• Tiada Penghalang Antara Insan Dengan ALLAH
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 08 Februari 2023
    Tiada Penghalang Antara Insan Dengan ALLAH Antara rahmat ALLAH terhadap seluruh hambaNYA ialah ALLAH tidak meletakkan penghalang atau batasan untuk setiap hamba berbicara denganNYA. Bahkan, tiada masa atau tempat yang boleh menahan munajat, rintihan atau bisikan seorang hamba kepada tuhannya. Allah Maha Mendengar sekalipun tiada suara yang keluar. Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Adil dalam menentukan kedudukan setiap aduan hambaNYA. DIA telah menerima permohonan Iblis... Baca Seterusnya

Hukum Pemberian Ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) Kepada Golongan Yang Berisiko

Hukum Pemberian Ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) Kepada Golongan Yang Berisiko

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE – 63 / 2023

23-24 JULAI 2023 / 5-6 MUHARRAM 1445

                   Bil. 2/63 Tahun 2023                  

HUKUM PEMBERIAN UBAT PRE-EXPOSURE PROPHYLAXIS (PrEP) KEPADA GOLONGAN YANG BERISIKO

Setelah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mendengar penerangan tentang polisi pemberian PrEP dari Kementerian Kesihatan dan Pengamal-pengamal Perubatan sama ada yang menyokong mahupun yang membantah, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpandangan :

  1. PrEP secara asasnya merupakan ubat atau bahan yang diberikan untuk mencegah jangkitan HIV. Pada asalnya, mengambil atau memberikan ubat yang tidak memudaratkan adalah dibolehkan melainkan ada perkara tertentu yang mengubah hukum asal.
  1. Mengambil langkah perlindungan penyakit adalah sesuatu yang harus bukan haram. Adapun jika pemberian bahan untuk mengekang penularan penyakit yang dalam masa yang sama boleh membawa kepada galakan melakukan perkara mungkar, maka dalam keadaan ini, pertimbangan antara dua mudarat perlu dilakukan dan dipilih mudarat yang lebih ringan. Dalam kes ini, pihak Jawatankuasa Fatwa berpendapat mudarat penyebaran HIV yang boleh berjangkit secara meluas adalah lebih besar berbanding mudarat penyalahgunaan PrEP untuk menggalakkan perbuatan seks songsang.
  1. Golongan yang terkena HIV terdiri daripada pelbagai pihak. Mereka bukan sahaja pengamal homoseksual dan seks bebas yang jelas haram, ia juga boleh menjangkiti mereka yang mempunyai hubungan yang halal, namun pasangan mereka mempunyai hubungan seks dengan penghidap HIV.
  1. Atas dasar ini, harus bagi pihak pemerintah atau pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV. Walau bagaimanapun, individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan dirinya melakukan seks bebas atau songsang adalah haram.
  1. Pemberian PrEP sebagai langkah perlindungan untuk mereka yang mungkin menjadi mangsa seperti isteri yang bimbang tentang keadaan suaminya yang mungkin terlibat dengan sesuatu yang meragukan, atau isteri yang suaminya dalam proses pemulihan dadah maka itu sesuatu yang wajar.
  1. Dalam masa yang sama, langkah-langkah menyelamatkan mangsa terkena HIV dari pasangan hendaklah dilaksanakan secara berkesan seperti memudahkan permohonan penceraian atau perpisahan segera suami-isteri yang terkena HIV. Pengurusan kes di mahkamah syariah hendaklah bersifat progresif dan tidak mundur.
  1. Satu hal yang menjadi tuntutan penting ialah, negara ini hendaklah secara jelas dan nyata bersuara menentang seks songsang khususnya homoseksual. Maka pemberian PrEP dalam suasana penentangan terhadap kesongsangan itu, tidaklah menampakkan negara berkompromi dan mempromosi aktiviti yang salah.

- TAMAT –

Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :

  1. S.S Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
  2. Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim – Timbalan Mufti Perlis
  3. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat
  4. Sahibul Fadhilah ProfesorDr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
  5. Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
  6. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
  7. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
  8. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
  9. Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin bin Jamilin
  10. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
  11. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
  12. Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin
  13. Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani – Setiausaha

DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2023 pada 2 Oktober 2023.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 191
Semalam 1899
Minggu Ini 191
Bulan Ini 7106

Keseluruhan 2133269

   Masa Capaian : 0.83 saat    Kemaskini :  01/12/2023