Apakah hukum memakai pewarna kuku selain daripada inai?
Jawapan Prof Dato Dr MAZA:
Untuk wanita, mewarnakan jari digalakkan khususnya semasa perkahwinan. Sementara bagi lelaki digalakkan untuk mewarnakan rambut khususnya yang sudah beruban. Perkataan bagi mewarnakan yang digunakan ialah khadab - ikhtidab اختضاب. Selain inai (hinnak) terdapat bahan-bahan lain juga digunakan untuk mewarnakan kulit (khususnya jari) dan rambut pada zaman dahulu. Antaranya; katam كتم, waras, za’faran زعفران (saffron), dan sawad. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadis di bawah (lihat: 14/266. Beirut: Dar al-Khair). Kesemuanya itu digunakan dan tidak terhad kepada inai sahaja. Dalam riwayat Muslim:
وَقَدْ خَضَبَ أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ بِالْحِنَّاءِ وَالْكَتَمِ
“Abu Bakar dan Umar mewarnakan rambut dengan hinnak (inai) dan katam”.
Katam ialah sejenis pokok yang menghasilkan warna kuning.
Apa yang penting ialah untuk mewarnakan jari bagi wanita atau rambut bagi lelaki dan wanita juga, boleh menggunakan apa-apa sahaja bahan yang bersih dan tidak menghalang air ketika berwuduk atau mandi wajib. Tidak disyaratkan mesti pokok tertentu atau bahan tertentu. Apa-apa bahan samada ada daripada alam semulajadi atau buatan boleh digunakan selagi mana tidak najis, atau menghalang air atau membawa mudarat kepada diri.
Perlu difahami bahwa hadis-hadis tentang inai dan seumpamanya, lebih mendekati maksud pemakaian kebudayaan bagi adat sesuatu kaum. Maka, hukum hakam dalam hal itu berkait juga dengan kebudayaan setempat. Pemakaian inai adalah salah satu bentuk perhiasan untuk wanita. Dalam masyarakat Arab dan masyarakat yang seumpamanya amat dialukan. Demikian juga lelaki mewarnakan rambut. Ia digalakkan jika itu sesuatu yang tidak dianggap pelik dalam masyarakatnya. Jika sebaliknya, sepatutnya dielakkan.