IRSYAD HUKUM SIRI 14
Hukum Status Hadith Jarir Tentang Menyediakan Makan Bukan Jamuan
Soalan:
كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ
Adakah perkataan di atas merupakan hadis daripada Nabi Muhammad SAW atau perkataan Jarir r.a sendiri?
Jawapan:
: الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده..وبعد
1- Terdapat hadith yang berbeza-beza lafaz yang menyebut perkara ini, teks dari soalan yang diajukan merupakan ucapan Jarir bin Abdullah al-Bajali a., hadith tersebut ialah:
."عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَجَلِيِّ ، قَالَ: "كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَة
Ertinya: Daripada Jarir bin Abdillah al-Bajali r.a, beliau berkata: “Kami menganggap orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumiannya adalah satu bentuk dari meratapi kematian.” Hadith riwayat Imam Ahmad (sahih menurut Syu’aib al-Arna’uth)
2- Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sedikit perbezaan lafaz seperti berikut:
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَجَلِيِّ ، قَالَ: كنَّا نرى الاجتماعَ إلى أَهلِ الميِّتِ وصَنعةَ الطَّعامِ منَ النِّياحَة
Ertinya: Daripada Jarir bin Abdillah al-Bajali r.a, beliau berkata: “Kami berpandangan orang ramai berhimpun untuk keluarga si mati dan memyediakan makanan adalah satu bentuk meratapi kematian.” (sahih menurut Nasiruddin al-Albani)
3- Status hadith ini disahihkan oleh kebanyakan pentahqiq hadith, termasuk yang mensahihkannya al-Imam An-Nawawi tokoh bermazhab Syafie didalam kitabnya al-Majmuk Syarh al-Muhazzab
4- Lafaz-lafaz yang terdapat didalam hadith seperti;
i- كنا (kami dahulu..)
ii- أمرنا (kami diperintahkan..)
iii- نهينا (kami ditegah..)
iv- من السنة (diantara Sunnah..)
bermaksud ianya adalah hadith yang kategorinya mawquf (sesuatu lafaz hadith yang disandarkan kepada sahabat), namun hukumnya dikira sebagai marfu’ (tsabit disandarkan kepada Rasulullah SAW)
5- Menurut pandangan al-Sindi r.h ketika memberi ulasan terhadap hadith riwayat Ibnu Majah, beliau berkata: perkataan (كُنَّا نَرَى الِاجْتِمَاعَ...) “kami menganggap berhimpun..” mempunyai dua keadaan:
i- Menunjukkan telah berlaku ijma’ (kesepakatan) dikalangan para sahabat, atau pengakuan (تقرير) daripada Nabi SAW.
ii- Athar tersebut walaupun ia ucapan Jarir r.a, tetapi ia membawa maksud marfu’ secara hukum. (Syarah Sunan Ibnu Majah oleh al-Harari jilid 9 m/s 427).
6- Maka dalam situasi ini, antara sunnah Nabi SAW ketika berlaku kematian ialah, jiran tetangga hendaklah berusaha meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga si mati, antaranya dengan memberikan makanan kepada mereka, hal ini badasarkan Sabada Nabi SAW kepada para sahabat r.a:
"اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا، فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ." أَو " أَمْرٌ يَشْغَلُهُمْ"
Ertinya: “Buatlah (hidangkan) makanan untuk keluarga Ja’far, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka apa yang menyusahkan mereka atau perkara yang menyibukkan mereka”. [HR: Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh Syuaib al-Arna’uth]
7- Oleh itu Imam al-Syafi’i r.h berkata didalam kitab al-Umm:
وأحب لجيران الميت أو ذي قرابته أن يعملوا لأهل الميت في يوم يموت، وليلته طعاما يشبعهم فإن ذلك سنة، وذكر كريم، وهو من فعل أهل الخير قبلنا، وبعدنا...
Ertinya: “Aku suka bagi jiran tetangga si mati atau keluarganya yang terdekat agar menyediakan makanan pada hari kematian dan sebelah malamnya hingga mereka kenyang(cukup), sebab itu merupakan sunnah, tanda ingatan yang mulia dan termasuk perbuatan orang-orang yang baik sebelum kita serta sesudah kita.” [al-Umm: 1/317]
Kesimpulan:
- Hadith tersebut merupakan nas yang sahih dan tsabit hukumnya sampai kepada Rasulullah SAW serta boleh dijadikan hujjah.
- Fiqh dari hadith tersebut juga menyebut berhimpun dan menyediakan makanan selepas kematian/pengebumian adalah perkara yang ditegah dan dianggap sebagai meratapi kematian.
- Sunnah menganjurkan kepada kita agar jiran tetangga & keluarga terdekat menyediakan makanan kepada keluarga si mati.
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)