Fatwa Taksiran Zakat Harumanis
KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-78/2026
9-10 FEBRUARI 2026 / 21-22 SYAABAN 1447
Bil. 2/78 TAHUN 2026
FATWA TAKSIRAN ZAKAT HARUMANIS
a) Buah harumanis yang dituai adalah termasuk dalam zakat pertanian. Nisab zakat bagi buah harumanis adalah 650kg. Nisab zakat dikira bagi buah harumanis sesuai dipetik dan tidak ditunggu proses pemeraman. Nisab zakat buah harumanis adalah dikira dengan mengumpulkan semua buah yang dituai sepanjang musim melibatkan semua ladang harumanis yang dimiliki walaupun berbeza tempat.
b) Tiada halangan kepada pemilik ladang harumanis untuk mengambil sedikit hasil tanaman bagi diberikan kepada keluarga dan jiran terdekat tanpa diambil kira dalam pengiraan nisab zakat, namun ia tidak boleh melebihi 1/3 daripada hasil tanaman disebabkan ia termasuk dalam kategori al-amwal al-zahirah di mana penduduk sekitar dapat melihat hasil tanaman.
c) Mengambil kira sifat buah harumanis yang mudah rosak selepas mencapai tahap kematangan sebelum dipetik, maka buah-buah yang mengalami kerosakan selepas matang tidak termasuk dalam pengiraan zakat.
d) Petani ladang harumanis boleh menolak kos tanaman harumanis yang merangkumi baja, racun, pembalut buah, siraman air, upah pekerja, kos penyelenggaraan ladang, kos sewa tanah dan cukai. Selain itu, petani sepenuh masa ladang harumanis yang mengusahakan tanaman harumanis boleh menolak kos sara hidup dalam pengiraan zakat berdasarkan kepada had kifayah.
e) Mengambil kira uruf peladang harumanis, satu-satu ladang harumanis perlu diuruskan dengan baik dari sudut pengairannya. Di awal penanaman harumanis ia memerlukan air yang cukup untuk tumbesaran pokok bagi menghasilkan bunga buah, namun sekiranya hanya berpada kepada air hujan tanpa melalui usaha pengairan, maka ia boleh menjejaskan tumbesaran pokok untuk menghasilkan bunga buah. Tambahan juga, apabila bunga buah telah mencapai ke satu tahap, air hujan boleh menyebabkan bunga buah menjadi rosak dan gugur. Oleh itu, berdasarkan kepada situasi tersebut, kadar zakat bagi buah harumanis adalah sebanyak 5%.
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah K.H Dr. Zaitun bin Rasmin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Burhanudin bin Lokman
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Luthfi bin Mohammad Masruh
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2 / 2026 pada 12 Mac 2026.







