FAQ Hubungi Maklumbalas Peta Laman

Transaksi Halal Tapi Harta Sumber Haram

TRANSAKSI HALAL TAPI HARTA DARI SUMBER HARAM

 

Soalan: Apakah hukum seseorang menerima bayaran, atau hutang, atau nafkah, atau hadiah yang daripada pihak yang sumber pendapatannya haram? Contohnya, kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Anak isteri yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Jawapan Dr MAZA: Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan harta, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang atau harta dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas transaksi apa wang itu diterima. Adapun perkara sebelum traksaksi itu berlaku, yang tidak membabitkan diri penerima, maka dia tidak berkaitan dengannya. Hal ini melainkan jika dia mengetahui bahawa harta atau wang atau harta yang terbabit dalam traksaksi itu milik pihak lain yang diperolehi secara kekerasan yang tidak sah atau tanpa keredhaan pemilik sebenar seperti rompakan atau curian, maka dia tidak boleh menerima wang atau harta tersebut. Ini kerana pihak yang berurusan tiada hak atas harta tersebut. Adapun apa diperolehi dengan keredhaan kedua belah pihak seperti riba, rasuah, jual-beli barangan haram dan seumpamanya, walaupun perbuatan itu haram, namun pemilikan harta tersebut bukan secara rampasan atau paksaan. Maka jika transaksi yang halal berlaku antara kita dan pemilik harta jenis ini, kita tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku sebelum itu.

 

2. Umpamanya, seorang pekerja yang melakukan pekerjaan yang halal seperti membina rumah, lalu dibayar gaji oleh majikannya yang memperolehi keuntungan dari sumber riba atau judi, maka gaji halal kerana urusan riba tersebut tiada kaitan dengannya. Urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

 

3. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi. Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

 

4. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

(maksudnya): “dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

 

5. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing lalu baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka. Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak dari dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

 

6. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

هُوَ لَهَا صَدَقَةٌ، وَلَنَا هَدِيَّةٌ

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira adalah transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

 

7. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:

إِنَّ لِي جَارًا يَأْكُلُ الرِّبَا، وَإِنَّهُ لَا يَزَالُ يَدْعُونِي، فَقَالَ: «مَهْنَؤُهُ لَكَ وَإِثْمُهُ عَلَيْهِ

 “Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq).

 

Dalam riwayat al-Baihaqi, seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: Ya” (al-Sunan al-Kubra).

 

8. Al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab: “Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa” (http://www.estgama.net/estgama_mag/full.php?id=82).

 

9.Al-Imam Dr Yusuf al-Qaradawi r.h ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya: “Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan...(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

 

10. Dalam urusan jual-beli atau transaksi yang halal, tidak menjadi kewajipan untuk kita menyelidiki apa yang tidak zahir atau tiada kaitan dengan kita. Ini seperti jika seseorang berniaga makanan di restoren; apabila pelanggan ingin membayar selepas makan, tuan empunya kedai tidak perlu bertanya “dari mana sumber wang yang awak bayar makanan awak ini?”. Hal itu tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah. Mereka lebih faham agama ini dibandingkan kita.

 

11. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil atas pemberian yang sah, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap menyokong atau bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana membantu atau redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan kawan-kawan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau ada pihak memberi bantuan bertujuan mempromosikan judi, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1741
Semalam 2194
Minggu Ini 1741
Bulan Ini 3935

Keseluruhan 4027143

   Masa Capaian : 1.19 saat    Kemaskini :  02/11/2026