FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

say no LGBT

 

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 53 / 2021

23 - 24 JUN 2021 / 12 - 13 ZULKAEDAH 1443H

BIL 1/ 53 TAHUN 2021

                            

HUKUM BERINTERAKSI DENGAN MUKHANNATH (PONDAN / MAK NYAH / BAPUK / PENGKID / TOMBOI / TRANSGENDER)

Tasyabbuh iaitu perbuatan lelaki ataupun wanita dengan sengaja meniru jantina yang berbeza dari segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan yang dibenarkan oleh syarak seperti pendidikan, penyaksian atau pemberian keterangan dan seumpamanya.

Hukum tasyabbuh ini adalah haram dan termasuk di dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT seperti di dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas r.a :

لَعَنَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بالنِّسَاءِ، والْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بالرِّجَالِ

Terjemahannya : Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari)

Adapun jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut yang ada pada lelaki sejak asal bukan dibuat-buat adalah tidak dinamakan dengan tasyabbuh. Golongan ini dipanggil mukhannath khalqi iaitu seorang yang mempunyai sifat keperempuanan yang tidak disengajakan. Demikian juga wanita yang mempunyai sifat lelaki sejak asal seperti suara yang garau. Golongan ini dimaafkan selagi mana ia bukan disengajakan.  

Demikian juga lelaki atau wanita yang memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mencanggahi syarak adalah dimaafkan bahkan jika dia bersabar menahan dirinya dari melakukan perbuatan yang haram, dia mendapat pahala yang besar.

Sehubungan dengan itu golongan mukhannath atau yang disebut mak nyah (transgender) yang sengaja menyerupai jantina yang berbeza termasuk dalam golongan fasik. Bagi golongan ini terdapat beberapa hukum yang perlu diberikan perhatian:

  1. Hukum seseorang berkhalwat dengan golongan ini sekalipun dari jantina yang sama adalah diharamkan jika boleh menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang. Jika tidak menimbulkan fitnah maka hukumnya sama seperti seseorang berkhalwat dengan jantina yang sama.
  1. Solat jemaah golongan ini hendaklah berdasarkan jantinanya yang sebenar dan mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina, kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid. Golongan ini juga dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah.
  2. Jenazah golongan ini diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar. Pihak pengurusan jenazah memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.
  1. Lelaki dari golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki.

 

-TAMAT-

 Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

1. YBhg. S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis

2. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari Bin Mat

3. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim

4. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle

5. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman

6. Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Azman Bin Mohd Noor

7. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan

8. Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin Jamilin @ Ahmad Kamil Jamilin

9. Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah

10. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar

11. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin

12. Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha

Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 4/2021 pada 14 September 2021