IRSYAD HUKUM SIRI 29
Bacaan Ketika Bangun Dari Rakaat Pertama Dalam Solat Gerhana
Soalan:
Semalam pertama kali saya menunaikan solat gerhana bulan. Soalan saya apakah betul cara imam membaca سمع الله لمن حمده ketika bangun dari rukuk pertama sedangkan selepasnya ia akan membaca sekali lagi al-Fatihah dan surah. Mohon pencerahan dari jabatan mufti.
Jawapan:
Mana-mana imam yang mengucapkan “sami‘allahu liman hamidah” (سمع الله لمن حمده), atau bertakbir ketika bangun dari rukuk pertama dalam solat gerhana tidak perlu ditegur perbuatan tersebut.
Terdapat perbezaan pendapat ulama dalam persoalan ini. Sebahagian ulama ada yang berpandangan bangun dari rukuk pertama dalam solat gerhana bukan iktidal. Justeru bacaan yang sebenarnya adalah dengan melafazkan takbir الله أكبر. al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin, melalui ibarat yang beliau gunakan ketika menerangkan cara menunaikan solat gerhana boleh difahami beliau memegang pandangan ini. Beliau berkata:
فَيُحْرِمُ بِنِيَّةِ صَلاةِ الكُسُوفِ، ويَقْرَأُ الفاتِحَةَ ويَرْكَعُ، ثُمَّ يَرْفَعُ، ثُمَّ يَقْرَأُ الفاتِحَةَ ثُمَّ يَرْكَعُ ثُمَّ يَعْتَدِلُ ثُمَّ يَسْجُدُ
Maksudnya: “Maka seseorang (yang hendak menunaikan solat gerhana itu) bertakbiratul ihram dengan memiliki niat menunaikan solat gerhana, membaca al-Fatihah, rukuk, kemudian bangun, kemudian membaca al-Fatihah, kemudian iktidal, kemudian sujud…”
Penggunaan ibarat “kemudian bangun” untuk bangun dari rukuk yang pertama, boleh memberi faham, al-Nawawi cenderung kepada pandangan yang mengatakan bangun ketika itu bukan untuk iktidal (Lihat Mughniy al-Muhtaj oleh al-Syarbini 1/597), justeru yang lebih layak adalah bertakbir. Manakala ibarat “kemudian iktidal” untuk bangun kali kedua dari rukuk yang kedua dapat memberi faham bangun untuk iktidal, maka bacaan yang lebih layak adalah “sami‘allahu liman hamidah” (سمع الله لمن حمده). Namun perkata ini tidak disepakati oleh semua ulama.
al-Qahtani pula di dalam kitabnya Solah al-Mukmin (3/998) ketika menerangkan cara menunaikan solat gerhana berkata:
٦ - يرفع ويقول سمع الله لمن حمده، ويقول بعد أن يعتدل: ربنا ولك الحمد
٧ - يقرأ الفاتحة وسورة طويلة دون السورة الأولى (٢) بحيث يتميَّز القيام الأول عن القيام الثاني
Maksudnya:
Perkara keenam: Dia bangun dan mengucapkan “sami‘allahu liman hamidah.” Setelah berada dalam kedudukan iktidal membaca: “rabbana wa lakal hamd.”
Perkata ketujuh: Dia membaca al-Fatihah dan surah yang panjang, tidak sepanjang surah pertama (yang dibaca sebelum rukuk), dari sudut dapat dibezakan antara berdiri pertama dengan berdiri kedua.”
Oleh itu, sesiapa yang beramal dengan salah satu dari pandangan ini, dia berada di bawah bimbingan para ulama.
Wallahu a’lam.
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)