Prof Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Jumlah paparan: 27
Adakah Haram Menukar Pemerintah Melalui Pilihanraya
Prof Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Jumlah paparan: 27
Prof Dato Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
Jumlah paparan: 27
Adakah Haram Menukar Pemerintah Melalui Pilihanraya?
Prof Dr MAZA, heboh sekarang tentang haram menjatuhkan pemerintah yang adil di Malaysia. Apa pendapat Prof Dr?

Jawapan Prof Dr MAZA:
1. Menjatuhkan pemerintah muslim dengan cara kekerasan sehingga membawa kepada kemafsadan atau kerosakan yang lebih besar dibandingkan kekalnya pemerintah tersebut adalah haram. Ini merupakan pendapat yang disepakati oleh Ahlusunnah wal Jamaah. Bahkan al-Imam al-Nawawi rh (wafat 676H) dalam Syarah Sahih Muslim mendakwa hal itu ijmak. Pendapat ini disepakati hasil setelah Umat Islam melalui pengalaman pahit khususnya di zaman al-Salaf al-Salih dalam usaha menjatuhkan pemerintahan atau bertembung dengan pemerintah. Pengalaman Saidatina Aishah rha, Talhah bin 'Ubaidillah, al-Zubair bin al-'Awwam, Muawaiyah bin Abi Sufyan, al-Husain bin 'Ali, kebangkitan sekitar 500 orang ulama-ulama salaf bersama 'Abd al-Rahman bin al-Asy'ath menentang al-Hajjaj dan lain-lain menyebabkan fatwa pengharaman itu dikeluarkan oleh majoriti ulama selepas zaman tersebut. Ini kerana, semua pertembungan tersebut berakhir dengan tumpah darah yang menakutkan sementara pemerintah tidak juga tumbang. Hanya kerugian untuk keamanan dan nyawa kerana tidak mudah untuk menjatuhkan pihak berkuasa.
2. Adapun dalam sistem demokrasi; menukar pemerintah atau mencalonkan pihak lain sebagai pemerintah yang baharu melalui pilihanraya merupakan sesuatu yang berada di bawah peruntukan sistem pemerintahan itu sendiri. Ia bukan sesuatu yang bersifat kekerasan atau tumpah darah. Tidak juga ia terkeluar dari peruntukan dalam Perlembagaan Negara atau Negeri. Tidak menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta. Bahkan kekerasan dibantah oleh semua pihak. Ia sangat berbeda dengan keadaan yang disebut dalam kitab-kitab klasik dahulu.
3. Di Malaysia, kita tidak menemui dengan jelas terbuka usaha menjatuhkan pemerintah secara kekerasan dan darah oleh Melayu Muslim melainkan dalam episod Memali (itupun ada beberapa hal yang tidak pasti) dan al-Maunah. Selain itu, apa yang kita lihat adalah pertarungan atas kertas undi melalui pilihanraya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Mungkin di sana-sini ada pelanggaran peraturan berkaitan pilihanraya tetapi masih dalam semangat menggunakan undi untuk menukar pemerintahan.
4. Dalam konteks ini, jika ada yang menyatakan menukar sesebuah kerajaan melalui sistem pilihanraya adalah HARAM, bererti Suruhanjaya Pilihanraya tidak boleh mengadakan pilihanraya di peringkat negeri atau parlimen kerana menyebabkan rakyat membuat perkara yang HARAM. Dalam erti kata lain, mengadakan Pilihanraya Umum atau Negeri merupakan sesuatu yang mungkar. Perlembagaan kita mengandungi satu kemungkaran yang wajib diubah. Ini merupakan pendapat yang sangat pelik bagi sistem demokrasi yang kita amalkan.
5. Mungkin terdapat parti politik yang berjaya menjadi kerajaan semasa, suka dengan fatwa yang seperti itu. Persoalannya, jika parti tersebut menjadi pembangkang nanti, apakah mereka redha dengan fatwa yang sedemikian?
6. Saya cadangkan, jika sesiapa hendak berfatwa mengenai hal ini dalam sistem demokrasi yang sedang berjalan, sebutlah "haram seseorang mengundi sesiapa yang dia percaya akan merosakkan agama, atau negara, atau akan melakukan penyelewengan atau menyalahgunakan kuasa". Maka, setiap pengundi wajib cakna siapa yang dia undi kerana ada kemungkinan dia berdosa, bahkan besar dosanys disebabkan besarnya kerosakan nanti.
7. Adapun menukar menukar pemerintah yang baik atau adil kepada yang lebih baik atau lebih adil, atau yang setara tapi mempunyai kelebihan lain yang dilihat lebih sesuai, maka itu tidak mungkin dihukum sebagai haram dalam kerangka politik demokrasi yang tidak membawa tumpah darah atau kemusnahan.
8. Saya bimbang dalam usaha kita mengelakkan salahguna agama untuk kepentingan politik kepartian, kita turut terlibat mengeluarkan fatwa agama bukan dalam konteks yang betul.
9. Saya menyokong usaha membentuk kerajaan yang baik dan adil. Saya juga menyokong mengekalkan sesiapa yang terbukti baik dan adil atas kerusi pemerintahan. Namun, saya tidak menyokong menggunakan fatwa bukan pada tempatnya lalu mengharamkan mengundi parti tertentu atau mewajibkan mengundi parti tertentu atas sentimen politik semata. Jika ada bukti atau ternyata parti tertentu boleh merosakkan agama atau negara dengan hujah-hujah yang jelas, maka boleh dikeluarkan fatwa.
10. Di sini pentingnya Fiqh Pilihanraya atau Fiqh Parlimen dipelajari dan dikaji. Bersainglah secara sihat dan profesional. Jangan gunakan agama melainkan jika benar-benar ada hujah di sisi agama untuk sesuatu fatwa agama dikeluarkan.




