Jamak Solat Di Masjid Kerana Bencana Alam

MESYUARAT

JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-32 & 33/2017

20 – 21 Oktober 2017

29 Muharram – 1 Safar 1438H

 

Jamak Solat Di Masjid Kerana Bencana Alam

Majoriti ulama dalam berbagai mazhab iaitu Maliki, Syafie dan Hambali mengizinkan melakukan jamak solat tanpa qasar di masjid disebabkan bencana alam seperti hujan lebat, ribut, kesejukan yang melampau, banjir, banjir lumpur dan seumpamanya.

Setelah meneliti penghujahan jumhur ulama maka Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa dalam keadaan bencana alam seperti yang disebutkan, maka pihak masjid boleh menjamakkan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’ tanpa qasar.

Pelaksanaan solat jamak tersebut dilakukan di tempat dilaksanakan solat Jemaah bagi kawasan terbabit dengan bencana khususnya masjid. Jamak tersebut hendaklah diutamakan dalam waktu yang pertama (jamak taqdim). Ini kerana tujuan keizinan jamak di masjid bagi mengelak masyaqqah mereka yang akan hadir menunaikan solat berjemaah di masjid. Sementara diutamakan jamak taqdim seperti yang ditegaskan oleh sebahagian fuqaha kerana kemungkinan keadaan bencana itu tamat sebelum masuk waktu yang berikutnya. Namun jika keadaan mendesak untuk solat jamaah itu dilaksanakan pada waktu yang kedua, maka boleh dilakukan jamak ta’khir.

Sesiapa yang telah solat berjemaah di masjid yang melakukan jamak disebabkan bencana, maka dia tidak perlu lagi mengulangi solatnya sekalipun bencana telah tamat.

Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil. 7/2017 pada 06 November 2017

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 24
Semalam 1476
Minggu Ini 13376
Bulan Ini 38540

Keseluruhan 3648580

   Masa Capaian : 1.11 saat    Kemaskini :  22/5/2026