• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Mengapa azan Jumaat di Perlis hanya sekali?

gambar azan

Soalan:

Mohon penjelasan mengapa azan Jumaat di Perlis hanya sekali? Tidak seperti negeri-negeri lain?

Jawapan:

Pada asalnya, laungan azan untuk solat Jumaat di zaman Nabi SAW hanya dilakukan sekali sahaja. Inilah asas pengamalan laungan azan Jumaat sekali di negeri Perlis. Manakala azan Jumaat yang dilaungkan sebanyak dua kali seperti yang diamalkan di negeri-negeri lain adalah berdasarkan perbuatan ‘Uthman bin ‘Affan RA.

Kata al-Imam al-Syafi‘e RH:

وأيهما كان - يعني أن الأذان أحدثه عثمان أو معاوية - فالأمر الذي على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم أحب إلي

Maksudnya: "Siapapun yang memulakannya - sama ada ‘Uthman atau Mu‘awiah – perkara tersebut (azan Jumaat) seperti yang ada di zaman Rasulullah SAW adalah lebih daku sukai.” (al-Umm 1/224)

Ibn Hajar al-Haitami RH berkata:

وأما الأذان الذي قبله على المنارة فأحدثه عثمان رضي الله عنه، وقيل معاوية رضي الله عنه لما كثر الناس، ومن ثَمَّ كان الاقتصار على الاتباع أفضل، أي: إلا لحاجة، كأن توقف حضورهم على ما بالمنائر

Maksudnya: “Adapun azan sebelumnya (azan pertama) yang dilaungkan di atas menara, ia dimulakan oleh ‘Uthman RA. Ada yang berkata ia dimulakan oleh Mu‘awiah RA apabila orang semakin ramai (di zamannya). Namun berpada dengan mengikut Nabi SAW adalah lebih utama, melainkan jika ada keperluan seperti orang ramai tidak hadir melainkan setelah dilaungkan azan dari atas menara-menara.” (Tuhfah al-Muhtaj 2/460)

Al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Silsilah al-Huda wa al-Nur, bilangan 185 ketika ditanya bila waktu azan ‘Uthman dilaungkan, beliau menjawab:

كانوا يجتمعون في مكان بعيد عن المسجد النبوي يسمى بالزوراء يتبايعون ويشترون ويقضون مصالح بعضهم بعض ، ولكن ما كانوا يسمعون الأذان المسجد النبوي فرأى عثمان وكما قلنا آنفًا ونعم ما رأى أن يجعل هناك أذانًا في وقت صلاة الجمعة يسمعه أهل الزوراء الذين يتبايعون هناك حتى ما تفوتهم صلاة الجماعة ،هكذا كان أذان عثمان رضي الله عنه أي لم يكن هناك فرق واسع بين أذان عثمان وبين الأذان المسجد النبوي إلا بمقدار ما يصل هؤلاء إلى المسجد النبوي بحيث يدركون الخطبة في أولها

Maksudnya: Mereka (masyarakat di zaman ‘Uthman RA) berjual-beli dan mendapatkan keperluan harian di tempat bernama al-Zawra’. Ia jauh dari masjid Nabawi, sehingga sesiapa yang berada di situ tidak dapat mendengar azan Jumaat yang dilaungkan di masjid Nabawi. Lalu ‘Uthman RA berpandangan perlu juga diadakan azan Jumaat di al-Zawra’ supaya dapat didengari oleh mereka yang sedang berjual-beli di situ, agar tidak terluput solat Jumaat. Demikianlah azan ‘Uthman RA, tiada jarak masa yang jauh antara azan ‘Uthman (di Zawra’) dan azan di masjid Nabawi melainkan pada kadar mereka yang berada di al-Zawra’ sempat sampai ke masjid Nabawi dan dapat menyertai khutbah Jumaat di awalnya.”    

al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Solah, hal: 513-514 menyatakan azan Jumaat sekali atau dua kali, kedua-duanya perkara yang baik dan tidak perlu diperbalahkan. Siapa yang melaungkan azan Jumaat sekali, maka ia bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Siapa yang melaungkan azan Jumaat dua kali, ia bertepatan dengan perbuatan ‘Uthman bin ‘Affan RA yang merupakan khalifah ketiga menggantikan kepimpinan Rasulullah SAW. Baginda SAW juga telah memerintahkan kita semua mengamalkan sunnah baginda dan sunnah para al-Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyah selepas baginda.

Sebuah hadis daripada Abi Yazid RA menyatakan: “Dahulunya seruan azan pertama (azan Jumaat) pada hari Jumaat apabila imam telah duduk di atas mimbar di zaman Rasulullah SAW, Abu Bakr dan ‘Umar. Apabila orang semakin ramai ‘Uthman menambah azan ketiga (ketiga dengan selain azan Jumaat dan iqamat) di al-Zaura’. Tiada tukang azan (Jumaat) bagi Nabi SAW melainkan seorang.” Kata al-Qaradhawi: “al-Zaura’ adalah satu tempat yang meninggi di pasar Madinah.” 

Dalam riwayat lain dinyatakan, apabila orang semakin ramai di zaman pemerintahan ‘Uthman, beliau memerintahkan dilaungkan azan (azan tambahan) pada hari Jumaat dan azan tersebut dilaungkan di al-Zaura’. Maka berterusanlah laungan azan tersebut. Seterusnya al-Qaradhawi berkata:

“Pandanganku, masyarakat Islam perlu kembali kepada keadaan yang ada di zaman Nabi SAW. Tidak ada keperluan untuk kita mengadakan azan lain (dari azan yang dilaungkan di zaman Nabi SAW), setelah masyarakat semuanya dapat mengetahui waktu azan dan dapat mendengarnya dengan mudah dari siaran-siaran radio dan television, demikian juag setiap setiap individu memiliki jam tangan. Kami di Qatar berpada dengan laungan azan sekali dan kami tidak menghadapi apa-apa masalah. Oleh itu kembali kepada sunnah itu adalah perkara yang lebih utama.”

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 7
Semalam 1188
Minggu Ini 3267
Bulan Ini 21163

Keseluruhan 3093456

   Masa Capaian : 0.88 saat    Kemaskini :  09/12/2024