Bacaan Surah Yasin Untuk Hajat?
Soalan: Adakah terdapat hadis yang sahih bahawa fadilat Surah Yasin dapat menunaikan hajat seseorang?
Jawapan Prof Dr MAZA:
1. Surah Yasin merupakan salah satu surah dalam al-Quran yang mulia. Namun, hadis-hadis fadilat Surah Yaasin kebanyakannya palsu dan sangat daif. Pun begitu, terdapat juga hadis berkaitan fadilat Surah Yasin yang daifnya ringan. Daif yang ringan bererti boleh dibaca sebagai galakan (targhib) tanpa menyandarkannya secara putus kepada Rasulullah s.a.w. Maka, sesiapa yang membaca hadis-hadis ini di khalayak, hendaklah mengetahui dan memaklumkan statusnya di sisi ulama hadis.
2. Hadis yang menyatakan:
يس لِما قُرِئَتْ لَهُ
“Yasin itu (menunaikan hajat) apa yang dibaca untuknya” adalah tidak sabit daripada Nabi s.a.w. Hadis itu tiada sumber asal dan dihukum palsu orang ulama hadis. (lihat: Al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, 741. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi / al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, m.s 388. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
3. Namun, itu tidak menafikan bahawa sebagai salah satu Surah al-Quran sudah pasti Surah Yasin ada kebaikan dan pahala apabila seseorang membacanya. Membaca al-Quran, surah apa sekalipun termasuk dalam amalan soleh dan amalan soleh boleh dijadikan perantara kemustajaban doa.
4. Bahkan dalam kalangan para ulama seperti al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H), demikian al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) yang menyatakan hadis tersebut tiada sumber sahih, begitu juga al-‘Ajluni (meninggal 1162H), dan lain-lain menyebut pengalaman mereka yang membaca Surah Yasiin lalu menyaksikan kemustajaban doa. Al-Imam Ibn Kathir menukilkan perkataan sebahagian ahli ilmu yang menyatakan bahawa Surah Yasin jika dibacakan kepada perkara yang sukar akan dimudahkan. Seakan bacaan Surah Yasin pada yang hampir mati menyebabkan turun rahmat dan barakah, serta dimudahkan keluarnya roh . (lihat: Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, 11/343. Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub). Bahkan dalam Kasyf al-Khafaa, al-‘Ajluni menyebut perkataan-perkataan salafussoleh yang mengaitkan surah ini dengan kemustajaban doa. Ini semua memberi isyarat kewujudan kelebihan surah tersebut.
5. Walaupun pengalaman keberkesanan (mujarrabah) itu semua bukanlah hujah dan bukan termasuk dalam kaedah penguat kepada hadis yang lemah, namun tidaklah salah seseorang membaca surah tertentu dalam al-Quran seperti Surah Yasin atau selainnya lalu memohon hajat daripada Allah setelah membacanya. Ini kerana membaca al-Quran dan kemudian memohon doa kepada Allah bukanlah bid’ah kerana terdapat dalil dalam hal itu. Apa yang penting kita tidak menetapkan kaifiat khusus atas nama syariat seperti cara yang khusus dan waktu yang khusus. Jika seseorang membaca Surah Yasin atas pilihan dirinya pada bila-bila masa yang dia pilih dengan mengharapkan kemustajaban doa tanpa mengaitkan itu sebagai satu ketetapan agama, maka hal itu dibolehkan. Bahkan hal itu diriwayatkan pernah diamalkan oleh salafussoleh.