Fatwa Tentang Wakaf Zurri
KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-80/2026
28-29 JULAI 2026 / 13-14 SAFAR 1448
Bil. 3/80 TAHUN 2026
FATWA TENTANG WAKAF ZURRI
Wakaf Zurri atau wakaf untuk keturunan iaitu mewakafkan sesuatu harta yang boleh diwakafkan untuk manfaat zuriat pewakaf.
Pada asasnya wakaf ini dibenarkan di sisi syarak. Ia dapat memberi manfaat kepada keluarga dari sudut kelangsungan harta. Namun pelaksanaan wakaf tersebut dalam realiti negeri Perlis menimbulkan kesukaran kepada MAIPs yang merupakan pemegang amanah tunggal wakaf di negeri Perlis dari segi undang-undang.Hal ini disebabkan oleh wakaf jenis ini hanya memberikan manfaat kepada keluarga pewakaf sahaja. Ia boleh menyebabkan perbelanjaan harta awam MAIPs digunakan untuk manfaat keluarga tertentu sahaja. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menyatakan bahawa pelaksanaan Wakaf Zurri di negeri Perlis hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
- Wakaf tersebut hendaklah didaftarkan di MAIPs dengan mengadakan persetujuan yang merangkumi perkara-perkara yang ditetapkan oleh MAIPs.
- Badan amanah bagi pihak keluarga hendaklah diwujudkan untuk menanggung pengurusan wakaf tersebut.
- Kos pengurusan wakaf hendaklah ditanggung oleh pihak pewakaf atau keluarga yang terlibat, bukan harta awam di MAIPs.
- Wakaf tersebut dibuat secara bersyarat iaitu jika pengurusan harta wakaf tersebut terbengkalai atau gagal diuruskan oleh badan amanah bagi pihak keluarga, maka MAIPs boleh menentukan status harta wakaf tersebut sebagai wakaf am.
- Jika wakaf tersebut diwujudkan dalam bentuk wasiat yang dilaksanakan selepas kematian pewakaf, maka wakaf tersebut hendaklah dipersetujui oleh ahli waris dan tanggungjawab pengurusannya hendaklah mampu dilaksanakan oleh pihak yang diamanahkan. Jika perkara tersebut tidak berlaku, maka MAIPs berhak menentukan status wakaf tersebut.
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr Ahmad Wifaq bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah K.H Dr. Zaitun bin Rasmin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Burhanudin bin Lokman
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha
Diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2026 pada 22 September 2026







