KEINDAHAN CIPTAAN DAN KECANTIKAN BAHASA DALAM PEMBINAAN INSAN
Prof Dr MAZA
Keindahan dan kecantikan adalah perkara yang disukai oleh fitrah insan. Insan yang waras jiwa dan nuraninya dengan mudah akan tertarik dengan keindahan dan kecantikan. Hal itu tidak perlu diajar atau diberitahu kepadanya. Ia satu sifat yang telah Allah cipta dalam diri setiap insan. Ia sama seperti perasaan kasih seorang ibu kepada anaknya. Tidak perlu hal itu diajarkan kepada seorang ibu. Jika ada ibu yang menzalimi dan kejam kepada anaknya, dia seorang ibu yang telah songsang fitrahnya. Demikianlah keindahan dan kecantikan. Jika ada insan yang tidak tertarik dan tidak suka dengan kecantikan dan keindahan, dia seorang yang telah songsang fitrahnya.
Allah itu dalam ajaran Islam merupakan Tuhan yang Maha Cantik atau Indah. DIA pula menyukai kecantikan dan keindahan. Sabda Nabi s.a.w:
إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
“Sesungguhnya ALLAH itu cantik dan menyukai kecantikan”
(Riwayat Muslim: Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab Tahrim al-Kibr wa Bayanihi).
Dalam hadis ini, digunakan perkataan jamil dan jamal, yang bermaksud cantik dan kecantikan, atau indah dan keindahan.
Maka, Tuhan yang Maha Cantik dan Indah itu juga telah berfirman:
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ
(maksudnya) “Sesungguhnya Kami telah menciptakan insan dalam sebaik-baik bentuk” (Surah al-Tin ayat 4).
Manusia merupakan ciptaan yang sebaik-baiknya. Pastinya, makhluk yang sebaik-baik rupa bentuk ini akan mencintai perkara-perkara yang cantik dan indah selaras dengan sifat dirinya. Dalam dirinya telah dibekalkan fitrah mencintai keindahan dan kecantikan.
Seterusnya, menyukai keindahan atau kecantikan itu bukan sahaja sesuai dengan sifat manusia yang ALLAH telah ciptakan, bahkan cantik dan indah itu juga merupakan sifat Tuhan Yang Maha Sempurna itu sendiri. Lantaran itu, kita terus menyaksikan insan berlumba untuk menikmati kecantikan dan keindahan dalam hidup mereka. Bahasa dan ajaran yang cantik akan menarik perasaan insan yang hidup atas fitrah keinsanannya. Ini kerana hal yang demikian telah ALLAH letakkan dalam diri insan. Malangnya, kadang-kala insan terbabas dalam menggunakan kecantikan dan keindahan, atau tersalah dalam memberikan denifinasi yang sepatutnya untuk maksud keindahan dan kecantikan.
Antara tanda kebesaran ALLAH adalah penciptaan alam yang penuh keindahan. Gabungan pelbagai bentuk, warna, tabiat, sifat dan fungsi menjadikan susunan alam itu begitu indah dan cantik. Allah itu menghiasi langit dan bumi dengan keindahan. Keindahan itu dapat dilihat oleh mata dan dapat diukirkan dalam bahasa. Walau bagaimanapun, melihat sudah pasti tidak sama dengan mendengar dan mendengar tidak sama dengan melihat. Kedua-dua deria itu mempunyai kekuatan masing-masing dalam memberikan zauq atau rasa berhubung dengan keindahan dan kecantikan. Justeru, alam yang indah ciptaan ALLAH ini dijadikan sebagai ayat (tanda) yang mampu disaksikan oleh mata, kemudian diiringi dengan al-Quran sebagai ayat yang dirasai oleh jiwa. Tidak hanya ALLAH menciptakan alam yang indah sebagai ayat-ayatNYA yang dapat dilihat (manzurah), ALLAH juga menggambarkan keindahan itu dalam ayat-ayat yang dibaca (maqruah). Ayat-ayat seperti itu begitu banyak dalam al-Quran, antaranya firman ALLAH:
وَلَقَدۡ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنۡيَا بِمَصَٰبِيحَ
(maksudnya) “Dan demi sesungguhnya Kami telah menghiasi langit dengan lampu-lampu (bintang-bintang)…” (Surah al-Mulk ayat 5).
Pada beberapa ayat dalam al-Quran, ALLAH memberitahu bahawa DIA menghiasi langit. Pastinya, hiasan untuk dilihat oleh mata. Nikmat melihat tidak sama dengan nikmat mendengar. Jika digabungkan, maka bertambahlah kekuatannya. Sementara itu, keindahan yang dilihat oleh mata kadang-kala gagal untuk mengetuk pintu akal dan jiwa insan melainkan setelah dinukilkan ke dalam bahasa yang tersusun indah. Maka, al-Quran dengan keindahan bahasa Arabnya mengajak manusia merenung keindahan dan kecantikan yang dilihat oleh mata agar meresap ke dalam jiwa. Sering berlaku keindahan alam dan iktibarnya hanya dapat dikesan oleh mata setelah diingatkan dalam susunan kata dan bahasa. Dengan itu al-Quran menyuruh manusia memikirkan apa yang dilihat oleh mata, agar penglihatan itu dapat membuka minda. Antaranya, firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 164:
إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ
(maksudnya) “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; benar-benar itu tanda-tanda bagi kaum yang memikirkan”.
Peranan Bahasa Yang Indah
Demikianlah peranan keindahan bahasa iaitu mengajak minda bergerak dan tersentuh dengan apa yang disaksikan oleh mata. Maka, bahasa yang indah sangat berperanan untuk menghidupkan akal dan jiwa. Tidak semestinya semua insan yang dapat melihat itu dapat merasa makna di sebalik apa yang dia lihat. Dari situ kita tahu peranan ahli-ahli bahasa dan sastera dalam mengungkap dan membangkitkan kesedaran agar manusia mengambil iktibar apa yang mereka telah saksikan. Tidak berpada sekadar membiarkan manusia bergantung kepada mata tanpa diketuk oleh bahasa yang berkesan. Susunan kata sasterawan dan pujangga mampu menyedarkan manusia apa yang mereka lupa atau terlena dari memikirkannya, sekalipun telah melihatnya.
Dengan itu mengupayakan kekuatan bahasa dalam kalangan rakyat adalah merupakan langkah yang penting dalam memastikan kewarasan atau membangkitkan kesedaran mereka menilai setiap perkara. Masyarakat yang lemah upaya dalam merasai nikmat bahasa akan menjadi masyarakat yang keras jiwa dan kontang perasaan. Al-Quran hadir pada zaman jahiliyyah yang masyarakatnya penuh dengan kebobrokan hidup. Namun, oleh kerana kekuatan dan keupayaan menghayati bahasa Arab yang mereka miliki, maka ramai kalangan mereka menerima Islam kerana tersentuh dengan keindahan bahasa al-Quran.
Maka usaha menjadikan sesuatu masyarakat itu berupaya memahami dan menghayati keindahan bahasa merupakan usaha mendekat manusia kepada fitrah asal mereka yang mencintai kecantikan dan keindahan. Dengan fitrah itu, jika mereka dibimbing, mereka akan menemui keindahan Tuhan dan segala penciptaanNYA. Perjuangan sastera dan bahasa, jika berupaya menghidupkan unsur dan nilai keindahan dalam jiwa insan yang membawa kepada menghargai dan menginsafi alam yang disaksikan, maka itu sebahagian dari perjuangan dakwah Islamiyyah.