• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

ICERD: Antara Prinsip dan Realiti

ICERD: ANTARA PRINSIP DAN REALITI

(artikel ini ditulis pada 2018 mengenai isu ICERD yang panas ketika itu)

Prof Dato’ Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

 

Isu ICERD (International Convention on the Eliminate of All Forms of Racial Discrimination) telah menjadi isu negara. Konvensyen Antarabangsa ini sebenarnya telah berfungsi sejak Januari 1969 lagi. Hampir seluruh negara di dunia ini meratifikasikannya. Malaysia, antara negara yang belum. Apabila cadangan meratifikasikan ICERD dibawa ke negara ini, pelbagai pihak dalam kalangan Umat Islam di negara ini telah memberikan pandangan mereka. Di sini, saya boleh simpulkan sekurang-kurang ada tiga kelompok yang mengeluarkan pandangan dalam hal ini;

i. Ada pihak yang melihat Malaysia wajar meratifikasikan ICERD seperti yang telah dilakukan oleh majoriti negara dalam dunia, termasuk semua negara Umat Islam kecuali Brunei. Hujah mereka dikukuhkan dengan menyokong inti kandungan konvensyen berkenaan yang dilihat selaras dengan kemanusiaan dan Islam. Prinsip dan semangat ICERD itu dilihat amat selaras dengan nas-nas yang ada dalam ajaran Islam.

ii. Di sana terdapat pandangan yang melihat dalam konteks Malaysia, ICERD akan memberikan kesan yang tidak baik kepada Kaum Bumiputera dan Umat Islam di negara ini. Alasan-alasan sejarah dan persekitaran yang berbeza dikemukakan. Menurut pandangan ini, persoalan latar realiti dan sejarah Tanah Melayu hendaklah difahami terlebih dahulu.

iii. Di samping itu, ramai pula yang mengulas ICERD tanpa mengetahui apakah itu ICERD. Apa yang mereka ulas ialah ICERD agenda Yahudi dan Barat untuk menghancurkan Islam. Mereka menyatakan ia bertentangan dengan Islam tanpa mereka terlebih dahulu mengetahui apakah itu ICERD. Juga mereka tidak tahu bahawa kesemua negara Umat Islam telah meratifikasikan ICERD itu kecuali Malaysia dan Brunei.

 

Bagaimanakah Kita Patut Melihat ICERD?

Sebagai muslim dan rakyat Malaysia, saya berpendapat bahawa isu ini hendaklah dilihat dalam tiga persoalan yang penting;

1. Sejauh manakah keselarasan hasrat dan semangat konvensyen tersebut dengan Islam?

2. Apakah realiti dunia hari ini tentang diskriminasi kaum dan agama yang selaras dengan resolusi UN iaitu mengutuk semua manifestasi dan amalan kebencian atas asas kaum, agama dan negara (condemning all manifestations and practices of racial, religious and national hatred)?

3. Apakah latar sejarah dan realiti Malaysia jika dilaksanakan perincian ICERD tersebut?

 

Menjawab Persoalan Pertama;

1. Secara umumnya, tujuan dan semangat ICERD untuk menghapuskan diskriminasi kaum dalam dunia ini amatlah baik. Walaupun pendetilan perlaksanaan itu perlu melihat kepada konteks yang pelbagai dan bagaimanakah ia dilaksanakan, namun tidak boleh dinafikan jika manusia di dunia ini betul-betul berpegang kepada semangat dan tujuan ICERD, hak dan keadilan akan dapat ditegakkan. Ini kerana ICERD menolak diskriminasi kaum, mengutuk dasar Apatheid, mengutuk hasutan perkauman (incitement) dan mengajak kepada sikap tasamuh (toleransi) antara manusia.

Dalam artikel 2 Convention ICERD menyatakan mengutuk dan berusaha meminggirkan diskriminasi kaum dan mengajak kesefahaman antara kaum-kaum. Ia menyebut: States Parties condemn racial discrimination and undertake to pursue by all appropriate means and without delay a policy of eliminating racial discrimination in all its forms and promoting understanding among all races.

2. Semangat ICERD itu sebenarnya memang telah menjadi pegangan Umat Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Sepatutnya Umat Islam tidak memerlukan ICERD untuk berpegang dengan tujuan ICERD ini. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

(maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Nabi Muhammad s.a.w pula bersabda:

يا أيّها الناس ، إنَّ ربَّكم واحِدٌ ، وإنَّ أباكُم واحِد ، ألاّ لا فَضْلَ لِعربِيٍّ على عَجَمِيّ ، ولا لِعَجَمِيّ على عَرَبي ، ولا لِأحْمَر على أسْوَدٍ ، ولا أسود على أحْمَرٍ ، إلاّ بالتَّقوَى

Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

3. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah jauh mendahului ICERD 1400 tahun dalam menolak sikap diskriminasi kaum, apatalah lagi sikap dan dasar Apatheid. Artikel 3 ICERD menyebut: “States Parties particularly condemn racial segregation and apartheid and undertake to prevent, prohibit and eradicate all practices of this nature in territories under their jurisdiction”. Namun, hadis di atas jauh mendahului ICERD dari segi zaman dengan begitu jelas mesejnya. Bahkan Nabi s.a.w dengan jelas menolak asabiyyah (fanatik kaum dan puak) dengan memberi amaran bahawa pengamalnya akan mati dalam jahiliyyah.Sabda Nabi s.a.w:

وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ

Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

4. Tiada agama sehebat Islam yang menolak diskriminasi atas asas perkauman dan puak. Umat Islam sepatutnya sangat jelas hal ini menerusi ajaran Islam itu sendiri. Sementara di sana ada agama dan ajaran menjadikan kasta sebagai pegangan dan amalan dalam agama mereka. Diwujudkan pelbagai tingkatan kasta atas nama agama yang menjadikan sesetengah kasta begitu mengatasi kasta yang lain. Sehingga ada kasta yang dipandang begitu jijik ke tahap jika disebut pun akan terasa hina dan marah. Dalam ajaran seperti itu, kasta bawahan tidak boleh bercampur dengan kasta atasan apatahlagi persamaan hak dan keadilan. Diskriminasi yang jelas. Penganut agama atau pegangan seperti itulah yang sepatutnya dunia risau mengenai diskriminasi mereka disebabkan agama atau keturunan. Mereka ini yang patut menjunjung tinggi ICERD. Adapun, Umat Islam tanpa ICERD pun, nas-nas agama telah pun menegaskan hal ini. Hanya yang diperlukan ialah bagaimana menjadi muslim yang komited dengan ajaran Islam itu sendiri.

5. Golongan non-muslim dan juga muslim hendaklah faham, bahawa dalam ajaran Islam tidak salah untuk Umat Islam menyertai persetujuan ataupun pakatan ataupun perjanjian yang membawa kepada keadilan sekalipun ia diadakan oleh pihak yang bukan muslim. Penegakan keadilan dan hak itu merentasi agama, bangsa, kaum dan sempadan kenegerian.

Sebelum Nabi s.a.w muncul sebagai rasulullah, suatu perjanjian menentang kezaliman yang dikenali dengan Hilf Fudul  ataupun ‘Sumpah Setia Fudul’ pernah dibuat di Mekah. Ia dibuat di rumah Abdullah bin Jud’an. Isi kandungannya untuk membela dan mengembalikan hak sesiapa yang dizalimi dalam kalangan penduduk Mekah, ataupun sesiapa yang memasuki Mekah. Ini kerana ada kalangan bangsawan Mekah yang sering menindas pihak yang lemah. Beberapa kabilah Quraish seperti Bani Hashim, Bani ‘Abd al-Muttalib dan lain-lain turut terlibat dengan Sumpah Fudul itu. Al-Tahawi (meninggal 321H) meriwayatkan hal ini dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (meninggal 458H) dalam as-Sunan al-Kubra di mana Nabi s.a.w bersabda:

لَقَدْ شَهِدْتُ فِى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِى بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ وَلَوِ أُدْعَى بِهِ فِى الإِسْلاَمِ لأَجَبْتُ

Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad’an. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai.”.

Unta merah adalah lambang kemewahan kenderaan arab ketika itu. Nabi s.a.w menegaskan bahawa jika perjanjian seperti itu dibuat lagi, sekalipun setelah baginda menjadi rasul, baginda tetap akan menyertainya. Lihatlah, Islam mengiktiraf perjanjian yang dibuat oleh pihak lain, sekalipun di zaman sebelum Islam kerana isi kandungan menepati maksud ajaran Islam yang menentang kezaliman dan penindasan.   

Namun kesemuanya itu hanya boleh dilakukan dengan melihat konteks dan persekitaran sesuatu persetujuan dan perjanjian.

Menjawab Persoalan Kedua;

1. Realiti dunia hari ini menunjukkan sikap yang tidak adil atas asas perbezaan bangsa dan agama di peringkat antarabangsa. Sekalipun mereka menandatangani ICERD tetapi mereka tetap menindas serta tidak adil. Penindasan Israel ke atas rakyat Palestin sejak dahulu tidak diambil tindakan yang tegas. Bahkan Amerika sentiasa membela Israel. Demikian penindasan Negara China terhadap penduduk Kaum Uighur yang muslim di Wilayah Xinjiang. Di India, penindasan terhadap penduduk dan rakyat muslim oleh Pemerintahan Narendra Modi sekarang. Peliknya, sikap diskriminasi Kerajaan India ini disokong kuat oleh beberapa pemimpin politik di Malaysia. Malangnya, di sini, mereka bercakap tentang keadilan dan hak sama rata, untuk India, mereka ada alasan yang lain.

2. Setiap kali ketidakadilan dunia terhadap Umat Islam, tidak diberikan pembelaan yang adil. Lihat di Myanmar, Palestin, China, India dan lain-lain. Dunia tidak lantang memperkatakan tentang perlanggaran hak kemanusiaan dan diskriminasi jika ia membabitkan Umat Islam. Ini merupakan realiti yang dapat kita saksikan. ICERD gagal menghalang mereka.

Dalam ertikata lain, sekalipun ICERD telah diratifikasikan oleh kebanyakan negara dalam dunia ini, namun penindasan dan diskriminasi kaum  terus berlaku. Sikap diskriminasi kaum dilakukan terutama oleh negara-negara yang kuat. Sering kali mereka justifikasikan hal itu atas nama memerangi pengganas.

Menjawab Persoalan Ketiga

1. Malaysia mempunyai realiti yang luarbiasa. Jika ICERD membincangkan tentang hak setiap rakyat yang berbeza latar kaum dan selainnya di bawah sesuatu negara, Tanah Melayu telah memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka yang berasal dari India dan China dengan begitu mudah sekali. Tanpa ICERD tapi mengatasi kebaikan yang canangkan oleh ICERD. Tiada seperti Tanah Melayu ini, di mana tanpa sebarang peperangan kaum dan tanpa sebarang kekejaman seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara di dunia ini, orang Melayu telah mengambil pendekatan yang sangat berbeza iaitu hampir 1 juta individu yang bertaraf tiada kerakyatan (stateless person) telah diberikan kewarganegaraan oleh Tanah Melayu. Kebanyakan mereka berasal dari China dan India. Ketinggian budi dan sikap pemurah ini ini sukar didapati di mana-mana bumi melainkan Orang Melayu di Tanah Melayu.

2. Sejak dahulu, kaum selain Melayu dapat hidup dengan aman di Tanah Melayu. Mereka menjadi saudagar besar dan membuka perniagaan sekalipun di tengah-tengah kampung Melayu. Mereka tidak dilayani sebagai musuh atau dizalimi. Orang Melayu memanggil orang Cina ‘taukeh’ sebagai panggilan untuk orang yang kaya atau peniaga. Orang Cina kaya raya, peniagaan mereka tidak diganggu. Demikian juga Kaum India. Adapun peristiwa 13 Mei, ia mempunyai latarnya yang tersendiri. Namun, secara umum layanan dan hubungan kaum di Malaysia sangat baik.

3. Kedatangan dan pemberian kerakyatan terhadap kaum-kaum lain dengan mudah, telah menyukarkan orang Melayu yang bukan berlatar pedagang bersaing dengan kaum lain. Di samping banyak kelemahan orang Melayu itu sendiri yang perlu dibaiki.

4. Sebagai sikap yang adil atas keluhuran budi Kaum Melayu maka hak istimewa Orang Melayu sebagai tuan rumah, dalam kerangka yang adil tanpa menindas pihak lain adalah wajar. Jika UN mengiktiraf Affirmative Action (tindakan afirmatif) sebagai Positive Discrimination dalam pelbagai negara bagi menjaga kepentingan kaum-kaum yang tertindas untuk diberikan keistimewaan supaya berdaya saing maka tidaklah ganjil jika Kaum Melayu yang merupakan tuan asal Tanah Melayu yang telah bersikap pemurah itu diberikan ruang di bawah Positive Discrimination. Selagi mana tidak menzalimi pihak lain, maka ia sesuatu yang wajar jika dinilai dari latar sejarahnya.

5. Banyak bangsa dalam dunia ini telah membukti sikap diskriminasi yang melampau. Sejarah Eropah, Amerika, UK, China, India dan selain lain telah membukti mereka sebagai kaum yang kuat dan majoriti menindas kaum selain dari bangsa mereka. Bahkan ketika mereka minoriti pun, kaum kulit putih melaksanakan dasar Apatheid di Afrika Selatan. Di Eropah Nazi dan Yahudi. Demikianlah kaum kulit putih Amerika dan UK terhadap kaum kulit hitam. Padahal mereka sendiri yang membawa bangsa kulit hitam ke negara mereka. Begitu dahsyat sejarahnya.

6. Namun tidak di Malaysia. Sekalipun bukanlah Orang Melayu yang menjemput ataupun mengajak Kaum Cina dan India ke Tanah Melayu, namun orang Melayu tidak menindas orang asing yang datang ke tanah mereka. Lebih dari itu, mereka memberikan hak sebagai warga negara tanpa ditumpah setitis darah pun.

7. Secara perbandingan, toleransi antara kaum, khususnya Kaum Melayu terhadap kaum-kaum yang dari segi sejarahnya berasal dari luar, kualiti toleransi Melayu sekalipun tanpa ICERD jauh lebih baik dari kebanyakan negara di dunia ini.

8. Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

 “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll)

Hadis ini bukan satu diskriminasi Quraish ke atas bangsa lain tetapi– seperti yang difahami oleh Ibn Khaldun- soal kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin.

Dalam konteks Tanah Melayu beberapa kelebihan (positive discrimination) untuk orang Melayu membolehkan formula hidup yang harmoni dan damai itu terus berlangsung. Ia selama ini telah terbukti berkesan. Ini sama dengan seorang bapa memberikan belanja yang lebih kepada anaknya yang sakit untuk tujuan ubatan dibandingkan anaknya yang sihat. Selagi hal itu tidak zalim dan menindas, maka ia tidak wajar dianggap sebagai negative.

9. Dalam masa yang sama, orang Melayu mestilah memajukan diri mereka sendiri tanpa hanya bergantung dengan status ‘tuan tanah’ sahaja dalam mengukuhkan kedudukan mereka.

Kesimpulan;

1. Semangat dan asas yang hendak dibawa oleh ICERD sesuatu yang baik dan selaras dengan Islam.

2. Pada asasnya, Islam menyokong sebarang pakatan dan perjanjian yang menegakkan hak dan keadilan.

3. Penindasan ke atas bangsa-bangsa yang lemah terus berlaku sekalipun negara-negara yang menandatangani ICERD.

4. Dunia tidak bertindak tegas terhadap penindasan dan diskriminasi yang dilakukan ke atas minoriti bangsa-bangsa yang beragama Islam di serata negara seperti di Palestin, China, India, Mynmar dan lain-lain.

5. Malaysia mempunyai realiti yang tersendiri. Sikap tasamuh atau toleransi Kaum Melayu wujud sejak sekian lama tanpa ICERD pun. Bahkan kondisi toleransi kaum Melayu terhadap kaum-kaum lain jauh mengatasi negara-negara lain.

6. ICERD jika diterima di Malaysia hendaklah mengambil kira latar dan kerangka Malaysia. Atau, Malaysia wajar mempunyai penggubalan yang tersendiri. Konteks yang berbeza ini, jika dilaksanakan tanpa mengambil kira konteks Malaysia mungkin akan memberikan impak yang berbeza iaitu menindas tuan rumah ataupun kaum Melayu yang telah bersikap baik dan bermurah hati.

7. Pada suatu masa, apabila keadaan cukup matang, keseluruhan kandungan ICERD itu wajar untuk kita nilai dan pertimbangkan.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 66
Semalam 1090
Minggu Ini 1156
Bulan Ini 19052

Keseluruhan 3091345

   Masa Capaian : 0.89 saat    Kemaskini :  09/12/2024