Hukum Seorang Muslim Terlibat Dalam Proses Pengubahan Bahan Haram Atau Najis

Hukum Seorang Muslim Terlibat Dalam Proses Pengubahan Bahan Haram Atau Najis

KEPUTUSAN MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-80/2026

28-29 JULAI 2026 / 13-14 SAFAR 1448

Bil. 1/80         TAHUN 2026

 HUKUM SEORANG MUSLIM TERLIBAT DALAM PROSES PENGUBAHAN BAHAN HARAM ATAU NAJIS

Arak merupakan bahan yang diharamkan dalam Islam. Perbuatan meminum arak atau apa-apa sahaja yang membantu proses pembuatan dan penggunaan arak adalah haram serta termasuk dalam dosa besar. Dengan itu, membeli, menjual, memiliki, membawa, menghidangkan dan apa-apa sahaja proses yang menggalakkan pengambilan arak adalah diharamkan. Namun begitu, jika perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan bukan tujuan untuk menggalakkan arak, seperti mengangkatnya untuk tujuan penyelidikan, rampasan, pelupusan, sekatan atau untuk pembuktian di mahkamah dan seumpamanya tidak termasuk dalam kategori yang diharamkan.

Jika arak telah berubah sifatnya seperti bertukar menjadi cuka atau bahan-bahan lain yang tidak lagi memabukkan atau membahayakan adalah tidak lagi dihukum sebagai arak. Dengan itu, bahan-bahan tersebut boleh digunakan sama ada sebagai bahan makanan, minuman atau kegunaan yang lain. Pengguna pula tidak dituntut oleh syarak untuk menyelidiki asal usul sesuatu bahan selagi mana bahan tersebut bersih atau halal pada masa ia digunakan.

Walaupun para ulama sepakat bahawa arak yang berubah dengan sendirinya itu halal, namun mereka berbeza pendapat tentang hukum memproses arak sehingga menjadi bahan lain yang tidak lagi memabukkan. Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan salah satu riwayat daripada al-Imam Ahmad membenarkannya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis setelah bersidang berpendapat bahawa proses mengubah arak kepada bahan yang tidak memabukkan atau untuk kegunaan lain seperti bahan pembersih, baja dan seumpamanya adalah dibolehkan dengan syarat proses ini tidak menyumbang kepada galakan pembuatan arak seperti jual beli arak.

Justeru, pihak pemerintah boleh menukar arak yang dirampas kepada bahan lain yang tidak haram di sisi syarak. Tindakan penukaran arak kepada bahan lain yang tidak haram yang dilakukan oleh pemerintah boleh dikategorikan sebagai salah satu cara pelupusan arak. Langkah ini lebih utama dari pelupusan yang merosakkan alam sekitar atau pelupusan yang melibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan.

KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:

  1. Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
  2. Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
  3. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
  4. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
  5. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman bin Mohd Noor
  6. Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
  7. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
  8. Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr Ahmad Wifaq bin Mokhtar
  9. Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
  10. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
  11. Sahibul Fadhilah K.H Dr. Zaitun bin Rasmin
  12. Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
  13. Sahibul Fadhilah Ustaz Burhanudin bin Lokman
  14. Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh
  15. Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha

Diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2026 pada 22 September 2026

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1479
Semalam 1773
Minggu Ini 7195
Bulan Ini 47730

Keseluruhan 4005210

   Masa Capaian : 1.11 saat    Kemaskini :  22/10/2026