Doa Sentiasa Diterima..
Doa tidak pernah sia-sia. Apabila seseorang berdoa dengan penuh pasrah dan merendahkan jiwa kepada ALLAH, itu pasti mustajab. Itulah janji ALLAH. Cumanya, bilakah ia dimustajabkan dan dalam rupa atau keadaan yang bagaimana ia dimustajabkan itu merupakan pilihan ALLAH untuk hamba-hambaNYA atas hikmat yang DIA Maha Tahu.
Betapa banyak doa insan yang telah dimustajabkan, namun insan itu terlupa atau tidak menyedarinya. Itu kerana, insan sering terbayang doanya muncul sama seperti dalam khayalannya sahaja. Padahal, maksud doa itu boleh muncul dalam pelbagai rupa dan cara. Kadang kala insan terlupa, kehidupan yang sedang dia lalui dengan pelbagai nikmat itu, sebahagian besar adalah hasil kemustajaban doanya yang menjelma dalam rupa dan warna yang dia sangka ataupun tidak sangka. Namun insan itu lalai, lalu sering tertanya: "Mengapa ALLAH belum menyahut doa saya".