Soalan:
Saya ada Soalan Berkaitan Kelayakan Solat Jamak Dan Qasar. Saya merupakan anggota TLDM yang berkhidmat di kapal yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. Kawasan operasi kami adalah di Laut China Selatan. Namun, baru-baru ini kami diarahkan memasuki Pangkalan TLDM Lumut Perak mulai 8 hingga 14hb pagi. Di Lumut, kami akan membuat perancangan operasi dan mesyuarat. Walau bagaimanapun, saya akan bermalam di beberapa tempat berbeza seperti di Sitiawan dan Teluk Intan. Cumanya di waktu siang, saya akan bekerja di Lumut. Adakah saya masih layak untuk melaksanakan qasar dan jamak sepanjang tempoh berada di Lumut tersebut? Terima kasih.
Jawapan:
Anda masih layak melaksanakan solat secara jamak dan qasar sepanjang operasi tersebut. Operasi yang memerlukan anda bergerak antara Lumut ke Setiawan (11-13 KM) dan Teluk Intan (Lumut – Teluk Intan: 68-72km / Setiawan – Teluk Intan: 55-62km) menunjukkan anda bukan seorang yang bermukim di salah satu tempat tersebut. Keadaan anda yang perlu bermalam di tempat-tempat yang berbeza sepanjang operasi menunjukkan anda masih seorang yang bermusafir. Oleh itu, anda tidak perlu berniat untuk menetap di mana-mana tempat yang disinggah, sebaliknya anda adalah seorang yang bermusafir selama operasi tersebut.