• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Apakah Benar Isteri Fir’aun Seorang Yang Beriman?

 

 asiah 1

Soalan:

Apakah benar isteri fir’aun seorang yang beriman?

Jawapan:

  1. Perlu diketahui bahawa kata nama Firaun bukanlah nama kepada seseorang individu. Sebaliknya ia adalah gelaran kepada raja-raja yang memerintah Mesir dahulu kala.
  1. Maklumat sahih tentang isteri Firaun amat terhad. Kebanyakan yang ada tentangnya adalah berdasarkan sumber-sumber Bani Israil (Israiliyyat) dan yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.
  1. Al-Quran ada menyebut tentang isteri Firaun yang beriman, iaitulah dari surah al-Tahrim ayat 11, firman Allah SWT:

وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱمۡرَأَتَ فِرۡعَوۡنَ إِذۡ قَالَتۡ رَبِّ ٱبۡنِ لِي عِندَكَ بَيۡتٗا فِي ٱلۡجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرۡعَوۡنَ وَعَمَلِهِۦ وَنَجِّنِي مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلظَّٰلِمِينَ

Maksudnya: Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin, iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.

  1. Terdapat hadis sahih yang menyebut nama isteri Firaun sebagai Asiah binti Muzahim (آسية بنت مزاحم). Antara hadis tersebut:
  • Hadis Abu Musa RA, Nabi SAW bersabda:

كَمَلَ مِنَ الرِّجَالِ كَثيرٌ، وَلَمْ يَكْمُلْ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا آسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ وَمَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ، وَإِنَّ فَضْلَ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ

Maksudnya: “Orang lelaki yang memiliki kelebihan kesempurnaan adalah ramai. Manakala dari kalangan wanita pula ialah Asiah isteri Firaun dan Maryam binti Imran. Sesungguhnya kelebihan ‘Aisyah pula berbanding wanita lain adalah seumpama kelebihan tharid (sejenis makanan dari tepung dan daging yang berkhasiat di zaman dahulu) berbanding makanan lainnya.” (al-Bukhari dan Muslim)  

  • Hadis Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

خَطَّ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِى الأَرْضِ أَرْبَعَةَ خُطُوطٍ قَالَ: أتَدْرُونَ مَا هَذَا؟، فَقَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melakar empat garisan di tanah. Lalu baginda bersabda: “ Tahukah kamu semua, garisan apakah ini?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah SAW: “(Inilah garisan mewakili) sebaik-baik wanita ahli syurga iaitulah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim isteru Firaun dan Maryam binti ‘Imran.” (Ahmad. Dinilah sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’)

Berdasarkan hadis-hadis ini, Isteri Firaun yang bernama Asiah binti Muzahim adalah seorang wanita yang solehah, memiliki tahap iman yang tinggi dan seorang yang bijaksana. Kerana sifat-sifatnya ini, Nabi SAW memasukkan beliau dalam kumpulan wanita yang memiliki kelebihan kesempurnaan sebaris dengan Maryam ibu Nabi Isa AS, Khadijah binti Khuwalid RA, ‘Aisyah RA dan Fatimah binti Rasulillah SAW.

  1. Tidak dapat dikenal pasti siapakah Firaun yang mengahwini Asiah binti Muzahim tersebut. Apakah Firaun yang menentang Nabi Musa AS atau Firaun yang lain.

Dr. Salah ‘Abdul Fatah al-Khalidi dalam bukunya al-Qasas al-Qurani berkata:

“Siapakah Firaun yang mengahwini Asiah binti Muzahim? Bagaimana Firaun tersebut mengahwininya? Apakah Firaun yang sama dengan zaman kelahiran Nabi Musa? Atau Firaun lain yang sebelum Firaun yang menentang Musa atau selepas zamannya?... Isteri Firaun yang mana pula bernama Asiah seorang yang beriman tersebut? Kita tidak memiliki bukti yang pasti untuk menentukannya. Nama Asiah binti Muzahim itu pula nama ‘Arab. (Manakala) nama raja-raja Firaun adalah seperti Ra’masis (رعمسيس), Minbatah (منبتاح) dan Akhnatun (أخناتون). Apakah Asiah itu saudara perempuan suaminya atau seorang wanita Arab yang dikahwini oleh Firaun? Kita tidak dapat memastikannya. Kita juga tidak dapat memastikan apakah Asiah binti Muzahim itu adalah isteri Firaun yang mengambil Nabi Musa dan menyayangi baginda sehingga menjadikan baginda sebagai anak angkat? Kita juga tidak dapat memastikannya. Apakah Asiah binti Muzahim hidup sehingga Nabi Musa kembali dari Madyan sebagai seorang Nabi dan Rasul, lalu beliau beriman dan mengikut baginda? Atau apakah Asiah meninggal dunia sebelum itu? Apakah Asiah meninggal dunia sepertimana biasa atau beliau meninggal dunia kerana dibunuh oleh Firaun atau bagaimana? Mengapa Asiah mengembil Musa sebagai anak anagkat? Apakah disebabkan beliau seorang wanita mandul? Atau beliau memiliki anak bersama dengan Firaun? Kita juga tidak dapat memastikannya. Kita tidak mampu memberi jawapan yang pasti. Ahli-ahli sejarah cuma memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Terdapat berbagai jawapan dan pandangan, akan tetapi semuanya tidak memiliki bukti ilmiah yang pasti dari sumber ayat al-Quran yang jelas dan hadis-hadis yang sahih. Sebaliknya semua jawapan tersebut berdasarkan riwayat ahli-ahli sejarah dan riwayat Israiliyyat.” (Lihat al-Qasas al-Qurani 2/295 – 296 dengan olahan semula)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1174
Semalam 982
Minggu Ini 3246
Bulan Ini 21142

Keseluruhan 3093435

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  09/12/2024