Fatwa Berkaitan Arah Kiblat

KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-38 / 2018
8 – 9 NOVEMBER 2018
30 SAFAR & 1 RABIULAWWAL 1440H


FATWA BERKAITAN ARAH KIBLAT

Islam adalah agama yang menyuruh agar memudahkan urusan umatnya termasuklah menuntut umatnya tidak menyusahkan dalam urusan kiblat ini. Ini adalah kerana nas al-Quran menyebut agar seseorang menghadap ke arah Masjidilharam dengan menggunakan perkataan شطر (arah atau separuh) sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 149:

Terjemahannya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam; dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

Allah mengetahui bahawa mustahil orang yang berada jauh untuk menghadap ke Masjidilharam. Maka yang diperintahkan adalah menghadap ke arah Masjidilharam.

Nabi S.A.W bersabda :



مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ

Terjemahannya : Arah antara timur dan barat adalah kiblat. (Riwayat al-Imam al-Tirmizi, Sahih)


Oleh itu, bagi muslim yang berada dalam masjidil haram hendaklah dia menghadap ke arah Kaabah yang dilihatnya. Sementara mereka berada di luar Masjidilharam hendaklah menghadap ke arah Masjidilharam. Adapun mereka yang berada di luar dari Makkah hendaklah dia menghadap ke arah tanah haram.

Asalnya hendaklah seseorang berusaha mencari arah kiblat yang tepat iaitu 291 darjah ke 293 darjah dari utara bagi negara Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi seseorang yang ingin solat memadailah dengan panduan arah kiblat yang sedia ada di tempat tersebut atau yang diketahui olehnya berdasarkan kemudahan sekadar yang dia mampu. Selagi mana seseorang menghadap ke arah Masjidilharam, maka solatnya sah. Tidak disyaratkan kesahihan solatnya itu dengan dia menghadap tepat ke Masjidilharam. Hal ini kerana penentuan arah kiblat sejak zaman dahulu adalah berdasarkan sangkaan yang kuat (غلبة الظن) dengan petunjuk-petunjuk yang ada.

Sesiapa yang telah solat dengan arah yang dipercayainya sebagai arah kiblat, kemudian setelah selesai solatnya dia mendapati arah tersebut salah, maka tidak wajib baginya untuk mengulangi solatnya.

Adapun bagi masjid-masjid pada zaman ini yang diwujudkan setelah adanya peralatan teknologi moden hendaklah berusaha mencari arah yang tepat dengan menggunakan kemudahan yang diiktiraf. Begitu juga masjid-masjid yang di bina dan didapati arah kiblatnya kurang tepat berdasarkan alatan moden masa kini, ia boleh kekal dengan binaan / keadaan asalnya selagi tidak melebihi 45 darjah dari arah yang tepat ke kiri atau ke kanan.


Apa yang dimaksudkan arah menghadap itu hendaklah tidak melebihi 45 darjah dari arah kiblat mengambil kira sudut setiap arah iaitu utara, selatan, timur dan barat yang mempunyai 90 darjah bagi setiap sudut. 45 darjah itu juga berdasarkan arah yang Nabi SAW sebutkan iaitu timur dan barat. Apabila melebihi 45 darjah dari arah yang tepat akan mengakibatkan seseorang akan terkeluar dari arah tersebut kerana arah keseluruhannya 90 darjah. Maka arah yang paling tengah dalam 90 darjah adalah 45 darjah ke kanan dan 45 darjah ke kiri.

 

Nabi SAW bersabda :


إِذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلاَ تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلاَ تَسْتَدْبِرُوهَا ، وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا



Terjemahannya : Jika kamu datang ke tandas, maka janganlah kamu menghadap kiblat dan membelakanginya. Akan tetapi, hadaplah ke arah timur atau barat. (Riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim)

 

Rajah di atas menunjukkan contoh sudut 45 darjah ke kiri dan ke kanan dari arah kiblat pada sudut 291 darjah.

 

Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6/2018 pada 6 Disember 2018

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1063
Semalam 2389
Minggu Ini 11312
Bulan Ini 51016

Keseluruhan 3947726

   Masa Capaian : 0.95 saat    Kemaskini :  25/9/2026