• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Memberi Makanan Anjing Dan Kucing Liar

 

images

Dengan hormatnya saya memaklumkan anak saya suka memberi makan anjing dan kucing liar. Makanan yang dibeli mahal-mahal sehingga menjejaskan gajinya. Saya cuba nasihat tapi dia tidak ambil peduli. Saya harap Dato’ dapat tolong saya dengan memberi pandangan dari sudut agama islam sama ada wajar atau sebaliknya. Rumah tangga kami sering tegang kerana hobinya yang melampau.

Sekian dan saya mohon setinggi maaf kerana mengganggu Dato’. Saya Menyusun sepuluh jari memohon, semoga Dato’ dapat memberi panduan.

Terima kasih.

JAWAPAN : 

Islam menggalakkan umatnya untuk sentiasa melakukan kebaikan sesama makhluk. Termasuk dalam intipati berbuat baik kepada makhluk adalah memberi makan kepada haiwan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW tentang seorang pemuda yang memberi minum seekor anjing, lalu Allah SWT mengampunkan dosa pemuda tersebut dan memberi pahala kepadanya. Sabda Rasulullah SAW:

بَيْنَا رَجُلٌ بِطَرِيقٍ، اشْتَدَّ عَلَيْهِ العَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْرًا، فَنَزَلَ فِيهَا، فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ، فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ، يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الكَلْبَ مِنَ العَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي، فَنَزَلَ البِئْرَ فَمَلاَ خُفَّهُ مَاءً، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ "، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَإِنَّ لَنَا فِي البَهَائِمِ لَأَجْرًا؟ فَقَالَ: "فِي كُلِّ ذَاتِ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ"

"Ketika seorang lelaki berjalan di jalanan, lalu dia kehausan, kemudian dia menemui sebuah perigi, maka dia turun ke dalam perigi tersebut dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, dia dapati seekor anjing menjelir lidahnya sambil menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi. Maka dia turun ke perigi sekali lagi dan memenuhkan kasutnya dengan air, kemudian dia memberikan air tersebut kepada anjing untuk diminum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah SWT, maka Allah SWT mengampuninya". Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?". Rasulullah SAW bersabda: "(Berbuat baik) Setiap yang bernyawa itu akan diberi pahala".

(Riwayat al-Bukhari)

            Walaupun begitu, berbuat baik kepada haiwan perlu dilakukan pada kadarnya yang berpatutan. Seseorang tidak diwajibkan untuk menyediakan makanan atau kelengkapan yang mahal kepada haiwan sehingga menjejaskan pendapatan sendiri dan menimbulkan ketidakselesaan antara keluarga.

            Jika berlaku pertembungan hubungan sesama manusia dengan kebajikan kepada haiwan, apatah lagi pertembungan tersebut sesama keluarga, maka hubungan sesama manusia lebih patut untuk diutamakan. Dalam al-Quran, sumbangan dan infaq kepada manusia pun diajar untuk diberikan secara bersederhana dan tidak melampau, maka apatah lagi sumbanagan kepada haiwan.

            Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 67:

وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُواْ لَمۡ يُسۡرِفُواْ وَلَمۡ يَقۡتُرُواْ وَكَانَ بَيۡنَ ذَٰلِكَ قَوَامٗا 

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) apabila menginfaqkan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut. Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil)".

            Anjuran melakukan kebaikan kepada haiwan perlu dipertimbangkan dengan pertimbangan yang seimbang, agar perbuatan tersebut tidak membawa kepada pembaziran, dan tidak menjadi sebab kepada pengabaian hak-hak dan tanggungjawab yang lain, seperti menjadi punca kepada keregangan hubungan kekeluargaan dan seumpamanya.

            Kerana itu, disamping galakan memberi makan kepada haiwan, agama juga menuntut kita untuk menjaga hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa' ayat 1:

 وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا

"Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan-Nya, serta peliharalah hubungan silaturrahim sesama kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu".

            Sekiranya memberi makan kepada haiwan membawa kepada keburukan yang lebih besar kepada harta dan keluarga, maka aspek menjaga harta dan mengharmonikan hubungan keluarga adalah lebih utama untuk dijaga. Namun, sebaiknya seseorang perlu bijak membuat pertimbangan dalam menggapai dua kebaikan serentak, iaitu dengan melakukan kebaikan kepada haiwan dengan kadar berpatutan, dan dalam masa yang sama menjaga hak kekeluargaan supaya kekal harmoni dan sejahtera.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1156
Semalam 982
Minggu Ini 3228
Bulan Ini 21124

Keseluruhan 3093417

   Masa Capaian : 0.79 saat    Kemaskini :  09/12/2024