Lafaz Taklik
Soalan:
Assalamualaikum WBT, saya ingin bertanya terpakai atau tidak lafaz taklik yang saya waswas samada saya lafaz atau tidak, dan samada saya niat mahupun tidak. Sekarang fikiran saya terganggu dengan lafaz tersebut serta kesan penceraian daripada lafaz itu. Pernah satu hari, saya makan di sebuah kedai, kemudian saya ragu adakah saya lafaz taklik jika saya makan hidangan ikan dari kedai tersebut maka isteri saya jatuh cerai. Kemudian, apabila saya tersedar yang saya terniat perkara itu, terus saya menyatakan bahawa saya sayang kepada isteri saya, saya tidak akan cerai. Jadi apakah hukum tindakan saya tersebut ?
Jawapan:
Taklik merupakan sebuah penggantungan talak yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya, dengan sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri, atau dengan perkara lain, atau berlaku pada masa hadapan. Seseorang suami yang mentaklikkan isterinya, dan taklik tersebut berlaku secara realiti, maka talak terhadap isteri itu dikira terjadi.
Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, jelas menunjukkan bahawa pihak suami ragu dengan lafaz taklik yang diungkapkan. Selain itu, pihak suami juga dilihat tidak bertujuan untuk menceraikan isteri disebalik taklik yang meragukan tersebut.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-24 & 25/2016, bertajuk Hukum Taklik Talak Tiga, disebutkan beberapa ketetapan yang perlu diperhalusi disebalik sesebuah lafaz taklik. Antaranya, pihak suami mestilah bertujuan untuk talak ketika melakukan taklik. Namun jika suami tidak berniat talak, tetapi taklik tersebut bertujuan untuk menyatakan kebencian pihak suami terhadap isteri daripada melanggar sesebuah perjanjian seperti yang disebut dalam taklik, maka taklik tersebut tidak menjatuhkan talak. Kemudian, jika suami ragu atau tidak pasti keadaan dirinya semasa taklik, samada terpaksa atau rela, dalam keadaan sedar atau tidak, memahami maksud taklik atau tidak, maka hukumnya kembali kepada hukum asal iaitu akad perkahwinan masih dikira sebagai sah.
Ini berdasarkan kaedah fiqh "Al-Yaqīn La Yazūlu Bi al-Syak", bermaksud "sebuah keyakinan tidak akan terhapus dengan adanya keraguan". Justeru, keyakinan kekalnya akad perkahwinan tersebut tidak boleh terhapus dengan adanya keraguan taklik seperti yang saudara utarakan dalam soalan ini.
Walaupun begitu, kami menasihati saudara agar sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dihilangkan segala bentuk keraguan dan waswas yang menimpa, dan dihindari daripada segala bisikan dan perasaan tidak sepatutnya sepanjang perkara ini berlaku. Kami juga menasihati saudara agar tidak bermudah-mudah dan tidak bermain-main dengan apa-apa lafaz talak mahupun taklik tanpa tujuan yang pasti, kerana kesannya mampu meruntuhkan hubungan perkahwinan.