Isu Penghinaan Terhadap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar

Isu Penghinaan Terhadap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar:
Salah Faham Terhadap Realiti Masyarakat Jahiliyah
 
 
 
 
Saya percaya sudah ramai yang mengulas kenyataan yang tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu berhubung dengan keperibadian Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar bin al-Khattab r.a. Saya juga dapati pihak berkaitan juga telah menarik balik kenyataan beliau. Namun di sini, saya ingin mengajak diri saya dan pembaca memahami beberapa perkara yang menjadi punca kesalahan yang disebut oleh pihak berkaitan;
 
1. Sejarah tokoh-tokoh Islam yang lepas kita tidak menyaksikan peristiwa mereka secara langsung. Saluran yang ada untuk kita ketahui tentang mereka hanya riwayat yang DIPERCAYAI dari segi kaedah periwayatan. Walaupun disiplin periwayatan sejarah tidaklah setegas periwayatan hadith, namun tetap ada disiplinnya. Disiplin itu menentukan sesuatu penceritaan kisah yang lepas itu diterima sebagai suatu sejarah atau sekadar dogengan, mitos atau kesimpulan yang tidak berasas oleh pihak tertentu. Sesiapa yang menyebut tentang peristiwa lalu -khususnya berkaitan hal Umat Islam ini- yang tidak disaksikan oleh dirinya tanpa berdasarkan riwayat yang DIPERCAYAI, maka dia sebenarnya hanya mengada-adakan cerita tanpa asas yang boleh dipegang.
 
2. Jika itu berkaitan tokoh-tokoh umat di setiap peringkat, maka untuk tokoh-tokoh agung apatahlagi yang mempunyai kaitan langsung dengan Rasulullah s.a.w dan diangkat keperibadian mereka sejak awal seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, tentu lebih wajar kita berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu peristiwa atau kejadian kepada mereka.
 
3. Ramai tersalah sangka dengan menganggap masyarakat Jahiliah itu masyarakat yang sepenuhnya kejahatan tanpa nilai-nilai mulia yang menjadi pegangan mereka. Itu anggapan yang salah. Perkataan jahiliyah merupakan istilah yang Islam guna merujuk kepada zaman atau keadaan kejahilan mereka tentang akidah tauhid, dan syariat Allah. Juga merujuk kepada sikap keras masyarakat Arab dalam hal-hal tertentu sebelum menerima Islam. Ini termasuk dalam sikap asabiyyah (taksub kabilah), membunuh anak perempuan untuk menjaga nama dan prestasi, berbangga dengan nasab dan keluarga dan seterusnya.
 
4. Perlu diketahui bahawa dalam masyarakat Quraish nilai-nilai yang baik seperti amanah, berpegang kepada janji, suka membantu yang lemah, melindungi yang memerlukan perlindungan, kemuliaan peribadi, memuliakan tetamu, kefasihan bahasa, hubungan silaturahim yang baik dan lain-lain ciri yang baik tetap dihormati dan diiktiraf sebelum kebangkitan Nabi s.a.w. sekalipun. Inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w digelar al-Amin oleh masyarakat mereka, berlakunya Kesepakatan atau Sumpah Fudul (Hilf al-Fudul) di rumah Ibn Jad'an ابن جدعان yang berjanji membela golongan yang lemah, memandang tinggi kepada Khadijah sebagai wanita mulia, memandang tinggi kepada Abu Bakar sebagai tokoh yang dipercayai, memandang mulia Hatim al-Tai حاتم الطائي kerana memuliakan tetamu dan banyak lagi. Inilah juga keistimewaan kebanyakan golongan bangsawan Quraish kerana mereka dianggap mempunyai maruah dan dihormati atas nilai-nilai yang mereka pegang sejak zaman Jahiliyah lagi. Justeru itu kepimpinan Quraish diiktiraf semasa Jahiliyah dan semasa Islam.
 
5. Akhlak atau keperibadian yang buruk terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama; hal-hal yang membabitkan diri pelaku itu sendiri tanpa menzalimi secara langsung pihak lain. Ini seperti minum arak atau berzina dan seumpamanya. Ia tidak membabitkan penindasan ke atas pihak yang lain. Biasanya bahagian ini kebanyakan individu sebelum menganut Islam terbabit. Pun begitu, riwayat-riwayat menyatakan Saidina Abu Bakar r.a telah mengelakkan diri bahagian ini sebelum kedatangan Islam lagi. Beliau diriwayatkan tidak meminum arak sejak awal.
 
6. Bahagian yang kedua; keburukan yang membabitkan kezaliman ke atas pihak yang lain seperti mencuri harta orang, merampas isteri dan anak dara orang, membunuh atau mencederakan orang tanpa sebab dan seumpamanya. Bahagian ini, fitrah yang ada dalam diri manusia mengetahui ia sesuatu yang keji dan buruk tanpa perlu diajarkan. Mereka yang dipandang mulia oleh masyarakat Arab seperti tokoh-tokoh Quraish termasuk Abu Bakar dan Umar tidak melakukan hal ini. Jika berlaku akan dibantah. Ini sebabnya tindakan penindasan tokoh Mekah al-'As bin Wail al-Sahmi العاص بن وائل السهمي ke atas seorang asing dari Yaman yang sedang berada di Mekah ketika itu telah dibantah secara besar-besaran. Suku-suku Quraish berkumpul membuat Sumpah atau Kesepakatan Fudul bagi membela mereka yang ditindas. Itulah yang dinamakan Hilf al-Fudul حلف الفضول yang Nabi s.a.w menyatakan jika semasa Islam pun baginda dijemput kepadanya, baginda akan hadir menyokong.
 
7. Jika itu hal Quraish, bagaimanakah mungkin untuk dituduh Abu Bakar al-Siddiq yang dianggap mulia di sisi masyarakat mereka sebagai pemeras ugut di Mekah? Bagaimanakah mungkin untuk Saidina Umar al-Khattab yang merupakan 'Safir Quraish' سفير قريش yang bertugas dalam masyarakat Mekah bagi perundingan apabila berlaku perbalahan ketegangan antara puak yang membabitkan peperangan atau soal maruah dan kedudukan dituduh sebagai perampas anak dan isteri orang untuk berzina?! Tuduhan-tuduhan ini menunjukkan kajian yang tidak mencukupi dalam memahami realiti Masyarakat Quraish sejak zaman Jahiliyah.
 
8. Seperti masyarakat lain di dunia ini, zina memang berlaku dalam masyarakat Arab Jahiliyah. Sebahagian zina itu berlaku kerana suami ingin benih yang dianggap hebat, lalu membenarkan isterinya disetubuhi oleh mereka yang dianggap hebat. Ini disebut sebagai Nikah al-Istibda' نكاح الاستبضاع. Ada pula wanita yang setuju disetubuhi oleh sejumlah lelaki. Apabila dia melahirkan anak, dia akan memilih nasab dalam kalangan mereka tadi. Disebut sebagai Nikah al-Raht نكاح الرهط. Ada juga wanita yang meletakkan tanda di rumah merelakan diri mereka disetubuhi. Namun ini semua biasanya hanya membabitkan golongan hamba atau bekas hamba atau pelacur. Golongan wanita merdeka apatahlagi wanita-wanita Quraish tidak melakukan zina terbuka seperti itu. Mereka menyebut "Wanita merdeka rela lapar, tapi tidak makan dengan dua buah dadanya iaitu berzina
"(تجوع الحرة ولا تأكل بثديها)
Dalam riwayat Hind binti 'Utbah menyebut:
أَوَتَزْني الحُرَّةُ؟
"Apakah munasabah wanita merdeka berzina?" Walaupun dari segi sanad riwayat ini lemah, tetapi ia menggambarkan realiti masyarakat ketika itu.
Maka, menggambarkan Saidina Umar bin al-Khattab hobinya berzina adalah tidak tepat.
 
8. Tulisan ini tidak bermaksud menyatakan masyarakat Jahiliyah itu semuanya baik, tetapi membetulkan salah faham sesetengah pihak tentang realiti sebenar masyarakat tersebut. Kesalahfahaman itu membuat sebahagian memandang semua dalam masyarakat Arab Jahiliyah itu buruk. Jangan lupa bahawa kesan ajaran Nabi Ibrahim a.s yang sedikit sebanyak masih ada. Mereka lupa Quraish merupakan suku terbaik manusia sebab itu Nabi s.a.w berketurunan Quraish. Jangan lupa terdapat sebahagian amalan Quraish diiktiraf oleh Islam seperti adat meminang, hukum diyat, Bulan-bulan Haram, pengurusan Kaabah dan beberapa perkara lain.
 
9. Isu besar masyarakat Jahiliyah ialah isu Tauhid. Isu syariat selepas Tauhid. Di bawah lembayung Tauhid, Islam membetulkan ibadah, muamalah dan akhlak mereka. Ada yang dihapuskan, ada yang baiki, ada yang diganti dan ada yang dikekalkan. Memahami latar masyarakat Arab ketika itu penting untuk memahami konteks sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah.
 
10. Sesiapa yang mempelajari sastera zaman itu menerus syair-syair Jahiliyah, akan dapat melihat nilai-nilai positif yang terdapat dalam masyarakat Quraish. Justeru, sesiapa mengkaji latar sejarah Arab Quraish, tidak mungkin akan terbabas jauh dalam gambaran tentang realiti zaman, konteks nas dan analisa sejarah.
 
11. Tulisan ini saya tulisan secara atas telefon bimbit dalam perjalanan pulang daripada Uzbekistan ke KLIA dan dalam kenderaan ke Kota Bharu. Setiap yang saya sebutkan, in sha Allah ada rujukan yang muktabar. Sekadar ingin berkongsi ilmu yang sedikit untuk pembaca yang bertanya.
Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1685
Semalam 2136
Minggu Ini 11160
Bulan Ini 21903

Keseluruhan 3631943

   Masa Capaian : 1.03 saat    Kemaskini :  15/5/2026