BAGAIMANAKAH MUKMIN MENGHADAPI UJIAN PENYAKIT?
- Islam adalah agama yang diutuskan oleh Allah untuk kemaslahatan manusia. Ia adalah panduan dan ketetapan demi kebaikan manusia semata. Ia adalah ajaran Allah bagi menyelesaikan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh manusia dalam berbagai sudut. Ajarannya mengandungi kepercayaan lurus yang wajib dipasakkan dalam jiwa insan, juga mengandungi tindakan tepat dalam kehidupan. Dalam ertikata lain, Islam memandu jiwa insan, demikian ia juga memandu amalan dan tindakannya.
Fahami Dahulu Konsep Usaha - Kebahagiaan hidup insan itu bergantung kepada jiwa yang baik, juga kebendaan yang mencukupi. Maka Islam memerintah insan beriman bahawa rezeki adalah kurniaan Allah, di samping dia mesti berusaha mencapai kurniaan itu melalui peraturan yang Allah tetapkan untuk alam ini. Berkerja, berusaha dan berpenat lelah untuk mendapatkan rezeki diperintah oleh Allah. Insan tidak dibenarkan duduk berdoa menunggu rezeki datang tanpa berusaha. Namun, jika dia sudah berusaha tetapi tidak berjaya disebabkan faktor-faktor yang berlaku di alam ini, maka kegagalan itu bukan lagi kesalahannya. Dia diberikan pahala atas segala usaha dan kesungguhannya, sekalipun tidak berjaya. Bahkan dia diberikan ganjaran pahala yang lebih atas redha dan kesabarannya. Hendaklah dia beriman bahawa Allah boleh mendatangkan rezeki kepadanya dengan berbagai cara, sekalipun tanpa usaha daripadanya. Namun usaha adalah perintah Allah. Walaupun usaha bukan faktor segalanya, namun ia adalah salah satu sebab yang Allah letakkan di alam ini untuk rezeki diberikan kepada seseorang hamba.
- Kegagalan usaha adalah ujian Allah yang biasanya berlaku disebabkan sistem atau perjalanan alam yang Allah tetapkan juga. Ini seperti kemarau, hujan, kezaliman, persaingan hamba-hamba Allah yang lain dan seumpamanya. Allah tidak menzalimi hambanya, namun dunia ini bukan dihuni oleh cuma seorang, tetapi berkongsi dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Juga dunia ini ada sistem yang berjalan seperti hujan, panas, kematian, kehidupan, malam, siang, tua, sakit dan seumpamanya yang tidak boleh diubah melainkan dengan kehendak Allah semata. Maka insan hendaklah sedar, ketika dia berusaha, dia sebenarnya menunaikan perintah Allah dan merupakan amal ibadah buatnya di akhirat. Jika dia gagal, bukan bererti Allah menzaliminya tetapi dia adalah makhluk yang terpaksa tunduk kepada perjalanan alam yang Allah ciptakan. Kekerdilan insan tidak mungkin membolehkan dia mengatasi segala cabaran alam dengan sekadar usaha semata, maka di situ dia disuruh bertawakkal dan berdoa. Hanya Allah yang Maha Berkuasa boleh mengubah perkara yang lazim bagi alam. Jika setelah berdoa dia tetap diuji, bererti dia mesti terus berusaha sementara Allah tetap memberi pahala kepadanya. Dengan itu dia telah menggabungkan iktikad dan tindakan. Menyebabkan dia cuba mematuhi tuntutan alam yang Allah tetapkan, dalam masa yang sama jiwanya bergantung kepada Allah.
Wabak Dan Penyakit - Memahami konsep ini adalah penting dalam kehidupan muslim agar betul iman dan tindakan. Dalam menghadapi bahaya yang mengancam; Islam melarang manusia memusnahkan diri mereka secara sia-sia. Diharamkan membunuh diri sendiri atau orang lain, mencederakan diri atau orang lain. Semua itu dilarang melainkan dengan sebab yang sah seperti perang, bunuh balas, hukuman dan seumpamanya. Firman Allah:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ
(maksudnya) “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
FirmanNya juga:
وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
“jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu” (Surah al-Nisa, ayat 29). - Dalam ertikata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam. Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi s.a.w ketika berbicara tentang taun menyebut:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengajar tentang tindakan ‘quarantine’ agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). - Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi s.a.w:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya…Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”. Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka.” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Jika Tiada Pilihan - Jika segala langkah telah diambil, namun penyakit atau wabak terkena juga sehingga mungkin membawa maut, maka ketika itu keadaan berada di luar dari penguasaan insan. Bukan semestinya tanda seseorang itu bersalah atau dibenci oleh Allah. Ini sama seperti seseorang yang memandu kenderaan dengan cermat dan mematuhi undang-undang, namun tiba-tiba pihak lain melanggarnya, atau keretanya rosak dengan tiba-tiba, sudah pasti dia tidak dipersalahkan. Juga dia terpaksa menerima hakikat bahawa bukan dia seorang pengguna jalanraya. Sikap cermat adalah satu faktor keselamatan, tetapi bukan segalanya. Namun apa yang dia mampu usaha hanyalah faktor tersebut, yang lain diluar bidang usahanya. Demikian insan dan penyakit. Justeru itu, jika segala usaha telah dibuat untuk mengelakkannya, namun wabak dan penyakit menimpa juga, maka Nabi s.a.w pernah bersabda:
مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ ». قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ قُتِلَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ قَالَ « إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِى إِذًا لَقَلِيلٌ ». قَالُوا فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ « مَنْ قُتِلَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِى الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِى الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Siapakah yang kamu hitung sebagai syahid dalam kalangan kamu?”. Jawab para sahabat: “Wahai Rasulullah! Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid”. Jawab baginda: “Kalau begitu, para syuhada umatku sedikit”. Tanya mereka: “Siapakah mereka (syuhada) wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Sesiapa yang mati pada jalan Allah maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan taun maka dia syahid, sesiapa yang mati disebabkan sakit perut maka dia syahid” (Riwayat Muslim). - Dengan itu Islam cuba mengatasi bahaya kehidupan di dunia, dan dalam masa yang sama memberikan jaminan kehidupan di akhirat. Di sudut lain, Islam memberikan keselamatan kepada jasad, dan kerehatan kepada jiwa jika jasad gagal diselamatkan. Justeru insan muslim akan berusaha menyelamatkan diri dari bahaya penyakit, dan akan redha kepada Allah jika gagal.