuang. Bak kata pepatah: “Yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran”.

Era Penjajah

  1. Dalam sejarah zaman penjajahan ke Dunia Muslim, bukan sedikit golongan munafik yang menjadi talibarut kepada penjajah-penjajah di serata dunia muslim. Dalil-dalil agama dan kemaslahatan disalahgunakan untuk menjustifikasikan penguasaan penjajah ke atas wilayah-wilayah Umat Islam. Di tempat kita, ada kalangan mereka yang mematikan semangat Umat Islam untuk kembali mentadbir wilayah sendiri dengan kata “hendak buat jarum pun tidak mampu, bagaimana kita hendak menghalau penjajah dan memerintah sendiri”. Selepas penjajah pergi, mereka masih berperanan melemahkan kekuatan Umat Islam.

Pemerintah Muslim Korup

  1. Islam tidak pernah menghalalkan kesalahan dan kejahatan pemerintah sekalipun pun muslim. Namun, penyelesaiannya ialah dengan melantik memerintah muslim lain yang lebih berupaya dan amanah menggantikan pemerintah yang korup dan jahat. Bukan penyelesaiannya dengan memberikan kekuasaan kepada mereka yang anti-Islam. Malangnya, golongan munafiqin ini akan mengambil kesempatan atas kelemahan atau kesalahan urustadbir umat Islam untuk membolehkan mereka membuka tempat kepada musuh-musuh agama.
  1. Cara golongan munafiq seperti yang al-Quran nyatakan ialah mendakwa kononnya mereka muslihun (membaiki keadaan) dan yang bersekongkol dengan musuh umat ini. Atas rencana itu mereka akan menuduh sesiapa yang tidak menyokong penabalan golongan anti Islam yang mereka cadangkan bererti dia bersekongkol dengan golongan korup dan lemah dalam pemerintahan Umat Islam. Padahal, Umat Islam memang secara majoritinya menentang pemerintah yang zalim dan menyeleweng, namun itu bukan bererti mesti menyokong gerakerja munafikin. Namun, itu gerakerja mereka.

Tidak Seimbang

  1. Penyakit nifaq ini menjadi golongan ini begitu setia dengan musuh agama dan sentiasa berusaha menjustifikasikan tindakan permusuhan golongan anti-Islam. Kadang kala mereka menggunakan alasan Islam rahmat untuk semua. Malangnya, dalam masa yang sama sikap rahmat itu tidak zahir jika kesilapan itu dibuat oleh kelompok pro-Islam atau pendakwah Islam. Permusuhan dan kecaman akan dibangkitkan kepada pencinta Islam yang tersilap sekalipun kecil, namun pembelaan dan justifikasi akan diberikan sepenuhnya jika membabitkan pihak yang anti-Islam.

Non-Muslim Yang Baik

  1. Dalam masa yang sama kita perlu sedar bahawa Islam tidak melarang muslim berbuat baik kepada non-muslim yang tidak memusuhi Islam. Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 Allah menyatakan: (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman setia orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Nabi s.a.w juga tidak membenarkan kita menzalimi warga negara non-muslim yang baik. Sabda Nabi s.a.w : “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

Perbezaan

  1. Muslim bersikap baik dan adil kepada semua pihak termasuk non-muslim. Namun, ada perbezaan antara membela non-muslim yang dizalimi dengan bersekongkol bersama mereka yang memusuhi masyarakat muslim dan zahir hasrat yang buruk terhadap umat ini. Bersekongkol dengan musuh ialah penyakit nifaq yang merupakan barah dalam kehidupan munafiqin.