Soalan:
Ustaz benarkah ada yang kata puasa enam Syawal boleh juga ditunaikan di luar bulan Syawal?
Jawapan:
Puasa enam Syawal terikat dengan bulan Syawal, dalam ertikata lain, puasa enam hari tersebut hendaklah dilakukan dalam bulan Syawal. Inilah pegangan majoriti ulama.
Dalam mazhab Maliki, mereka tidak berpendapat wujudnya ketetapan enam hari puasa sunat dalam bulan Syawal. Dalam kalangan mereka ada yang menolak kesahihan hadis puasa enam dalam bulan Syawal atas alasan ia bercanggah dengan amalan Ahli Madinah. Ini kerana mazhab Maliki mensyaratkan hadis yang hendak diamalkan itu tidak boleh menyanggah amalan Ahli Madinah yang berterusan sejak zaman Sahabat seingga ke zaman Imam Malik. Mereka melihat hadis puasa enam berbeza dengan apa yang menjadi amalan Ahli Madinah.
Dalam kalangan mereka ada yang mentakwilkan hadis tersebut dengan menyatakan huruf مِنْ dalam hadis yang bermaksud: “daripada” membawa makna puasa enam hari itu mula boleh dilaksanakan dalam bulan Syawal sehingga bulan-bulan seterusnya. Ia tidak terikat dengan bulan Syawal semata-mata. Penafsiran ini bagi mereka, lebih selaras dengan amalan Ahli Madinah yang Imam Malik tidak mendapati mereka itu menumpukan puasa enam hari pada bulan Syawal. Ertinya, enam hari sepanjang tahun boleh dilakukan bila-bila masa sahaja bermula daripada bulan Syawal. Dengan tafsiran ini menghilangkan ketidak serasian dengan amalan Ahli Madinah yang dijadikan hujah oleh Mazhab Maliki.
Pun begitu seperti yang disebutkan tadi, majoriti ulama tidak menerima tafsiran itu. Mereka berpendapat puasa enam tersebut terikat dengan bulan Syawal.