• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Puasa Bagi Pesakit Lelah Yang Menggunakan Inhaler

IRSYAD HUKUM SIRI 19

Hukum Puasa Bagi Pesakit Lelah Yang Menggunakan Inhaler

 

Soalan:

Apakah hukum puasa bagi pesakit lelah yang menggunakan inhaler?

Jawapan:

Penggunaan inhaler bagi pesakit lelah tidak membatalkan puasa. Inilah pandangan yang dipilih oleh beberapa tokoh ulama semasa.

Huraian

Para ulama semasa berbeza pandangan tentang penggunaan Inhaler bagi orang yang berpuasa.


Pandangan yang dipilih ialah tidak membatalkan puasa. Inilah pandangan al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdullah bin Baz RH[1], al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH[2], al-Syeikh Dr. yusuf al-Qaradhawi[3], al-Syeikh Dr. Haitham Khayyath[4], al-Syeikh ‘Abdullah al-Bassam[5], al-Syeikh Faisal Maulawi[6], Dr. Ahmad al-Khalil[7],. Pandangan ini juga mewakili pandangan Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi[8].

 

Dalil:

1. Qiyaskan semburan inhaler yang sampai ke dalam rongga dengan baki air yang tinggal di dalam mulut selepas berwudhu dan menyedut air ke dalam hidung. Ulama telah sepakat (ijmak) seorang yang berpuasa dibolehkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu. Di mana dari perbuatan berkumur, sudah pasti terdapat saki-baki air yang masih berada di dalam mulut, seterusnya akan ditelan bersama air liur dan masuk ke dalam perut. Sama keadaannya dengan semburan inhaler akan akan masuk ke dalam rongga pernafasan, seterunya masuk ke dalam perut dalam jumlah yang lebih sedikit.



Penjelasan:

1. Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar 0.05 ml cecair yang mengandungi ubat, ia kurang dari satu titisan. Ia menyamai 1/75 bahagian cecair di dalam satu sudu teh kecil[9] yang boleh menampung air sebanyak lebih kurang 5 ml. Kuantiti cecair berubat yang amat sedikit ini pula, bahagian terbanyak akan masuk ke anggota pernafasan, sebahagian lagi akan kekal di dinding kerongkong dan baki bahagian yang amat sedikit akan turun ke dalam perut. Jumlah yang amat sedikit ini termasuk perkara yang dimaafkan dengan dikiaskan kepada air yang berbaki selepas berkumur dan menyedut air ke hidung ketika berwudhu. Bahkan air yang berbaki dari berkumur dan menghisap air ke hidung ketika berwudhu itu lebih banyak jika dibandingkan dengan air yang berbaki dari semburan inhaler.


2. Masuknya sesuatu ke dalam perut hasil dari penggunaan inhaler bukan sesuatu yang pasti, sebaliknya ia sekadar sangkaan, barangkali ia masuk ke dalam perut dan barangkali juga tidak, kerana kadar cecair yang digunakan terlalu sedikit. Oleh kerana itu puasa orang yang menggunakan inhaler dikira SAH dan TIDAK batal berdasarkan kaedah yang menyebut: “Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”


3. Penggunaan inhaler tidak menyamai makan dan minum.


4. Para Doktor mengesahkan bahawa siwak mengandungi 8 jenis bahan kimia yang berperanan membersihkan gigi dan kotoran yang penyebab sakit. Dan unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan akan masuk ke dalam tekak. Sedangkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari menunjukkan Nabi s.a.w. sentiasa bersiwak ketika berpuasa. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. bersiwak ketika baginda berpuasa, dalam kekerapan yang tidak boleh dihitung.” (H.R. al-Bukhari secara ta’lik di dalam Bab Siwak)


Oleh itu, unsur kimia yang masuk ke dalam badan ketika bersiwak termasuk perkara yang dimaafkan disebabkan jumlah yang sedikit dan tidak dimaksudkan. Maka penggunaan inhaler juga adalah termasuk dalam perkara yang sama.

__________________________ 

[1] Ibn Baz, ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdillah, Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah, Riyadh, Ri-asah Idarah al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, cetakan kedua 1420H, jld: 15, hal: 265

[2] al-‘Uthaimin, Muhammad bin Saleh, Majmu’ Fatawa wa Rasa-il al-Syeikh al-‘Uthaimin, jld: 19, hal: 210

[3] Laman rasmi fatwa al-Syeikh Yusuf al-Qaradhawi www.qaradawi.net. Dilihat pada 7/32010M.

[4] al-Khayyath, Muhammad Haitham, al-Mufatthirat Fi Dhau’ al-Tibb al-Hadith, Majjalah Majma’ al-Fiqh al-Islamiy, bil: 10, jld: 2, hal: 287

[5] Al-Bassam, ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, Makkah al-Mukarramah: Maktabah al-Nahdhah al-Hadithah, cetakan kedua 1414H/1994M, jld: 3, hal: 171.

[6] Laman rasmi al-Syeikh Faisal Maulawi www.mawlawi.net. Dilihat pada 7/3/2010. Beliau adalah Tim. Pengerusi Majlis Fatwa Eropah.

[7] al-Khalil, Ahmad bin Muhammad, Mufattirat al-Siyam al-Mu‘asirah, al-Dammam: Dar Ibn al-Jauzi li al-Nasyr wa al-Tauzi’, cetakan pertama 1425H/2005M, hal: 33.

[8] Lihat ‘Abd al-Muhsin, ‘Abd al-‘Azizi bin Fahd, Jami’ al-Fatawa al-Tibbiyyah wa al-Ahkam al-Muta‘alliqah Biha, Riyadh, Dar al-Qasim, cetakan pertama 1425H/2004M, hal: 136.

[9] Lihat al-Mufattirat al-Tibbiyyah al-Mu‘asirah, Dr. ‘Abd al-Razzaq bin Abdillah bin Ghalib al-Kindi, Riyadh, Dar al-Haqiqah al-Kauniyyah Li al-Nasyr wa al-Tauzi’, cetakan pertama 1435H/2014M 164

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1183
Semalam 982
Minggu Ini 3255
Bulan Ini 21151

Keseluruhan 3093444

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  09/12/2024