• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Pakaian Yang Direndam Dengan Pakaian Bernajis

IRSYAD HUKUM SIRI 30

Hukum Pakaian Yang Direndam Dengan Pakaian Bernajis

 

Assalamualaikum. saya ada satu perkara yg membebankan saya. saya telah rendam pakaian saya dalam baldi yg berisi air sabun dan saya terlupa bahawa ada sehelai pakaian yg terkena najis telah dicampurkan sekali. setelah itu saya masukan semua pakaian saya satu demi satu kedalam sebuah baldi yg berisi air biasa. Setelah tu saya terus memerah pakai itu tnpa melalukan air ke atas pakaian saya. dan memang didapati tiada kesan bau warna dan rasa. Peristiwa ini berlaku dua hari lepas dan saya baru sedar telah mencampurkan pakaian bernajis. persoalan nya adakah basuhan saya ini dikira tidak sah?

Jawapan untuk soalan saudara adalah seperti berikut:

Najis yang sedikit dan tidak mengubah sifat air pada warna, bau dan rasa, tidak menyebabkan air itu menjadi najis. Inilah pendapat mazhab Maliki dan salah satu pandangan yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad, air tersebut kekal dihukum suci dan menyucikan, sama ada air itu sedikit atau banyak, melainkan jika air itu berubah dengan sebab najis tersebut.

Pandangan ini dinilai sebagai rajih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dan Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Pandangan ini juga yang dipilih oleh beberapa ulama semasa seperti al-Syeikh Ibn Baz, al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin dan ulama Lujnah Daimah.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH ketika memberi komentar kepada sabda Nabi SAW dalam hadis Bi’r Budha‘ah: إِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ yang bermaksud: “Sesungguhnya air itu suci dan menyucikan, tiada sesuatu yang dapat menjadikannya najis (selagi tidak berubah)”, berkata:

وَهَذَا اللَّفْظُ عَامٌّ فِي الْقَلِيلِ وَالْكَثِيرِ ، وَهُوَ عَامٌّ فِي جَمِيعِ النَّجَاسَاتِ. وَأَمَّا إذَا تَغَيَّرَ بِالنَّجَاسَةِ : فَإِنَّمَا حُرِّمَ اسْتِعْمَالُهُ لِأَنَّ جِرْمَ النَّجَاسَةِ بَاقٍ ، فَفِي اسْتِعْمَالِهِ : اسْتِعْمَالُهَا؛ بِخِلَافِ مَا إذَا اسْتَحَالَتْ النَّجَاسَةُ ، فَإِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ وَلَيْسَ هُنَاكَ نَجَاسَةٌ قَائِمَةٌ

Maksudnya: “Lafaz hadis ini umum merangkumi air yang sedikit ataupun banyak. Ia juga umum merangkumi semua najis. Adapun jika air berubah dengan sebab najis, maka hanya ketika itu, air tersebut haram digunakan, kerana jirim najis itu masih ada (di dalam air tersebut). Maka menggunakan air seperti itu bermakna menggunakan najis yang ada di dalamnya. Ini berbeza jika najis itu telah berubah zatnya (telah tiada di dalam air), maka air tersebut suci lagi menyucikan, tiada di dalamnya apa-apa najis yang tinggal.” (Majmu’ al-Fatawa 21/33)

Oleh itu, basuhan saudara adalah sah atau suci, jika najis yang ada pada baju adalah sedikit. Namun jika najis yang ada pada baju adalah banyak, sehingga dapat mengubah bau, atau warna atau rasa air tersebut, maka basuhan saudara tidak sah dan saudara hendaklah membersihkan semula semua baju yang dibasuh bersama najis tersebut.

 

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 56
Semalam 1090
Minggu Ini 1146
Bulan Ini 19042

Keseluruhan 3091335

   Masa Capaian : 0.91 saat    Kemaskini :  09/12/2024