PUISI : Orang Politik Di Dewan

ORANG POLITIK DI DEWAN

Di dewan ini, aku memerhati YB-YB beraksi,

cara mereka sendiri;

ada yang tersekat, ada juga yang cepat,

ada yang hanya sekadar membaca nota,

tertanya; apakah dia hadam maknanya?

Juga, ada yang nyata faham sebelum bicara

ada yang bertanya kerana ingin jawapannya

ada pula yang berkata-kata kerana terpaksa

ada yang tujuannya mendapat liputan media

ada yang tunjuk muka nak memenuhi masa

ada yang jelas fikirannya, ada pula yang terpinga-pinga,

ada yang hanya mengikut semata

ada juga yang asyik nak terlena saja...

 

 

Bagi setiap negeri, pemimpin murni berkualiti dicari

bukan sekadar mengulangi kerja sebelum ini

tapi juga berminda tinggi

orang lain tidak larat, dia kuat berkudrat

apa yang tersekat, dia boleh buat dan angkat

apa yang tersangkut, dia buang segala kusut

apa yang payah, dia mampu bagi mudah

apa yang ketinggalan, dia majukan ke hadapan

rakyat senang, tadbiran terbilang, dia disayang

apa yang lama bukan dibuang semua,

apa yang baru pula bukan ditelan selalu,

mana yang berkesan; disimpan dan dipadan,

mana yang baik; ditilik, ditarik naik, dimilik

fikiran baru dibawa bertalu dan padu

pandai cadang, bijak rancang, kemas susunan

lidah pemimpin sangat mustahak

benar, fasih, bijak, berani menegak

bukan belit, bohong dan berselerak

 

Perhatilah kisah tingkah sesetengah orang siasah;

cerita mereka berubah sepantas banjir bah

ramai yang dulu membangkang,

kini ternyata hanyalah temberang

ramai yang dulu sakan mencadang,

kini terang, itu hanya setakat sembang

tanpa jujur, hikayat cakap hebat mereka berkubur 

 

berkat pemimpin kerana ikhlas,

ingat ALLAH setiap kilas dan rentas

tegak makruf tugas digalas,

hapus mungkar selalu pantas,

maslahat rakyat, di jiwa tersemat.

semangat khidmat, ingat Akhirat.

bukan nama yang ingin diangkat,

harap pahala mencari rahmat

 

 

Dr MAZA

Dewan Undangan Negeri Perlis

14-12-2023 

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1943
Semalam 1482
Minggu Ini 1943
Bulan Ini 41941

Keseluruhan 3651981

   Masa Capaian : 1.08 saat    Kemaskini :  22/5/2026