Soalan:
Nak pergi Mekah guna visa tourist. Bolehkah saya turun Jeddah pergi jalan-jalan dulu tanpa pakai ihram, selepas itu baru pergi Mekah untuk melaksanakan umrah dua hari selepas itu.
Jawapan:
Dibenarkan bagi sesiapa yang bermusafir ke Mekah dengan niat hendak melaksanakan Umrah, melepasi Miqat tanpa berihram untuk menunaikan beberapa hajatnya terlebih dahulu. Namun wajib ke atasnya kembali ke Miqat asal yang dilaluinya untuk berihram sebelum melaksanakan ibadah Umrah.
Pernah ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Saleh al-‘Uthaimin RH berkaitan orang yang merancang melepasi miqat dalam keadaan dia memiliki niat untuk menunaikan Umrah, tetapi dia tidak mahu terus berniat ihram kerana dia memilih untuk pergi berehat di rumah saudara-maranya terlebih dahulu. Setelah beberapa hari barulah dia kembali ke miqat untuk berniat ihram. Jawapan daripada beliau:
الأفضل ألا يتجاوز الميقات حتى يحرم، ويمكنه أن يستريح عند أقاربه وهو محرم، والناس لا يرون في هذا بأسًا، ولا خجلًا، ولا حياء، لكن لو فعل، وقال: سأذهب أستريح الآن، وأرجع إلى الميقات وأحرم منه؛ فلا حرج. السائل: تكون مدة أسبوع؟ الشيخ: ما هناك مانع أبدًا، المهم أنه يتجاوز الميقات، ونيته أن يرجع، ويحرم منه. السائل: يلزمه أن يرجع إلى الميقات الذي تجاوزه. الشيخ: يلزمه أن يرجع إلى الميقات الذي تجاوزه. السائل: بعد أم قرب؟ الشيخ: سواء بعد أم قرب
Maksudnya: "Suatu yang lebih baik ialah seseorang itu tidak melepasi miqat melainkan dia berniat ihram. Dia boleh berehat di rumah saudara-maranya dalam keadaan berihram, dan orang ramai tidak memandang perkara ini sebagai suatu masalah, rasa malu, atau suatu yang ada kekangan. Namun, jika dia tidak berihram di Miqat dan berkata: “Saya akan pergi berehat terlebih dahulu, setelah itu saya akan kembali semula ke miqat untuk berniat ihram, maka itu juga tiada masalah.” Penyoal bertanya pula: “Jika tempohnya selama seminggu?” Sheikh menjawab: “Tiada sebarang masalah sama sekali, yang penting dia melepasi miqat dengan niat untuk kembali dan berniat ihram dari situ. Penyoal bertanya lagi: “Adakah wajib dia kembali ke miqat yang dia lalui (ketika memasuki Mekah?” Sheikh menjawab: “Wajib dia kembali ke miqat yang dia lalui ketika memasuki Mekah.” Penyoal bertanya lagi: “Sama ada jarak jauh atau dekat?” Sheikh menjawab: “Sama sahaja, sama ada jauh atau dekat.” (Dari majlis Liqa’ al-Bab al-Maftuh. Jawapan yang sama juga terdapat dalam Majmu’ Fatawa Wa Rasa’il al-‘Uthaimin 21/372)