Terjemahan Kitab Zad al-Mustaqni' زاد المستقنع
Muqaddimah Terjemahan Kitab زاد المستقنع
Prof Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Negeri Perlis)

Setiap ilmu yang berkembang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Apabila baginda Nabi s.a.w diutuskan oleh ALLAH, baginda ditugaskan untuk mengajak dan mengajar manusia mengabdikan diri hanya kepada ALLAH s.w.t dengan cara yang ALLAH mahukan. Untuk mengetahui apakah cara ibadah yang ALLAH mahu manusia lakukan, maka al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w menjadi sumber rujukan. Semasa hayat baginda s.a.w, baginda menunjukkan cara ibadah itu dengan perbuatan dan juga perkataan baginda. Apabila baginda tiada, maka nas-nas tersebut menjadi rujukan. Mengkaji nas-nas yang membabitkan hukum-hakam amalan inilah yang disebut sebagai ilmu fekah. Justeru, fekah dengan maksud yang khusus ditakrifkan sebagai:
الْعِلْمُ بِالْأَحْكَامِ الشَّرْعِيَّةِ الْعَمَلِيَّةِ الْمُكْتَسَبُ مِنْ أَدِلَّتِهَا التَّفْصِيلِيَّةِ
(Ilmu tentang hukum-hakam syarak yang bersifat amali yang dihasilkan dari dalil-dalilnya yang tafsili (terperinci).
Ini bermaksud, fekah merupakan satu ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam yang membabitkan syariat Islam yang berkaitan dengan amalan seorang mukallaf. Amalan-amalan itu samada perkataan atau perbuatan mengenai ibadat ataupun muamalat. Ia merangkumi hukum-hakam yang membabit individu (perseorangan) atau orangramai dalam segala keadaan. Ilmu fekah adalah hasilan dari dalil-dalil secara juz’i yang di ambil daripada al-Quran dan al-Sunnah seperti dalil perintah solat, puasa dan lain-lain, atau larangan zina, minum arak dan seumpamanya. Dalil-dalil secara khusus berkaitan bab-bab itu dipanggil dalil tafsili. Sementara dalil ijmali atau dalil secara umum ialah sumber-sumber penghujahan atau kedudukan penghujahan iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, Qiyas dan lain-lain. Apabila dibentangkan satu-satu dalil bagi bab-bab fekah yang khusus dari sumber-sumber itu maka dipanggil dalil tafsili. Di sinilah peranan fuqaha untuk membahaskan kesimpulan hukum yang diambil dari dalil-dalil yang tafsili tersebut.
Mazhab Fekah
Dalam membahas dan merumuskan hukum-hakam yang diambil dari dalil-dalil tafsili tersebut, lahirlah para fuqaha yang Allah berikan kepada mereka keupayaan dalam bidang fekah ini. Walaupun ramai yang menuntut ilmu atau mendengar al-Quran dan al-Sunnah, tidak semua yang berupaya menjadi faqih yang mampu menjadi rujukan umat dalam hukum-hakam syarak. Maka lahirlah fuqaha dalam kalangan sahabat, tabi’in, atba’ al-tabi’in dan seterusnya. Tokoh-tokoh ijtihad atau mujtahid fekah yang muncul itu telah menyebabkan terbentuk aliran dan pendekatan dalam memahami dan merumuskan hukum fekah. Di situlah lahir-lahirnya mazhab-mazhab fekah dalam kalangan Umat Islam.
Mazhab secara umumnya bermaksud jalan atau cara yang dipilih oleh seseorang imam mujtahid dalam melakukan ijtihad-ijtihadnya berkaitan hukum fekah. Atas jalan tersebut juga para pengikutnya berijtihad berdasarkan kaedah dan usul yang imam berkenaan tetapkan. Dengan itu terhimpunlah himpunan hukum-hakam fekah yang disandarkan kepada imam berkenaan.
Maka lahirlah tokoh-tokoh mujtahid mazhab yang ternama dalam kalangan umat Islam seperti Jaafar al-Sadiq جعفر الصادق (meninggal 148H), Abu Hanifah أبو حنيفة (meninggal 150H), al-Auza’i الأوزاعي (meninggal 157H), Sufyan al-Thauri سفيان الثوري (meninggal 160H), al-Laith bin Sa’ad الليث بن سعد (meninggal 175H), Malik bin Anas مالك بن أنس (meninggal 179H), Sufyan bin ‘Uyainah سفيان بن عيينة (meninggal 198H), al-Syafi’i الشافعي (meninggal 204H), Ishaq bin Rahuyah[1] إسحاق بن راهويه (meninggal 238H), Abu Thaur أبو ثَور (meninggal 240H), Ahmad bin Hanbal أحمد بن حنبل (meninggal 241H), Daud al-Zahiri داود الظاهري (meninggal 270H), Jarir al-Tabari جرير الطبري (meninggal 310H) dan selain mereka.
Banyak mazhab tersebut tidak berkesinambungan sehingga ke zaman kita dalam bentuk aliran yang mempunyai pengikut dan rujukan fekah yang mencakupi untuk dipegang. Hanya yang tinggal riwayat-riwayat pandangan para imam tersebut dalam masalah-masalah tertentu. Empat mazhab utama yang kekal dengan pengikut yang besar dan rujukan ialah Mazhab Abu Hanifah, Mazhab Malik, Mazhab Syafi’i dan Mazhab Ahmad bin Hanbal.
Di samping karya para imam itu sendiri, para pengikut imam-imam mujtahid yang empat ini telah menghasilkan karya-karya yang meriwayatkan, membahaskan, merumuskan dan mentarjihkan pendapat-pendapat para imam tersebut. Maka banyak karya-karya fekah menurut aliran-aliran mazhab tersebut muncul di persada ilmu fekah dan usulnya.
Matan Fekah
Kitab-kitab fekah mazhab yang muncul itu pula mempunyai pendekatan yang pelbagai. Ada karya yang bersifat matan متن iaitu kitab yang ringkas. Istilah matan digunakan oleh ahli ilmu merujuk kepada asas-asas sesuatu bidang ilmu yang dihimpunkan dalam satu tulisan yang ringkas yang tiada pendetilan, bukti dan contoh melainkan pada tempat yang amat diperlukan sahaja.
Antara matan-matan yang terkenal ialah Matan al-Quduri متن القُدوري dalam Mazhab Hanafi. Matan ini karangan al-Imam al-‘Allamah Abu al-Hussain Muhammad bin Ja’far bin Hamda al-Qaduri (meninggal 428H).
Matan Mukhtasar Khalil bin Ishaq مختصر خليل بن إسحاق dalam Mazhab Malik. Pengarangnya Khalil bin Ishaq bin Musa al-Jundi خليل بن إسحاق بن موسى الجندي (meninggal 767H).
Matan Minhaj al-Talibin منهاج الطالبين dalam Mazhab al-Syafi’. Minhaj al-Talibin atau disebut dengan al-Minhaj, merupakan karangan al-Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi (meninggal 676H).
Juga Matan Zaq al-Mustaqni’ زاد المستقنع yang kita terjemahkan ini. Ia dalam Mazhab Hanbali.
Syarah Fekah
Muncul juga kitab-kitab yang bersifat syarah[2]شرح iaitu mensyarahkan matan-matan yang lahir dalam mazhab masing-masing. Bagi setiap matan itu banyak ulama mazhab berkaitan yang mensyarahkannya. Umpamanya, kitab al-Lubab fi Syarh al-Kitab اللباب في شرح الكتاب yang mensyarahkan Matan al-Quduri. Kitab ini karya al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Ghutaimi al-Midani الغنيمي الميداني (1222-1298H).
Bagi Mukhtasar Khalil bin Ishaq juga banyak syarahnya, antaranya Mawahib al-Jalil مواهب الجليل, karya al-Hattab al-Ru’aini الحطاب الرُّعَيْنِيُّ iaitu Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Maghribi (902-954H).
Adapun Minhaj al-Talibin atau disebut al-Minhaj dalam Mazhab al-Syafi’i mempunyai syarah yang begitu banyak. Mazhab al-Syafi’i yang terkenal dengan tokoh-tokoh terbilang itu, telah menempatkan al-Minhaj pada satu kedudukan yang tinggi sehingga begitu ramai tokoh mensyarahkannya. Antara syarah yang paling mendapat tempat ialah Tuhfat al-Muhtaj تحفة المحتاج [3] , Mughni al-Muhtaj مغني المحتاج [4] dan Nihayah al-Muhtaj نهاية المحتاج [5].
Hasyiah Fekah
Ada juga yang bersifat hasyiah حاشية iaitu ta’liq atau komentar kepada syarah, samada sebagai tambahan maklumat ataupun penjelasan maksud. Ia bagaikan syarah atas syarah atau tambahan syarah atas syarah yang ada. Ada juga bersifat taqrir تقرير iaitu nota yang dimasukkan oleh tokoh-tokoh ilmuwan kepada syarah atau hasyiah yang mereka baca atau mengajar. Ia umpama perkara-perkara yang terlintas dalam fikiran mereka, atau buah pemikiran mereka yang mereka catat di tepi sesuatu naskhah.
Zad al-Mustaqni'
Kitab yang berada di tangan kita ini ialah زاد المستقنع في اختصار المقنع karangan al-Imam Abu Naja Musa al-Hajjawi الحجّاوي. Nama beliau Musa bin Ahmad bin Musa bin Salim سالم bin ‘Isa عيسى al-Maqdisi al-Dimasyqi. Beliau digelar Abu al-Naja النجا. Dilahirkan pada tahun 895H dan meninggal pada tahun 968H. Beliau bermazhab Hanbali. Maka, Zad al-Mustaqni’ ini merupakan sebuah matan fekah Mazhab Hanbali. Ia merupakan ringkasan dari kitab al-Muqni’ المقنع yang dikarang oleh al-Imam Abdullah bin Ahmad bin Qudamah yang dikenali dengan al-Muwaffaq Ibn Qudamah al-Maqdisi الموفق ابن قدامة المقدسي. Beliau lahir di Palestin pada 541, dan meninggal pada tahun 620H di Damsyik.
Kitab المقنع merupakan merupakan sebuah matan fekah yang dalam Mazhab Hanbali. Ia merupakan antara rujukan pengajian dalam Mazhab Hanbali. Matan ini untuk mereka yang berada di peringkat pertengahan, iaitu peringkat yang melepasi pengajian awal fekah tapi belum mencapai keupayaan melihat dalil-dalil secara matang. Maka, kitab al-Muqni’ ini tidak menyebut dalil-dalil dan juga alasan-alasan hukum. Kitab ini menyebut riwayat-riwayat dari al-Imam Ahmad dan pandangan-pandangan dari fuqaha Mazhab Hanbali secara ringkas. Secara umumnya kitab ini tidak mentarjihkan pandangan-pandangan yang berbeza dalam Mazhab Hanbali melainkan sedikit.
Al-Hajjawi telah meringkaskan kitab tersebut sehingga menjadi satu matan yang ringkas yang hanya menyebut satu pendapat yang dianggap paling rajih dalam mazhab al-Imam Ahmad. Atas tujuan untuk meringkaskan matan ini, beliau tidak menyebut masalah-masalah fekah yang nadir نادرة atau jarang berlaku yang disebut dalam kitab al-Muqni’. Bahkan dalil-dalil daripada hadith-hadith juga tidak disebut dalam matan ini atas tujuan tadi. Inilah sifat sesebuah matan ilmu. Matan زاد المستقنع ini telah mendapat tempat kemasyhuran dalam kalangan penuntut ilmu dalam Mazhab Hanbali.
Untuk maklumat, sekalipun beliau menyatakan beliau menyebut pendapat yang rajih dalam mazhab Hanbali tetapi terdapat juga puluhan masalah yang beliau dilihat telah menyanggahi pendapat yang rajih dalam Mazhab Hanbali.
Kekurangan Syarah
Perlu diketahui bahawa secara perbandingan, karya-karya yang merumuskan Mazhab Hanbali tidak sebanyak dan sekemas Mazhab al-Syafi’i. Kitab Zad al-Mustaqni’ ini juga tidak mempunyai syarah yang banyak dari ulama-ulama silam seperti matan-matan fekah dalam mazhab lain. Walaupun matan Zad al-Mustaqni’ ini begitu masyhur dalam Mazhab Hanbali, namun kitab syarah yang lama yang ada dalam kalangan penuntut ilmu hanya al-Raud al-Murbi’ Syarh Zad al-Mustaqni’ الرَّوْضُ المُرْبِع شرح زاد المستقنع oleh al-Syeikh Mansur bin Yunus al-Buhuti منصور البُهوتي (meninggal 1051H). Ada beberapa hasyiah bagi al-Raud al-Murbi’. Antara hasyiah yang dianggap sangat baik ialah karangan Al-Syeikh Abd Allah bin ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd al-Rahman al-‘Anqiri عبد الله بن عبد العزيز بن عبد الرحمن العنقري (meninggal 1373H).
Di zaman kita ini, atas kemunculan ramai tokoh dalam Mazhab Hanbali terutamanya di negara-negara Teluk, maka kitab ini mempunyai banyak syarah yang ditulis atau dirakam dengan syarah yang terkini. Antara syarah yang paling terkenal ialah al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ الشرح الممتع على زاد المستقنع oleh al-Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin محمد بن صالح العثيمين. Demikian juga terdapat beberapa kitab semasa lain yang sangat baik menghuraikan Zad al-Mustaqni’ seperti al-Ta’liq al-Muqni’ `ala Zad al-Mustaqni’ التعليق المُقْنِع على زاد المستقنع karangan Dr Mansur bin Muhammad bin ‘Abd Allah al-Soq‘uub منصور بن محمد بن عبدالله الصقعوب.
Memperkenalkan Turath Fekah
Dalam usaha Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk mendekatkan Umat Islam di negeri ini kepada bahan-bahan turath fekah yang menjadi rujukan asas pengajian fekah, maka matan ini antara yang dipilih untuk diterjemahkan. Kelebihan matan ini ialah ramai tokoh-tokoh semasa telah mensyarahkannya samada dalam bentuk tulisan atau rakaman. Ini akan membantu guru-guru yang mengajar menambah maklumat mereka ketika mensyarahkannya nanti. Sudah pasti tidak semua yang ada dalam matan ini kita sepakati. Mungkin ada perkara-perkara yang disebut itu tidak menjadi pilihan kita dalam amalan kerana kita memilih qaul yang lain. Matan-matan fekah lain terutamanya dalam Mazhab al-Syafi’i juga akan diterjemahkan nanti. Apa yang penting, mensyarahkan matan seperti ini akan mendekatkan kita kepada kaedah pengajian fekah tradisi yang membantu seseorang memahami disiplin pengajian fekah dan aliran-aliran fekah yang ada dalam sejarah umat Islam.
Terjemahan Harfiah
Pendekatan yang kita pilih dalam terjemahan ini adalah yang mendekati pendekatan harfiah. Ini bagi menjadikan pembaca terikat dengan matan asal. Walaupun kaedah ini kadang-kala sukar untuk kita memahami sesetengah matan, namun ia mengikat pembaca dengan maksud penulis pada matan asal. Jika ada ketidakjelasan, maka hendaklah bergantung kepada syarah matan yang telah dihasilkan oleh para ulama.
Pembaca akan dapati terjemahan ini juga memasukkan nota kaki atau hamish هامش pada tempat-tempat yang panel terjemahan merasakan keperluan untuk meletakkan nota kaki di situ. Ini bagi memudahkan pembaca memahami maksud yang tidak jelas dalam terjemahan matan ini.
Saya akhirnya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada panel terjemahan Jabatan Mufti Perlis khususnya al-Fadhil Ustaz Syed Abdullah yang menjadikan mengepalai terjemahan ini. Saya juga sempat hadir dalam banyak siri perbincangan terjemahan ini bersama panel-panel lain sejak awal. Tidak boleh dinafikan peranan besar al-Fadhil Ustaz Syed Abdullah pegawai Jabatan Mufti yang berkemahiran dalam terjemahan harfiah al-Quran. Beliau menggunakan latar pengetahuannya tentang kaedah terjemahan harfiah yang dipelajarinya untuk membantu terjemahan yang dibincangkan oleh panel. Bahkan usaha beliau yang paling banyak dalam menaip dan menyusun semula apa yang dibincangkan oleh panel. Apapun, saya berpendapat terjemahan ini masih ada ruang untuk dikemaskinikan demi memudahkan kefahaman pembaca. Maklumat balas pembaca amat kita alu-alukan.
Akhirnya, marilah sama-sama kita mendoakan agar usaha ini berterusan sehingga banyak matan-matan dalam pelbagai cabang ilmu dapat diterbitkan oleh Jabatan Mufti.
[1] Dibaca juga dengan Rahawaih. Namun, Ahl al-Hadith tidak menyukai sebutan waih وَيْه maka mereka cenderung membaca dengan يَهْ . (lihat: al-Sayuti السيوطي, Tadrib al-Rawi تدريب الراوي, muka surat 224. Beirut: Dar al-Fikr).
[2] Syarah bermaksud menjelaskan apa yang samar yang terdapat dalam matan, juga mendetilkan apa yang ringkas pada matan.
[3] Tuhfah al-Muhtaj تحفة المحتاج karangan al-Imam Ahmad bin ‘Ali al-Haitami أحمد علي بن الهيتمي. Meninggal 974H
[4] Kitab Mughni al-Muhtaj karangan al-Imam Muhammad bin Ahmad bin ak-Khatib al-Syarbini الخطيب الشربيني. Beliau meninggal pada 977H).
[5] Karangan Muhammad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli الرملي (meninggal 1004).




