Soalan:
Bolehkah seorang lelaki berkahwin dengan anak perempuan bekas isterinya yang dilahirkan daripada lelaki lain?
Contohnya; Ahmad berkahwin dengan Laila, kemudian menceraikannya. Selepas itu Laila berkahwin dengan lelaki lain lalu melahirkan Sarah. Adakah Ahmad boleh berkahwin dengan Sarah?
Jawapan:
Tidak boleh seorang lelaki mengahwini anak perempuan bekas isterinya yang telah disetubuhinya yang lahir dari benih lelaki lain. Ini sama ada anak tiri tersebut lahir sebelum atau sesudah berlakunya perkahwinan dan persetubuhan dengan ibunya.
Jika seseroang lelaki mengahwini seorang wanita dan melakukan hubungan persetubuhan dengan wanita tersebut, maka anak-anak wanita tersebut yang dilahirkan dari hubungan suami selepasnya dikira sebagai anak tirinya, dan mereka adalah mahramnya. Ini berdasarkan firman Allah dalam menerangkan perempuan-perempuan yang haram dikahwini, antaranya:
وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ
“Dan anak-anak tiri perempuan kamu yang berada dalam pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri kamu yang telah kamu setubuhi; tetapi jika kamu belum setubuhi mereka (wanita yang kamu kahwini), maka tidak berdosa kamu mengahwini mereka (anak-anak tiri).” (An-Nisā’: 23).
Ungkapan: اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ, di mana دَخَلْتُمْ dari kalimah al-Dukhul memaksudkan persetubuhan.
Adapun potongan firman Allah yang bermaksud: “anak-anak tiri perempuan kamu yang berada dalam pemeliharaan kamu” itu hanyalah sifat kebiasaan, bukan satu syarat, menurut pendapat paling sahih di kalangan para ulama. Ini kerana, pada kebiasaannya anak-anak tiri berada di bawah jagaan ibunya, sekaligus akan tinggal bersama suami baru ibunya.
Maka ayat ini menyebut: “anak-anak tiri perempuan kamu yang berada dalam pemeliharaan kamu”. Ini juga secara halus memberikan isyarat galakan kepada suami baru agar mengambil berat menjaga anak-anak isterinya sekalipun dengan suami yang lain sebelum perkahwinannya. Namun bukanlah menjadi syarat untuk anak tiri menjadi mahram dengan bapa tiri, mesti berada di bawah peliharaan bapa tirinya. Kerana itu, Allah berfirman berikutnya: “jika kamu belum mencampuri mereka (isteri yang dinikahi), maka tidak berdosa atas kamu mengahwini mereka (anak-anak tiri perempuan)” dan Allah SWT tidak mengulangi lafaz “yang berada dalam pemeliharaan kamu.”
Kata al-Syaikh Ibn ‘Uthaimin RH:
فروع الزوجة على الزوج، وهنا لا بد من الدخول، فإذا حصل دخول فبناتها من زوج قبله، أو بعده حرام عليه تحريمًا مؤبدًا
Maksudnya: “(Termasuk dalam wanita yang diharamkan) Furu’ isteri (anak, cucu cicit isteri dan seterusnya) ke atas suaminya. Dalam hal ini, mestilah telah berlaku persetubuhan (الدخول). Maka, jika telah berlaku persetubuhan, maka anak-anak perempuan isteri itu, sama ada daripada suami sebelumnya atau selepasnya adalah haram (mahram) selama-lamanya ke atas suami tersebut.” (al-Syarḥ al-Mumti’ ‘alā Zād al-Mustaqni‘, jil. 12, hlm. 128 oleh Ibn ‘Uthaymīn (w. 1421H)