IRSYAD HUKUM SIRI 7
MEMBUNUH BINATANG YANG MEROSAKKAN TANAMAN
Soalan : Bolehkah membunuh binatang yang merosakkan tanaman?
Jawapan :
الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، أما بعد:
- Terdapat hadis yang menyebutkan berkenaan keharusan membunuh binatang yang ‘fasiq’. Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim :
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ
Maksudnya: Lima haiwan ‘fasiq’ yang boleh dibunuh di Tanah Haram iaitu; tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, anjing liar atau gila
- Gelaran ‘fasiq’ pada haiwan merupakan satu bentuk perumpamaan (isti’arah) Rasulullah SAW kepada aspek kerosakan dan kemudaratan yang mampu diakibatkan haiwan tertentu pada manusia. Secara umumnya, ia merujuk kepada kelompok haiwan yang lazimnya sering menganggu manusia. Ini berkait rapat dengan faktor utama gelaran ‘fasiq’ iaitu “mengganggu”, “mendatangkan mudarat” dan “melampaui batas” haiwan-haiwan tertentu kepada manusia.
- Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini memberi ulasan bahawa lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk i'tibar (contoh) dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat lain. (Ibnu Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Rayyan Li at-Turath, 1986M/1407H, jil 4, ms.44)
- Maka haiwan yang memiliki ciri seperti membuat kerosakan dan melampau batas, melakukan kekotoran, membawa penyakit, mencuri dan merosakkan tanaman manusia, mengancam haiwan ternakan manusia dan lain-lain termasuk dalam keharusan untuk dibunuh.
- Namun syariat tetap mengajar kita berkaitan adab apabila membunuh sesuatu. Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sebuah hadis riwayat al-Imam Muslim:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: Allah SWT telah menetapkan ihsan pada setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka perelokkanlah bunuhan tersebut. Sekiranya kamu menyembelih haiwan maka perelokkanlah sembelihan tersebut dan setiap dari kalian perlu menajamkan pisau dan berikan kerehatan pada sembelihan (bagi mengurangkan kesakitan).
- Yang dimaksudkan sebagai ihsan itu ialah tidak menyiksa sebelum membunuh dan memilih kaedah paling cepat yang boleh mematikan haiwan tersebut.
- Kesimpulan ; Harus membunuh haiwan yang secara jelas telah melakukan kerosakan pada tanaman / kebun dan membawa bahaya kepada manusia.
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)